FUAD melakukan persiapan untuk Sukan SEA Vietnam. FOTO Saifullizan Tamadi
FUAD melakukan persiapan untuk Sukan SEA Vietnam. FOTO Saifullizan Tamadi
Mohd Amin Jalil

Seremban: Petinju negara, Muhamad Fuad Mohd Redzuan, bersyukur kerana program latihannya tidak terjejas walaupun Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) sedang dikuatkuasakan.

Pemenang pingat emas Sukan Sea Kuala Lumpur 2017 itu berkata, latihannya di bawah bimbingan jurulatih Azmi Mohd Yunus berjalan lancar tanpa sebarang masalah, biarpun perlu mematuhi prosedur operasi standard (SOP) ditetapkan.

"Latihan berjalan seperti biasa, cuma kena patuh SOP iaitu tidak boleh mengadakan latihan sparring.

"Walaupun tiada sparring, buat masa ini ia mencukupi kerana latihan perlu dilaksanakan berterusan bagi mendapatkan semula tahap kecergasan terbaik, tambahan pula tiada kejohanan yang boleh disertai.

"Sehingga kini sudah tiga minggu latihan dijalankan di Keramat Kuala Lumpur, namun masih banyak yang perlu dilakukan untuk mencapai tahap prestasi terbaik menjelang Sukan SEA 2021 di Vietnam," katanya ketika dihubungi, di sini.

Petinju berasal dari Negeri Sembilan itu sedar bahawa dia perlu bekerja keras menjalani latihan kerana bakal beraksi dalam kategori baharu, 52 kilogram (kg) berbanding 49kg sebelum ini.

Dia akui kategori berkenaan lebih mencabar kerana akan berhadapan dengan bentuk fizikal petinju lawan yang berbeza.

"Persiapan perlu lebih rapi, tambahan pula sudah lama tidak menyertai apa-apa kejohanan untuk menguji kemampuan diri sejak wabak pandemik Covid-19 ini melanda negara dan dunia.

"Malah, sepanjang tahun lalu, saya hanya menjalani latihan yang singkat sekitar dua bulan kerana komitmen kerja dengan Tentera Laut Diraja Malaysia (TLDM).

"Atas faktor itu, bermula dari sekarang saya perlu lebih fokus dalam mempersiapkan diri bagi menghadapi Sukan SEA nanti, Walaupun mempunyai masa yang agak panjang menjelang temasya itu November nanti, tetapi tak boleh jangka dengan keadaan Covid-19 ini," katanya.

Mengenai jurulatih baharu Rustam Saidov dari Uzbekistan, Muhamad Fuad berkata, pihaknya berharap dapat segera menjalani latihan di bawah jurulatih itu bagi mendapatkan sesuatu yang baharu dalam latihannya.

"Saya amat mengharapkan perubahan dalam latihan dapat dilakukan dengan kehadiran jurulatih baharu itu nanti. Kita bukan sahaja perlu tingkatkan dari segi tahap kecergasan tetapi skil persembahan.

"Sebab itu kita perlukan jurulatih baharu yang boleh dan mampu membantu mencorakkan persembahan nanti," kata petinju berusia 29 tahun itu.

Terdahulu, Persatuan Tinju Malaysia (PTM) melantik Saidov, yang juga bekas jaguh tinju Uzbekistan dan pemenang pingat gangsa Sukan Olimpik Sydney 2000 sebagai ketua jurulatih skuad tinju kebangsaan yang baharu, untuk tempoh dua tahun bermula tahun ini.

  • Lagi berita berkaitan Perintah Kawalan Pergerakan
  • Lagi berita berkaitan Covid-19
  • Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 26 January 2021 @ 9:21 PM