FUAD (kanan) petinju negara paling berpotensi bawa pulang pingat untuk negara. -Foto fail
FUAD (kanan) petinju negara paling berpotensi bawa pulang pingat untuk negara. -Foto fail
Mohd Khairie Khalid


PERSEKUTUAN Tinju Malaysia bakal menghantar tiga petinju yang terpilih menjalani latihan di Azerbaijan sebagai persiapan menjelang Sukan Komanwel di Gold Coast, Australia, tahun depan.

Mereka adalah pemenang pingat emas kategori lightfly 49 kilogram (kg) di Sukan SEA Kuala Lumpur 2017, Muhamad Fuad Mohd Redzuan, pemegang pingat perak lightheavy 81 kg, Adli Hafidz Mohd Pauzi dan Abdul Salam Kasim untuk kategori flyweight (52kg).

Pengurus pasukan tinju ke Sukan Komanwel, Datuk Rahman Lariwoo menjelaskan, Azerbaijan dipilih kerana negara itu mampu memanfaatkan atlet selain memiliki banyak kejohanan berprestij.

“Kita sudah memutuskan hanya tiga petinju yang akan dihantar mewakili Malaysia menyertai Sukan Komanwel.

“Jadi kita membuat keputusan untuk menghantar mereka berlatih di Azerbaijan kerana di sana mempunyai banyak kejohanan bertaraf dunia.

“Sesi latihan dan pertandingan dijadual bermula bulan depan dan akan berakhir kira-kira dua minggu sebelum temasya Sukan Komanwel membuka tirai pada April,” kata Rahman ketika dihubungi, hari ini.

ADLI Hafidz (kiri) akan jalani latihan di Azerbaijan demi persiapan Sukan Komanwel. -Foto fail
ADLI Hafidz (kiri) akan jalani latihan di Azerbaijan demi persiapan Sukan Komanwel. -Foto fail

Dalam perkembangan sama, Rahman berkata, petinju negara turut dijadual menjalani latihan awal di Thailand sebelum bertolak ke Azerbaijan.

Mengulas lanjut, katanya setakat ini tumpuan mendapatkan pingat di Gold Coast lebih terarah kepada Muhamad Fuad yang dilihat mampu mencipta sejarah buat negara dalam arena tinju.

“Kita sudah lama tidak mendapat apa-apa pingat di Sukan Komanwel. Jadi berdasarkan analisis, Muhamad Fuad berkemungkinan besar mampu mencipta sejarah.

“Berdasarkan ranking antara peserta lain ketika ini, dia berada di kedudukan kelapan. Kita juga berharap agar undian memihak kepada Malaysia selain tuah pada hari kejohanan kelak,” katanya.

Pencapaian terbaik skuad tinju Malaysia di Sukan Komanwel dilakar Sapok Biki dalam kategori 48kg lightfly dengan meraih emas temasya 1998 yang berlangsung di Kuala Lumpur.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 1 Disember 2017 @ 7:28 PM