Abdul Latif  ketika memenangi pingat emas acara lompat jauh T20 Sukan Paralimpik di Rio. - Foto Fail
Abdul Latif ketika memenangi pingat emas acara lompat jauh T20 Sukan Paralimpik di Rio. - Foto Fail
BERNAMA

Kuala Lumpur: Menteri Belia dan Sukan Khairy Jamaluddin tidak mempunyai masalah untuk memberi 'lampu hijau' kepada pemenang pingat emas acara lompat jauh T20 Sukan Paralimpik, Abdul Latif Romly, beraksi dalam temasya Sukan SEA 2017 di Kuala Lumpur.

Katanya, atlet berkenaan bersaing dengan atlet normal dan meraih emas dalam temasya Sukan Malaysia (Sukma) di Sarawak, Julai lalu.

“Sekiranya dia dipilih dan layak (beraksi dalam Sukan SEA), saya tidak ada apa-apa halangan," katanya diminta mengulas mengenai hasrat Abdul Latif beraksi dalam Sukan SEA 2017.

Menurut Khairy, ketika menghubungi Abdul Latif pada Sukan Paralimpik 2016 di Rio de Janeiro, Brazil, beliau meminta atlet muda itu memberi tumpuan kepada rekod kebangsaan dan bukan hanya kepada rekod Sukan Paralimpik.

Katanya, atlet berusia 19 tahun itu mempunyai kemampuan untuk memecah rekod kebangsaan.

“Kalau tak silap saya, lagi 22 sentimeter untuk menyamai rekod kebangsaan. Jika dia dapat mengatasi rekod kebangsaan, saya rasa dia selepas ini boleh beri tumpuan kepada kejohanan atlet normal," katanya.

‘Secara merit, jarak lompatan Abdul Latif di Sukan Paralimpik Rio itu sudah melepasi had kelayakan untuk beraksi di Sukan SEA selepas catatan rekod dunia Paralimpik 7.60m yang dilakukannya mengatasi had kelayakan 7.54m.

Rekod kebangsaan lompat jauh lelaki masih dipegang Josbert Tinus dengan jarak 7.88m yang direkodkan pada 2007 di Bangkok.

Catatan jarak 7.60m Abdul Latif telah mengatasi rekod remaja kebangsaan (Bawah 20 tahun) iaitu 7.46m milik Pang Li Chong di Ipoh, Perak pada 2011.

Pingat emas lompat jauh T20 di Rio menjadi milik Latif terhasil menerusi catatan 7.60m yang turut memecahkan rekod Paralimpik dunia, Ahad lalu.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 16 September 2016 @ 12:38 AM