KLOPP mahu pasukannya menjaringkan gol dalam satu pasukan.
KLOPP mahu pasukannya menjaringkan gol dalam satu pasukan.
AFP

LIVERPOOL: Aksi ‘tamak’ dan individu pemain Liverpool tidak disenangi oleh pengurus pasukan, Jurgen Klopp biarpun skuad kendaliannya meraih kemenangan 5-0 ke atas Swansea City di Anfield, semalam.

Phillipe Coutinho, Roberto Firmino, Alexander-Arnold dan Alex Oxlade-Chamberlain masing-masing meledak gol dalam aksi berat sebelah itu dengan Firmino mencetak dua gol yang dikuasai tuan rumah sejak awal.

Kemenangan ini membolehkan Liverpool terus bersaing hebat dalam perebutan tiket ke Liga Juara-Juara dengan menduduki tangga keempat liga, lima mata di belakang Manchester United di tempat kedua.

Bagaimanapun, di sebalik kemenangan besar itu Klopp mengakui tidak gembira dengan aksi pemainnya apabila beraksi secara individu berbanding falsafah bola sepaknya yang menekankan permainan secara berpasukan.

FIRMINO (tengah) ledak dua gol.
FIRMINO (tengah) ledak dua gol.

“Ia langsung tidak menarik perhatian saya. Jika mereka beraksi secara berpasukan, saya percaya kami mampu menghasilkan lebih banyak gol lagi hari ini.

“Saya tidak ada masalah dengan keputusan 5-0 ini, tetapi agak mengecewakan apabila pemain bertindak sendirian untuk mencipta gerakan dan gol,” katanya.

Pada aksi itu, bekas pengurus Borussia Dortmund itu melakukan empat pertukaran berbanding kesebelasan utama ketika seri 3-3 menentang Arsenal.

Anak buah Klopp memulakan pesta jaringan menerusi rembatan menarik Coutinho dari luar kotak penalti seawal minit keenam.

Swansea yang sekarang ini bergelut di zon penyingkiran terus ketinggalan sebaik babak kedua bersambung dengan Firmino meledak gol menerusi sepakan voli cantik di minit ke-52 sebelum Alexander-Arnold menambah gol ketiga di minit ke-65.

KLOPP  berkata sesuatu kepada anak buahnya. FOTO/AFP
KLOPP berkata sesuatu kepada anak buahnya. FOTO/AFP

Seminit kemudian, Firmino menolak masuk bola hantaran Salah dalam kotak penalti dan Oxlade-Chamberlain melengkapkan kemenangan bergaya skuad The Reds selepas memanfaatkan kelekaan pertahanan Swansea sebelum merembat bola menerjah ke gawang minit ke-82.

“Anda boleh lihat betapa gembiranya penyokong kami di atas kemenangan besar ini. Saya hargai apa yang sudah dilakukan pemain dan saya yakin kami akan bertambah baik dalam aksi berikutnya,” katanya.

Klopp turut mendedahkan bahawa khidmat ketua pasukan, Jordan Henderson dan pertahanan kiri, Alberto Moreno terpaksa diketepikan bagi dua aksi menentang Leicester City dan Burnley selepas kedua-duanya disahkan mengalami kecederaan.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 27 Disember 2017 @ 12:28 PM