PEMAIN Liverpool meraikan kemenangan mereka ke atas Maribor. -Foto AFP
PEMAIN Liverpool meraikan kemenangan mereka ke atas Maribor. -Foto AFP
AFP

MARIBOR (SLOVENIA): Roberto Firmino dan Mohamed Salah muncul sebagai watak penting ketika menjulang Liverpool meraih kemenangan besar, 7-0 ke atas Maribor pada aksi Liga Juara-Juara, awal pagi tadi.

Kemenangan itu mengurangkan tekanan terhadap pengendalinya, Jurgen Klopp ketika kehadiran Liverpool ke Slovenia turut dihimpit kritikan serta pelbagai persoalan mengenai kemampuan pasukan.

Namun, The Reds tampil dengan sentuhan penyudah berbisa untuk mengecewakan Maribor di laman lawan.

Firmino membuka jaringan seawal minit keempat, diikuti gol kedua menerusi Philippe Coutinho pada minit ke-13, sebelum Salah menambah dua lagi (minit ke-19 dan ke-40) untuk memastikan babak pertama berakhir dengan empat gol.

FIRMINO (kanan) jaring gol kelima Reds. -Foto Reuters
FIRMINO (kanan) jaring gol kelima Reds. -Foto Reuters

Selepas aksi bersambung, Firmino sekali lagi menggegar gawang lawan pada minit ke-54, sambil Alex Oxlade-Chamberlain dan Trent Alexander-Arnold turut mencipta nama selaku penjaring gol pada minit ke-86 dan minit ke-90.

Kemenangan pertama dalam saingan peringkat kumpulan itu membolehkan Liverpool meloncat ke tangga teratas Kumpulan E, dengan meraih lima mata.

Selepas hanya satu kemenangan dalam lapan perlawanan dalam semua kejohanan, kejayaan ini pastinya ia menjadi suntikan terbaik buat Klopp.

SALAH jaring dua gol buat Liverpool. -Foto Reuters
SALAH jaring dua gol buat Liverpool. -Foto Reuters

Minggu lalu, Liverpool yang mendominasi perlawanan ketika menentang Manchester United dalam saingan Liga Perdana sekali lagi kecewa selepas hanya seri tanpa jaringan di laman sendiri.

“Sikap kami sangat luar biasa. Kami menjaringkan gol yang hebat dan bermain bola sepak yang menarik,” kata Klopp selepas memastikan kemenangan terbesar buat Liverpool di pentas Eropah.

“Saya tahu akhirnya ia seperti Maribor tidak cukup bagus tetapi ia bukan mudah. Ia persembahan yang cukup matang.”

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 18 Oktober 2017 @ 9:47 AM