PRESIDEN KFA, Datuk Seri Ahmad Bashah Md Hanipah sudah ambil kira semua aspek sebelum buat keputusan rehatkan Ramon Marcote. - Foto Amran Hamid
PRESIDEN KFA, Datuk Seri Ahmad Bashah Md Hanipah sudah ambil kira semua aspek sebelum buat keputusan rehatkan Ramon Marcote. - Foto Amran Hamid
Izzali Ismail


PERSATUAN Bolasepak Kedah (KFA) sudah mengambil kira semua aspek sebelum memberi peranan baharu kepada Ramon Marcote dan melantik Nidzam Adzha Yusoff sebagai pengganti beliau selaku pengendali skuad Helang Merah.

Mengesahkan perkara itu, Presiden KFA, Datuk Seri Ahmad Bashah Md Hanipah berkata keputusan itu dibuat selepas meneliti pandangan pelbagai pihak berkaitan termasuk penyokong dan pemain pasukan.

"Kita mendengar keluhan penyokong dan pada masa sama, kita juga meneliti hal pemain sebelum membuat keputusan. Kalau ikut penyokong sahaja dan hal pemain, kita tak lihat pun tak boleh juga.

"Kita tahu penyokong duduk di luar dan bola ada di kaki pemain. Jadi perasaan pemain kita ambil, perasaan penyokong pun kita ambil… semua kita ambil pandangan.

"Kita dah banyak berbincang. Jadi keputusan KFA ini bukan kata kita tak mau Marcote. Kita 'rehatkan' sementara dan kita bagi tugas lain kerana kita juga mahu supaya dia turut memberi peningkatan dari aspek pembangunan untuk pasukan,” katanya ketika ditemui selepas program Jualan Rakyat di sini hari ini.

Beliau berkata demikian sebagai mengulas mengenai penukaran tugas Marcote sebagai jurulatih skuad pembangunan Kedah manakala Nidzam yang juga neolong jurulatih dilantik mengisi tempatnya.

Ahmad Bashah yang juga Menteri Besar menegaskan pihak KFA sudah mengambil kira semua aspek yang perlu diberi perhatian dalam membuat keputusan diperlukan itu.

Katanya, KFA terpaksa membuat keputusan itu dan berharap peminat pasukan Kedah juga akan memberi kerjasama serta sokongan demi melihat skuad Helang Merah kembali meningkat selepas ini.

"Kita (KFA) ada semua pakar dalam tugas dan kejayaan yang kita kecapi selama ini pun kerana pengurusan yang baik dan sokongan daripada peminat.

"Bagi kepercayaan supaya kita buat rombakan sedikit untuk empat perlawanan akan datang. Ini kerana kita sudah terlepas dua piala dan kita tak akan dapat dah dua piala itu.

“Prestasi kita dah menurun. Jadi maknanya kita perlu buat keputusan yang terbaik untuk KFA dan bukan kita nak salahkan sesiapa...tak ada,” katanya.

Ditanya sama ada keputusan yang dibuat itu terlalu awal, Ahmad Bashah menafikannya memandangkan Kedah akan berdepan empat perlawanan lagi selepas ini.

"Dalam empat perlawanan itu, jika prestasi terus merosot apakah peminat akan kata pada KFA? Kerana ramai yang suruh buat rombakan dan kita sudah ambil kira semua cadangan dan pandangan.

"Bukan terlalu awal. Kita perlu beri peluang kepada jurulatih Nidzam Adzha dalam empat perlawanan akan datang ini. Kita dah ambil pertimbangan yang secukupnya untuk atasi masalah ini dan kita berdoa semoga segala-galanya berjaya,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 31 Mac 2018 @ 10:49 PM