NASRULLAH (kanan) mahu membalas kepercayaan jurulatih Terengganu FC I, Irfan. -Foto fail
NASRULLAH (kanan) mahu membalas kepercayaan jurulatih Terengganu FC I, Irfan. -Foto fail
Malik Muhamad


NAMA pemain Terengganu FC I (TFC I), Nasrullah Haniff Johan tidak sepopular pemain lain, namun melihat kepada aksinya selama 2,520 minit dalam saingan Liga Malaysia (Liga-M) musim ini sudah cukup untuk membuktikan pemain pertahanan itu adalah tonggak utama pasukan.

Malah pemain tinggi lampai berasal dari Seremban itu yang lebih mesra dipanggil Anas dan dilabel ‘kereta kebal’ bersesuaian dengan posisi terakhir dalam pasukan selepas penjaga gol adalah antara watak utama kejayaan pasukan itu layak ke saingan Liga Super musim depan.

“Siapa tidak mahu cipta nama dan dikenali dalam sukan nombor satu ini, tapi bagi saya apa yang lebih penting sebagai pemain adalah sentiasa berada dalam kesebelasan utama.

“Sepanjang musim ini hanya tiga perlawanan membabitkan aksi liga saya direhatkan manakala dalam aksi Piala Malaysia dan Piala FA masing-masing saya beraksi sebanyak empat perlawanan.

“Dengan aksi sebanyak 28 perlawanan itu ternyata memberikan keyakinan yang lebih kepada saya untuk mengekang penyerang lawan yang lebih berkualiti dalam aksi Liga Super musim depan,” kata Nasrullah.

Musim ini Nasrullah yang kali pertama menyarung jersi Terengganu selepas mendapat kepercayaan ketua jurulatih, Irfan Bakti Abu Salim beraksi baik di posisi pertahanan tengah bersama bekas pemain import dari Brazil, Lazaro Vicinius yang digugurkan menjelang aksi musim depan.

Musim depan pemain yang mempunyai ketinggian 1.80 meter itu akan digandingkan dengan pemain import baru berusia 26 tahun dari Montenegro, Igor Zonjic.

Ketika ditanya kenapa dia memilih untuk kekal bersama TFC I musim depan walaupun mendapat tawaran pasukan lain, bekas pemain DRB Hicom itu tanpa berselindung mengakui beraksi bersama Terengganu mempunyai masa depan yang cerah untuk mengembangkan lagi kariernya selepas bermula sebagai pemain Piala Presiden Negeri Sembilan.

“Nama pasukan Terengganu atau kini dikenali TFC I cukup besar dan antara salah satu pasukan terkuat di negara ini.

“Justeru saya harapkan aura pasukan ini juga mampu menaikkan semangat saya selain menjulang sekurang-kurangnya satu trofi musim depan,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 8 Disember 2017 @ 3:21 PM