PEMAIN tengah, Habib Haroon dijangka kekal bersama skuad TFC musim depan. FOTO Ihsan TFC
PEMAIN tengah, Habib Haroon dijangka kekal bersama skuad TFC musim depan. FOTO Ihsan TFC
Malik Muhamad


Kuala Terengganu: Hanya seorang sahaja pemain import Terengganu FC (TFC) musim ini dijangka kekal bersama skuad Penyu dalam mengharungi kancah Liga Malaysia (Liga M) musim depan.

Manakala selebihnya bakal 'angkat kaki' meninggalkan naib juara Piala FA dan naib juara Liga Super musim ini itu yang bakal beraksi dalam saingan Piala AFC (Konfederasi Bolasepak Asia) musim depan.

Menurut sumber TFC, pemain kelahiran Bahrain berusia 22 tahun, Habib Haroon yang mengisi kuota Asia adalah satu-satunya pemain import TFC yang bakal kekal bersama skuad itu bagi mengharungi cabaran saingan Liga M dan Piala AFC musim depan.

Katanya turut dijangka kekal dua pemain import pasukan 'adik', Terengganu FC II (TFC II) iaitu penyerang, Jordan Mintah yang sebelum ini dipinjamkan kepada pasukan Kuala Lumpur City FC (KL City FC) dan pertahanan, Argzim Redzovic.

"Setakat ini hanya seorang sahaja pemain import TFC iaitu Habib dan dua pemain import TFC II, Mintah dan Redzovic dijangka kekal bersama pasukan bagi mengharungi saingan Liga M musim depan.

"Manakala selebihnya ada yang tidak ditawarkan lanjutan kontrak dan ada yang meminta laluan untuk beraksi dengan pasukan lain pada musim depan.

"Bagi mengisi kekosongan yang ditinggalkan pemain berkenaan, TFC dalam usaha mengikat pemain import lebih berwibawa terutama skuad ini bakal beraksi di pentas Asia pada musim depan," katanya ketika dihubungi.

Musim ini TFC menyenaraikan lima bintang import, selain Habib, skuad itu turut membariskan dua penyerang iaitu Kpah Sherman (Liberia) dan Kipre Tchetche (Ivory Coast) serta pertahanan kelahiran Senegal, Pape Diakite dan pemain kebangsaan Filipina, Manuel Ott.

Manakala skuad TFC II menyenaraikan empat pemain import iaitu Luke Woodland (Filipina), Petrus Shitembi (Namibia) selain pemain kelahiran Ghana, Mintah dan Redzovic dari Montenegro.

Musim depan, skuad Penyu itu hampir pasti menamakan pengarah teknikalnya, Tomislav Steinbruckner sebagai ketua jurulatih selepas Nafuzi Zain tidak berhasrat untuk melanjutkan kontrak bersama skuad itu.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 28 November 2022 @ 4:25 PM