BADRUL Afzan nekad untuk berguru dan mengutip seberapa banyak ilmu. FOTO Ihsan TFC
BADRUL Afzan nekad untuk berguru dan mengutip seberapa banyak ilmu. FOTO Ihsan TFC
Malik Muhamad


Kuala Terengganu: Pengendali muda, Badrul Afzan Razali menyifatkan pelantikannya sebagai penolong jurulatih pasukan utama, Terengganu FC (TFC) musim depan sebagai pengalaman yang baharu buatnya dalam Liga Malaysia (Liga M).

Bekas ketua jurulatih Terengganu FC II (TFC II) musim ini itu turut akui peluang berkenaan tidak hadir dengan mudah lebih-lebih lagi skuad Penyu bakal beraksi dalam pentas Piala AFC (Konfederasi Bolasepak Asia) musim depan selain Liga M.

Kelmarin jurulatih kelahiran Kemaman itu yang sedang mengambil lesen kejurulatihan Pro A 'dinaikkan pangkat' menjawat jawatan penolong jurulatih TFC selepas cemerlang membimbing skuad TFC II selama dua musim mulai 2021.

"Alhamdulillah syukur kerana diberi peluang untuk menjawat jawatan sebagai penolong jurulatih kepada pengendali baharu TFC, Tomislav Steinbruckner musim depan.

"Pelantikan ini sudah pasti memberi pengalaman baharu buat saya dalam saingan Liga Super lebih-lebih lagi ini kali pertama dilantik ke liga utama itu selain bakal merasai pengalaman di pentas Asia.

"Terima kasih kepada pihak pengurusan Terengganu Football Club (TFC) Sdn Bhd kerana memberi kepercayaan kepada saya untuk mengisi jawatan itu yang pasti lebih mencabar berbanding ketua jurulatih TFC II sebelum ini.

"Saya nekad untuk berguru dan mengutip seberapa banyak ilmu terutama daripada ketua jurulatih kelahiran Croatia itu sebagai persediaan untuk diri dan pasukan," katanya ketika dihubungi.

Musim lalu, pengendali berusia 46 tahun itu berjaya membantu pasukannya menamatkan saingan Liga Perdana di tempat keempat manakala musim 2021 di kedudukan ketiga liga.

Berdasarkan rekod, bekas 'arkitek' pasukan Terengganu, Pahang, Kelantan, Perlis, Kedah , Johor FC dan Felda United itu memulakan kariernya sebagai jurulatih bermula 2011 ketika membimbing pasukan Piala Presiden Negeri Sembilan.

Pada 2016, Badrul terus melebarkan sayapnya selepas dilantik menjadi jurulatih pasukan kelab, Sime Darby dengan membantu pasukan itu muncul juara Piala FAM pada 2017 serta membawa pasukan Piala Presiden Terengganu muncul juara setahun kemudian.

Antara kenangan manis sebagai pemain apabila membantu Terengganu muncul naib juara Piala Malaysia pada 1998 dan Kedah pada 2004.

Musim lalu dua bekas pemain kebangsaan, Hairuddin Omar dan Tengku Hazman Raja Hassan dilantik sebagai penolong jurulatih Nafuzi Zain dan berjaya membantu pasukan muncul naib juara Piala FA dan Liga Super serta layak beraksi ke pentas Asia musim depan.

Musim 2023, Hairuddin dilantik sebagai ketua jurulatih pasukan Liga Simpanan TFC.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 29 Disember 2022 @ 1:49 PM