KUALA LUMPUR 01 AUGUST 2017. Pemain badminton perseorangan negara, Soong Joo Ven  ketika sesi latihan di Akademi Badminton Negara Bukit Kiara. NSTP/LUQMAN HAKIM ZUBIRLUQMAN HAKIM ZUBIR
KUALA LUMPUR 01 AUGUST 2017. Pemain badminton perseorangan negara, Soong Joo Ven ketika sesi latihan di Akademi Badminton Negara Bukit Kiara. NSTP/LUQMAN HAKIM ZUBIRLUQMAN HAKIM ZUBIR
Ferzalfie Fauzi


PEMAIN perseorangan lelaki negara, Soong Joo Ven (gambar) menepati ramalan untuk memenangi pusingan pertama Masters Korea Selatan apabila berjaya menumpaskan Milan Ludik dari Republik Czech di Gimnasium Yeomju hari ini.

Joo Ven yang menduduki ranking ke-61 dunia mengambil masa 35 minit untuk mencatat kemenangan straight set 21-13, 21-18 dan bakal berdepan wakil tuan rumah, Ko Gyung Bo di pusingan kedua esok.

Menurut pemain berusia 22 tahun itu, pada set pertama dia beraksi dengan mudah kerana berada di kedudukan melawan arah angin namun di set kedua Ludik mula mempamer rentak permainan lebih agresif.

“Permainannya semakin laju di set kedua dan saya ketinggalan 12-15, namun saya berjaya bangkit semula untuk meraih kemenangan,” katanya ketika dihubungi hari ini.

Dia yang muncul naib juara Siri Antarabangsa Poland September lalu mengakui berpuas hati dengan permainannya secara keseluruhan dan berjanji untuk melakukan perkara yang sama menjelang pusingan kedua esok.

“Saya tidak berani meletakkan sasaran di kejohanan ini tapi saya akan buat yang terbaik dalam satu demi satu perlawanan di sini,” katanya.

Turut mara ialah pilihan kesembilan, Chong Wei Feng yang menumpaskan pemain tuan rumah, Kim Yog Hyun 15-21, 21-14, 21-13 dan akan berdepan Zhou Zeqi dari China esok.

Berbeza pula dengan seorang lagi pemain perseorangan lelaki negara, Iskandar Zulkarnain Zainuddin apabila tersingkir awal selepas tumpas di tangan Lin Chia Hsuan dari Taiwan, 17-21, 21-10, 18-21.

Nasib yang sama turut berlaku kepada bekas pemain Persatuan Badminton Malaysia (BAM), Liew Daren yang tumpas kepada wakil tuan rumah dan pilihan ke-11, Lee Dong Keun 9-21, 18-21.

Seorang lagi pemain profesional, Adam Lau pula ditunjukkan jalan keluar oleh Firman Abdul Kholik dari Indonesia apabila tumpas 16-21, 17-21 dan Alfred Lau juga tersingkir selepas kalah 12-21, 14-21 kepada Ren Pengbo (China).

Juara Terbuka Poland, Tan Jia Wei kecundang kepada Hwang Jong Soo (Korea Selatan) 16-21, 17-21.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 28 November 2017 @ 11:15 PM