Ferzalfie Fauzi


“TIDAK sangka mudah pula.” Itu reaksi spontan Datuk Lee Chong Wei (gambar) apabila berjaya menunjukkan jalan keluar kepada Brice Leverdez dari Perancis dalam aksi pusingan kedua Terbuka China di Pusat Olimpik Haixia hari ini.

Selepas tumpas kepada lawan sama di pusingan pertama Kejohanan Dunia Ogos lalu, Chong Wei seakan terkejut dapat menjinakkan pemain berusia 32 tahun itu dengan kemenangan straight set 21-6, 21-9 seterusnya menempah slot ke suku akhir esok.

Menurut bekas pemain nombor satu dunia itu, ketika menentang Leverdez dia hanya fokus kepada permainannya saja dan cuba untuk meraih mata demi mata.

“Bagi saya, untuk aksi di China ini perkara lain tidak penting. Apa yang saya mahukan ialah mendapat rentak dan keyakinan. Memang saya ada melakukan persiapan dengan rapi untuk bertemu Leverdez termasuk melihat keputusan perlawanannya semalam,” katanya ketika dihubungi hari ini.

Menanti Chong Wei di suku akhir ialah pemenang pertemuan Jonatan Christie (Indonesia)/Ng Ka Long (Hong Kong) di mana kedua-duanya akan turun beraksi malam ini.

Kali terakhir Chong Wei merangkul kejuaraan Terbuka China ialah pada 2015 selepas mengalahkan Chen Long 21-15, 21-11 di perlawanan akhir.

Sementara itu, pasangan beregu lelaki negara, Ong Yew Sin-Tan Wee Kiong gagal mara ke suku akhir apabila tumpas di tangan pemain tuan rumah yang juga pilihan kelima, Liu Cheng-Zhang Nan 16-21, 14-21.

Turut mengalami nasib yang sama ialah gandingan beregu wanita negara, Chow Mei Kuan-Lee Meng Yean yang tumpas kepada pilihan kelima dari Korea Selatan, Chang Ye Na-Jung Kyung Eun 21-16, 17-21, 18-21.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 16 November 2017 @ 8:56 PM