VIVIAN (kiri) dan Khe Wei, pamer aksi buruk dalam semua kejohanan yang disertai.
VIVIAN (kiri) dan Khe Wei, pamer aksi buruk dalam semua kejohanan yang disertai.
Fabian Peter


PRESIDEN Persatuan Badminton Malaysia (BAM), Datuk Seri Norza Zakaria kecewa dengan prestasi Vivian Hoo dan Woon Khe Wei, berikutan beberapa keputusan buruk dicatatkan beregu wanita itu.

Selepas Sukan SEA Kuala Lumpur 2017 Ogos lalu, pasangan itu gagal melepasi pusingan kedua dalam semua kejohanan yang disertai mereka, terbaru tewas di pusingan kedua Terbuka Hong Kong.

Bagaimanapun, cadangan untuk memisahkan pasangan itu tidak mungkin berlaku ketika skuad negara masih bergantung kepada jumlah mata yang dikumpulkan oleh beregu itu terutamanya menjelang Piala Uber di Bangkok, Thailand, tahun depan.

“Saya menghantar Datuk Ng Chin Chai (Setiausaha Agung BAM) ke Hong Kong bagi berbincang dengan jurulatih. Awal minggu depan saya akan berjumpa dengannya untuk berbincang cara yang boleh kita ambil, terutamanya mengenai Vivian dan Khe Wei.

“Kami juga perlu meneliti perkara ini secara terperinci bagi melihat apa keperluan untuk menghadapi kelayakan Piala Uber dan Piala Thomas. Soalnya, mereka tidak pamer peningkatan,” kata Norza yang juga Pengerusi Jawatankuasa Kejurulatihan dan Latihan (C&T).

Sementara itu, bekas pemain nombor satu dunia, Datuk Lee Chong Wei dijadualkan menentang pilihan keenam dari China, Shi Yuqi di separuh akhir, hari ini.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 25 November 2017 @ 7:33 PM