PRESIDEN BAM, Datuk Seri Mohamad Norza Zakaria. FOTO Hasriyasyah Sabudin
PRESIDEN BAM, Datuk Seri Mohamad Norza Zakaria. FOTO Hasriyasyah Sabudin
Fabian Peter

 

KUALA LUMPUR: Persatuan Badminton Malaysia (BAM) dalam keadaan genting dan nyata memerlukan satu perubahan besar bermula dengan Jawatankuasa Kejurulatihan dan Latihan (C&T).

Pencapaian hambar di Sukan Asia adalah tamparan baru untuk badan induk itu apabila Malaysia untuk kali pertamanya sejak edisi 1986 di Seoul, Korea Selatan pulang ke tanah air tanpa meraih sebarang pingat.

Malah skuad negara juga gagal memenuhi sasaran pada Sukan Komanwel di Gold Coast, Australia, April lalu sertai Piala Thomas dan Uber di Bangkok sebulan selepas itu.

Presiden BAM, Datuk Seri Mohamad Norza Zakaria pada Ahad mengkritik Jawankuasa C&T yang diketuai Setiausaha Kehormat, Datuk Ng Chin Chai.

Beberapa pihak termasuk jurulatih turut menyuarakan kebimbangan mereka meminta agar Jawatankuasa C&T dirombak berikutan kegagalan di Indonesia.

"Jawatankuasa C&T ini perlu bertanggungjawab. Apa yang mereka lakukan selama ini? 

"Banyak permainan politik dan ia adalah perkembangan tidak sihat. Jawatankuasa ini tidak boleh mengamalkan pilih kasih.

"Perkara ini sudah lama berlaku dan ia perlu dihentikan. Kami memerlukan rombakan secara keseluruhan," kata sumber badan induk itu.

Menurut sumber lagi, pemimpin yang mempunyai agenda peribadi perlu meninggalkan jawatankuasa itu kerana selaku ketua mereka perlu menjadi contoh dan mengamalkan ketelusan.

"Saya tahu mereka ini sangat berbahaya bermain politik yang membabitkan beberapa jurulatih serta pemain utama.

"Apa gunanya membawa jurulatih luar dan membayar mereka sebanyak RM30,000 sebulan apabila tiada keputusan memberangsangkan?

"Kenapa perlu menghantar pemain menyertai kejohanan sedangkan mereka gagal meraih pencapaian memberangsangkan?

"Perlu ada sistem yang lebih baik. Pemain perlu terlebih dulu membuktikan mereka layak untuk menyertai pertandingan.

"Pemain yang mempunyai masalah disiplin, yang tidak boleh bekerjasama antara satu sama lain perlu dikeluarkan," katanya.

 

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 27 Ogos 2018 @ 10:04 PM