DZULKIFLI (kanan) menerima anugerah disampaikan Akhbar pada Majlis AIGA 2023 di Putrajaya.
DZULKIFLI (kanan) menerima anugerah disampaikan Akhbar pada Majlis AIGA 2023 di Putrajaya.
Suliati Asri


Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (UIAM) menerima Anugerah Perak pada Majlis Anugerah Integriti, Governans dan Anti Rasuah (AIGA) 2023 yang berlangsung di Putrajaya, baru-baru ini.

Lebih membanggakan apabila UIAM adalah universiti awam yang pertama menerima Anugerah Perak AIGA 2023.

Anugerah yang disampaikan Ahli Lembaga Pengarah, Institut Integriti Malaysia (IIM) Datuk Sri Akhbar Abdul Sata @ Satar itu diterima Rektor UIAM Profesor Emeritus Tan Sri Datuk Dzulkifli Abdul Razak.

Dzulkifli berkata, anugerah itu adalah salah satu etikad UIAM dalam mengamalkan budaya kerja yang baik dan berintegriti serta menolak sebarang unsur rasuah dalam semua bidang pengurusan dan akademik.

"Anugerah ini amat bermakna buat UIAM kerana ia membuktikan yang kami (UIAM) sentiasa komited menolak sebarang unsur rasuah dan mengamalkan budaya kerja berintegriti dan tatakelola 'governans' yang baik.

"Ia juga adalah selaras wawasan UIAM mengenai beramanah tanpa kompromi.

"Budaya kerja yang baik dan berintegriti juga adalah dituntut dalam agama dan sebagai salah sebuah universiti Islam kami perlu memberikan contoh baik serta mengamalkan sikap beramanah dan berintegriti," katanya.

Anugerah Integriti, Governans dan Anti Rasuah (AIGA 2023) adalah anugerah bagi memberikan pengiktirafan dan penghargaan kepada sektor awam serta swasta yang menzahirkan komitmen dalam pembudayaan dan pengamalan integriti, tadbir urus terbaik serta inisiatif antirasuah dalam organisasi.

Pada 2022, buat julung kalinya IIM memperkenalkan AIGA di seluruh negara sebagai satu mekanisme untuk mengukur usaha dan keberkesanan inisiatif integriti serta tatakelola dalam sesebuah organisasi.

Matlamat AIGA ini diadakan untuk memberi pengiktirafan dan penghargaan atas usaha yang dilakukan agensi dalam menambah baik landskap dan ekosistem Integriti, Governans dan Antirasuah dalam semua industri di Malaysia.

Selain itu juga, ia menyerlahkan keupayaan, kemampuan, komitmen dan kesungguhan sektor swasta dan awam dalam usaha pelaksanaan sistem kawalan dalaman khususnya mencegah risiko rasuah, integriti dan tatakelola.

AIGA ini juga dapat mewujudkan satu persaingan sihat dalam sektor swasta dan awam dalam pembudayaan integriti, tatakelola dan antirasuah.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 26 Februari 2024 @ 6:30 AM