Foto hiasan
Foto hiasan
Sri Ayu Kartika Amri

Kuala Lumpur: UDA Holdings Berhad (UDA), syarikat pemaju hartanah, pengurusan aset dan fasiliti muncul sebagai agensi pertama di bawah Kementerian Pembangunan Usahawan dan Koperasi (Medac) yang disahkan pensijilan ISO 37001:2016 Sistem Pengurusan AntiRasuah (ABMS) sejak 31 Ogos tahun ini.

Badan pensijilan antarabangsa, ABAC Center of Excellence Limited, United Kingdom (ABAC) menyempurnakan penyerahan sijil ABMS dalam majlis sambutan Hari Integriti UDA 2021 yang berlangsung di Ibu Pejabat UDA di Kompleks Pertama, baru-baru ini.

Pengerusi UDA Datuk Norliza Abdul Rahim berkata, pensijilan itu adalah landasan untuk UDA memperkemas pelan dan tatacara berkaitan tadbir urus, integriti dan antirasuah bagi menangani peruntukan liabiliti korporat mengikut Seksyen 17A, Akta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) 2009 dan selaras dengan Pelan Antirasuah Nasional 2019-2023 (NACP).

"Pengiktirafan ini juga dapat mengukur keberkesanan langkah-langkah pencegahan dan tindakan menangani rasuah berlandaskan piawaian atau standard antarabangsa.

"Saya yakin pensijilan ISO 37001:2016 ABMS serta semua Tatacara Mencukupi UDA, baik yang sedia ada mahupun yang sedang dibangunkan, akan dapat memperteguhkan lagi kewibawaan dan memupuk nilai integriti seluruh warga kerja Kumpulan UDA, serta mampu meneruskan legasi UDA yang bebas rasuah dan bebas daripada perbuatan melanggar etika.

"Semoga usaha murni UDA dalam menerapkan serta membudayakan nilai-nilai integriti terutamanya dalam melaksanakan tugasan harian adalah seiring dengan usaha kerajaan menuju ke arah Keluarga Malaysia-Makmur, Inklusif dan Mampan," katanya dalam satu kenyataan.

Beliau berkata, menyahut seruan Medac dalam memperkasa 'Bangsa Usahawan', UDA juga akan memastikan setiap tindakan yang diambil bagi menjayakan hasrat murni kementerian dalam setiap segmen perniagaannya adalah berlandaskan integriti, akauntabiliti dan ketelusan bagi membendung amalan rasuah, penyelewengan serta salah guna kuasa.

Menurutnya, komitmen dan iltizam antirasuah yang dimanifestasi Lembaga Pengarah dan Pengurusan UDA adalah selari dengan strategi yang digariskan di bawah Rancangan Malaysia ke-12, 2021-2025 iaitu 'Memperkukuh Ekosistem Tadbir Urus' menerusi pelan tindakan 'Mendukung Integriti, Ketelusan dan Keberkecualian Pada Semua Peringkat'.

Di samping itu, UDA turut menjalinkan kerjasama strategik dan perkongsian pintar dengan SPRM, IIM, Transparency International–Malaysia (TI-M) dan Malaysian Institute of Corporate Governance (MICG) dalam usaha memartabatkan budaya kerja berintegriti serta mewujudkan ekosistem pencegahan rasuah yang efektif.

Pada sambutan Hari Integriti 2021, UDA juga mengumumkan pelaksanaan kaji selidik tahunan Integrity Assessment Tools (IAT) yang dibangunkan IIM, bagi mengukur dan menanda aras amalan dan budaya tadbir urus, integriti dan antirasuah di UDA bermula 2021.

Selain itu, UDA juga akan melaksanakan 'Deklarasi Aset dan Liabiliti' yang dbuat setiap tahun, bermula Januari 2022 di mana seluruh warga kerja UDA, termasuk Ahli-Ahli Lembaga Pengarah dan Pengurusan Tertinggi UDA dikehendaki membuat pengisytiharan secara elektronik.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 10 Disember 2021 @ 4:13 PM