SK Taman Merdeka anjur program sambutan Hari Kebangsaan selama sebulan dengan pelbagai acara menarik.
SK Taman Merdeka anjur program sambutan Hari Kebangsaan selama sebulan dengan pelbagai acara menarik.
Suliati Asri


Setiap tahun sambutan Bulan Kebangsaan antara acara yang dinanti warga sekolah baik murid mahupun guru.

Suasana di sekolah yang dipenuhi bendera Jalur Gemilang ditambah dengan dekorasi kreatif warganya menjadikan sambutan Bulan Kebangsaan itu sesuatu yang cukup istimewa.

Tidak terkecuali Sekolah Kebangsaan (SK) Taman Merdeka, Melaka. Sambutan Bulan Kemerdekaan menjadi acara tahunan yang pastinya dinanti-nantikan seluruh warganya.

Kemeriahannya turut diserikan dengan pelbagai aktiviti menarik dan berunsur patriotik untuk menyemai semangat cintakan negara dalam kalangan murid-murid khasnya.

Penyelaras Sambutan Bukan Kemerdekaan SK Taman Merdeka, Adib Ahmad berkata, sambutan itu dianjurkan bertujuan mencungkil bakat dan kreativiti murid melalui aktiviti yang dijalankan.

Katanya, ia pada masa sama bermatlamat meningkatkan kesedaran kepada murid untuk menghayati makna kemerdekaan dan mensyukuri nikmat kebebasan yang dikecapi ketika ini.

"Sambutan ini berlangsung selama sebulan bermula 15 Ogos hingga 15 September dan menyenaraikan pelbagai aktiviti termasuk pertandingan basikal berhias, pakaian beragam, deklamasi puisi merdeka, nyanyian lagu patriotik dan kelas ceria merdeka yang secara tidak langsung boleh menanam semangat patriotik.

"Ini kerana murid dan guru akan berusaha untuk melakukan yang terbaik bagi menjayakan aktiviti disertai.

"Contohnya, mereka akan mencari inisiatif untuk membeli dan menghias dengan bendera Jalur Gemilang, menyanyikan lagu-lagu patriotik, membuat rujukan maklumat mengenai kemerdekaan di Internet dan mencetak gambar-gambar serta simbol-simbol yang berkaitan dengan semangat patriotisme," katanya.

ANTARA basikal yang dihias murid.
ANTARA basikal yang dihias murid.

Pertandingan basikal berhias diperkenalkan umpamanya mula diperkenalkan pada tahun 2019 dan sehingga kini mendapat sambutan menggalakkan setiap tahun.

Penyelaras Pertandingan Basikal Berhias, Aini Abu berkata, untuk tahun ini saja seramai 19 penyertaan yang diterima dan masing-masing menunjukkan kreativiti yang luar biasa.

Katanya setiap tahun pertandingan ini mendapat sambutan menggalakkan daripada murid tahap satu hingga enam.

"Menerusi pertandingan ini, murid diberi masa lebih kurang dua minggu untuk melengkapkan hiasan.

"Murid juga menggunakan basikal sendiri yang dihias sendiri di rumah. Bagaimanapun, bagi tahap satu mereka akan dibantu ibu bapa.

"Manakala untuk kriteria pemarkahan pula ia dinilai berdasarkan kreatif cantik, menarik, kekemasan dan menunjukkan ciri-ciri patriotik yang tinggi," katanya.

Apa juga aktiviti yang disertai pelajar, ia tidak akan terlaksana tanpa sokongan padu ibu dan bapa.

Jurutera, Amirul Herman Razali, 41, berkata, dia menyokong penuh usaha anaknya menyertai pertandingan basikal berhias kerana ingin melihat anaknya bersemangat dan menanam sikap cintakan tanah air.

Atas dasar itu, katanya anaknya akan menyertai pertandingan sempena sambutan itu setiap tahun yang dianjurkan pihak sekolah.

"Saya memberi kebenaran kerana melihat kesungguhan dan semangatnya untuk mengibarkan Jalur Gemilang.

"Untuk pertandingan basikal berhias, tahun lepas anak saya mendapat sagu hati. Bagi pertandingan yang berlangsung Jumaat lepas, belum dapat keputusan lagi," katanya yang membelanjakan lebih RM70 untuk menghias basikal.

Sementara itu Penolong Kanan Pentadbiran, Noran Haizura Nordin berharap, seluruh warga SK Taman Merdeka khasnya kepada murid-murid untuk terus merebut peluang menyertai aktiviti yang diadakan sepanjang program itu dijalankan.

Katanya, peluang dan pengalaman seumpama ini sangat berharga selain dapat dijadikan sebagai kenangan indah di bangku sekolah.

"Nilai-nilai murni yang diterapkan sepanjang penganjuran sambutan ini juga diharap dapat membentuk jati diri murid yang sayang dan cinta akan Malaysia.

"Semoga program sambutan Bulan Kebangsaan ini dapat diteruskan lagi pada masa akan datang dengan membabitkan yang lebih ramai terutamanya kerjasama dengan pihak ibu bapa dan komuniti setempat," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 28 Ogos 2023 @ 7:00 AM