IDEA kreatif untuk menyemarakkan kemerdekaan yang dilakukan guru dan murid.
IDEA kreatif untuk menyemarakkan kemerdekaan yang dilakukan guru dan murid.
Fazurawati Che Lah

Sambutan Bulan Kemerdekaan di peringkat sekolah dapat memupuk semangat patriotisme dalam kalangan pelajar.

Penolong Kanan Kokurikulum Sekolah kebangsaan (SK) Jalan U3, Subang Perdana, Shah Alam, Selangor, Nor Anidah Jaafar berkata, dengan adanya semangat patriotisme dalam diri pelajar, ia secara tidak langsung dapat menanam sikap cinta negara pada setiap masa.

Katanya, antara aktiviti yang boleh diadakan dan dapat memupuk semangat patriotisme ialah pameran dan tayangan filem berkenaan peristiwa tuntutan kemerdekaan negara kita.

"Pelajar yang mempunyai semangat patriotisme ini pasti akan mempertahankan negara daripada ancaman musuh pada sepanjang masa.

"Program Sambutan Bulan Kemerdekaan juga membolehkan pelajar menghargai pejuang kemerdekaan. Sesungguhnya jasa pejuang kemerdekaan patut dihargai. Pejuang kemerdekaan ini banyak berkorban harta dan nyawa untuk memerdekakan negara," katanya kepada Nuanasa pada Sambutan Bulan kemerdekaan dan Hari Malaysia di sekolah berkenaan, baru-baru ini.

Lebih 1,700 murid dan guru SK Jalan U3 sesi pagi dan petang terbabit dalam program kibar Jalur Gemilang sebagai gimik pelancaran.

Sepanjang bulan kemerdekaan itu, pelbagai program bakal dilaksanakan antaranya tayangan filem patriotik, pertandingan kolaj kemerdekaan, melukis poster, menulis surat kepada pemimpin, laungan dan sorakan kemerdekaan, pakaian beragam dan pertandingan keceriaan kelas.

Nor Anidah berkata, aktiviti santai berkenaan kemerdekaan seperti nyanyian lagu patriotik, pertandingan pakaian tradisional, menghias basikal, kelas dengan bendera dan sebagainya sedikit sebanyak mendorong murid sayangkan negara.

"Melalui aktiviti seperti ini, sambutan bulan kebangsaan ini akan menjadi sesuatu yang murid nantikan setiap tahun.

"Pertandingan umpamanya menarik murid untuk menyertainya, dengan ini sedikit sebanyak murid dapat menghayati kemerdekaan," katanya.

Katanya, program Sambutan Bulan Kemerdekaan juga dapat memupuk perpaduan di antara pelajar yang berbilang kaum menerusi program Kibarkan Jalur Gemilang dan nyanyian lagu patriotik.

"Pelajar yang sedar berkenaan kepentingan perpaduan kaum pasti tidak akan melakukan perbuatan yang menyinggung perasaan kaum lain di sekolah.

"Sambutan Bulan Kemerdekaan juga dapat memupuk nilai murni dalam kalangan pelajar. Amalan nilai-nilai murni ini penting bagi memelihara keharmonian hidup pelajar di sekolah. Antara nilai murni ialah bekerjasama, bertolak ansur dan berfikiran positif," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 3 September 2018 @ 1:20 PM