NUKMAN (dua, kiri) dan Dr Mohd Nordin (kiri) melawat booth pameran produk Industri Kecil Sederhana (IKS).
NUKMAN (dua, kiri) dan Dr Mohd Nordin (kiri) melawat booth pameran produk Industri Kecil Sederhana (IKS).
Nurul Fatihah Sulaini


Lembaga Pemasaran Pertanian Persekutuan (FAMA) Terengganu berjaya melahirkan kira-kira 1,050 usahawan siswa institut pengajian tinggi (IPT) yang menyertai program New Breed Marketing Entreprenuer (NBME).

Pengarah FAMA Terengganu, Nukman Hashim berkata, pihaknya mengadakan kerjasama dengan tiga IPT iaitu Universiti Teknologi MARA (UiTM) Kampus Dungun, Politeknik Dungun dan Universiti Sultan Zainal Abidin (UniSZA Kampus Besut).

Katanya, daripada jumlah itu membabitkan 50 penuntut UiTM Dungun, 850 penuntut Politeknik Dungun serta 150 penuntut UniSZA Besut.

"Program NBME ini bertujuan melahirkan ramai usahawan baru termasuk dalam kalangan pelajar IPT yang memfokuskan kepada pemasaran dalam talian melalui platform digital.

"Mereka akan berperanan sebagai ejen pemasar menggunakan konsep 'reseller' atau dropship Agrobazaar Online untuk dimanfaatkan pelajar bagiu menjana pendapatan seterusnya menjadi seorang usahawan pemasar secara digital.

"Kita menyasarkan seramai 10,000 usahawan siswa dilatih dalam bidang berkaitan pemasaran digital dalam tempoh lima tahun," katanya.

Beliau berkata demikian ketika Majlis Perasmian Program NBME Ejen Pemasar FAMA @ UniSZA Kampus Besut, Besut, Terengganu baru-baru ini.

NUKMAN dan serta Dr Mohd Nordin bersama peserta program ketika Majlis Perasmian Program NBME Ejen Pemasar FAMA @ UniSZA Kampus Besut, baru-baru ini.
NUKMAN dan serta Dr Mohd Nordin bersama peserta program ketika Majlis Perasmian Program NBME Ejen Pemasar FAMA @ UniSZA Kampus Besut, baru-baru ini.

Turut hadir, Pengarah Kampus UniSZA Besut Profesor Dr Mohd Nordin Abdul Rahman dan Dekan Fakulti Biosumber dan Industri Makanan UniSZA Kampus Besut, Profesor Dr Hafizan Juahir.

Nukman berkata, penuntut yang menyertai program ini secara tidak langsung akan dapat menjana pendapatan sendiri walaupun masih belum menamatkan pengajian.

"Komponen program terdiri daripada latihan, khidmat sokongan, platform perdagangan, pembangunan komuniti serta rantaian nilai perniagaan dalam talian dan 'offline," katanya.

Sementara itu, Dr Mohd Nordin berkata, penuntut IPT berkenaan terutamanya yang mengikuti kursus Sarjana Muda Agro Tani berpeluang belajar pemasaran produk pertanian secara teori melalui teknologi Internet pemasaran digital.

"Menerusi program seperti ini akan mendedahkan mereka secara praktikal serta menjadi salah satu alternatif bagi penuntut memasarkan produk pertanian mereka melalui Agrobazaar Online apabila mereka terbabit sepenuhnya dalam pertanian kelak.

"Kita juga menyediakan tanah seluas 40.5 hektar (100 ekar) yang dikenali sebagai Agropreneur Incubator Park (AIP) kepada pelajar dan alumni yang memohon untuk melaksanakan projek pertanian.

"Antara projek pertanian yang diusahakan seperti ubi keledek, tembikai dan jagung. Kita memperuntukkan tanah kira-kira dua hektar (lima ekar) untuk setiap pelajar yang memohon," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 24 April 2023 @ 6:45 AM