CONTOH projek tanaman vitato di Setiu, Terengganu yang akan diperluaskan ke Besut melalui UniSZA.
CONTOH projek tanaman vitato di Setiu, Terengganu yang akan diperluaskan ke Besut melalui UniSZA.
Nurul Fatihah Sulaini


UNIVERSITI Sultan Zainal Abidin (UniSZA) Kampus Besut, Besut, Terengganu menggunakan Model Projek Pertanian Lestari untuk penanaman ubi keledek Vitato meliputi kawasan seluas 40.5 hektar (100 ekar) tahun ini.

Dekan Fakulti Biosumber dan Industri Makanan UniSZA, Profesor Dr Hafizan Juahir berkata, peruntukan berjumlah RM 2 juta dari Jabatan Pertanian Terengganu untuk pembangunan tanah berpontensi digunakan bagi melaksanakan projek itu di UniSZA Kampus Besut.

Katanya, projek berkenaan dapat meningkatkan pendapatan warga kampus serta komuniti masyarakat setempat terutamanya golongan B40.

"Projek perintis ubi keledek vitato sudah dilaksanakan membabitkan kawasan seluas 7.7 hektar (19 ekar) dan 2.2 hektar (5 ekar) sudah mengeluarkan hasil. "Permintaan terhadap ubi keledek Vitato amat tinggi dan mempunyai pasaran luas untuk dikomersialkan," katanya ketika ditemui di UniSZA, Besut, baru-baru ini.

Dr Hafizan berkata, Model Projek Pertanian Lestari berkenaan membabitkan beberapa komponen bagi meningkatkan pendapatan komuniti B40 dan melaksanakan program kitar semula sisa makanan melalui penggunaan baja kompos.

"Penggunaan baja kompos dapat menjimatkan kos baja tanaman ubi keledek Vitato dan membantu masyarakat menambah pendapatan sampingan dengan menjual baja kompos kepada kami sebagai usaha membudayakan kempen kitar semula," katanya.

Katanya, langkah itu diambil bagi mengatasi masalah pertambahan jumlah sisa makanan terbuang setiap hari dan sebagai langkah permulaan mereka bekerjasama dengan Sekolah Kebangsaan Beting Lintang melaksanakan projek menghasilkan baja kompos menggunakan lalat askar hitam atau Black soldier Fly (BSF) di kawasan sekolah.

"Projek perintis itu dilaksanakan dalam tempoh enam bulan sehingga Mac tahun hadapan bertujuan untuk mendedahkan murid berkenaan teknik penghasilan baja kompos secara semula jadi melalui pembelaan lalat askar hitam dengan kos rendah di sekolah," katanya.

Beliau berkata, murid sekolah juga didedahkan dengan teknik penanaman dan penjagaan tanaman secara fertigasi yang akan diberi baja kompos BSF dijangka mampu untuk meningkatkan kesedaran berkenaan pengurusan sisa yang lebih baik di kalangan murid sekolah.

Profesor Dr Hafizan yang juga Ketua Projek, Kajian Pengurusan Sisa Pepejal Fasa 1, di Negeri Terengganu (Daerah Kuala Terengganu dan Kuala Nerus) Terengganu Strategic & Integrity Institute (TSIS) berkata, pembuangan sisa makanan dikenal pasti menjadi penyumbang utama kepada pertambahan sisa pepejal di Terengganu.

Katanya, hasil penyelidikan sehingga Mei lalu mendapati sisa makanan menyumbang 30 peratus daripada hasil keseluruhan sisa pepejal di negeri ini.

"Dianggarkan sebanyak 800 tan sisa pepejal dihasilkan di Terengganu dan daerah Kuala Terengganu menjadi daerah tertinggi iaitu 240 tan sehari.

"Faktor kepesatan pembangunan di samping pelancongan sebagai aktiviti ekonomi utamanya, turut menyebabkan penjanaan sisa pepejal semakin bertambah setiap hari," katanya.

Dr Hafizan berkata, diikuti pembuangan botol plastik (23 peratus), kertas terpakai (15 peratus), botol (15 peratus), surat khabar (lapan peratus), tin aluminium (enam peratus), sisa kebun taman ( dua peratus) serta logam (satu peratus).

"Berdasarkan hasil kajian membuktikan bilangan isi rumah serta kefahaman isi rumah memainkan peranan penting terhadap asas penjagaan serta kebersihan melalui kaedah kitar semula," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 4 September 2023 @ 6:50 AM