PENGUNJUNG disajikan dengan pelbagai juadah.
PENGUNJUNG disajikan dengan pelbagai juadah.
AHMAD Shabery dan Badruddin (tengah) pada Majlis Sambutan Aidilfitri FAMA di Selayang, Selangor, baru-baru ini.
AHMAD Shabery dan Badruddin (tengah) pada Majlis Sambutan Aidilfitri FAMA di Selayang, Selangor, baru-baru ini.
RAGAM ceria di gerai durian.
RAGAM ceria di gerai durian.
Oleh Mohamad Hussin

Lembaga Pemasaran Pertanian Persekutuan (FAMA) akan membina pejabat korporat dan Agrobazaar Malaysia yang dijangka siap dalam tempoh tiga tahun membabitkan peruntukan RM250 juta di Kelana Jaya, Selangor.

Pengerusi FAMA Tan Sri Badruddin Amiruldin berkata, reka bentuk bangunan pejabat dan agrobazaar itu berasaskan penggabungan perkhidmatan dan aktiviti pemasaran hasil pertanian yang dilaksanakan.

Beliau berkata, terdapat tiga faktor utama dijadikan asas kepada reka bentuk iaitu peranan FAMA sebagai peneraju utama pemasaran makanan dan hasil pertanian.

“Bangunan itu akan memberi keselesaan fizikal dan sosio emosi kepada warga dan khalayak FAMA sebagai petunjuk kualiti perkhidmatan yang disampaikan.

“Reka bentuk yang dicadangkan perlu menjadi mercu tanda kepada FAMA sebagaimana visi dan misi serta objektif kewujudan FAMA.

“Kesinambungan pewujudan agrobazaar bermula dari Agrobazaar Malaysia di Singapura yang dirasmikan Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak pada 27 Ogos tahun lalu,” katanya pada Majlis Sambutan Aidilfitri FAMA di Selayang, Selangor, baru-baru ini.

Majlis turut dihadiri Menteri Pertanian dan Industri Asas Tani Datuk Seri Ahmad Shabery Cheek dan timbalannya, Datuk Seri Tajuddin Abdul Rahman serta Ketua Pengarah FAMA Datuk Ahmad Ishak.

Katanya, konsep reka bentuk bangunan baru itu akan mengikut piawaian bangunan hijau yang memberi keutamaan kepada perlindungan dan penggunaan sumber semula jadi bagi memelihara alam sekitar.

“Kami juga akan menyediakan satu ruang bagi memasarkan barang pertanian serta produk industri kecil dan sederhana (IKS) di bangunan berkenaan,” katanya.

Sementara itu, sempena sambutan ulang tahun FAMA ke-50 bulan depan, pihaknya akan menganjurkan perhimpunan membabitkan 30,000 usahawan di seluruh negara.

“FAMA disarankan untuk menjadi tonggak utama dalam menguasai peranan berkaitan keselamatan makanan negara.

“Usaha ke arah ini perlu dijelaskan kepada pemimpin negara melalui peluang mengadakan sambutan ulang tahun ke-50 FAMA membabitkan usahawan, pemasar serta institusi pengajian tinggi (IPT).

“Sempena perhimpunan itu, kami akan mengadakan pameran dan perkhidmatan FAMA mengikut kluster negeri masing-masing,” ­katanya.

Menurutnya, pameran reka cipta inovasi dan kreativiti syarikat swasta berkaitan kemudahan pemasaran hasil pertanian serta industri asas tani seperti mesin cipta baru untuk hasil selepas menuai.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 18 Ogos 2015 @ 10:48 AM