Ti (tengah) berucap ketika majlis penyerahan Sijil Pengiktirafan Malaysia Book Of Records : “Siaran Langsung Sembang Santai Belia Paling Lama Tanpa Henti Secara Berganti-ganti” selepas program itu berakhir.
Ti (tengah) berucap ketika majlis penyerahan Sijil Pengiktirafan Malaysia Book Of Records : “Siaran Langsung Sembang Santai Belia Paling Lama Tanpa Henti Secara Berganti-ganti” selepas program itu berakhir.

Program Siaran Langsung Sembang Santai Belia Paling Lama Tanpa Henti Secara Berganti-Ganti anjuran Institut Pembangunan dan Kecemerlangan Kepimpinan (i-LEAD), Kementerian Belia dan Sukan (KBS) baru-baru ini berjaya mendapat pengiktirafan Malaysia Book Of Records.

Untuk mendapatkan pengiktirafan itu, sasaran yang ditetapkan ialah 88 jam masa bersiaran merangkumi 66 topik perbincangan dan menampilkan 99 panel yang terdiri daripada pegawai i-LEAD, wakil persatuan, pertubuhan bukan kerajaan (NGO) dan sebagainya.

Penyerahan Sijil Pengiktirafan Malaysia Book Of Records: Siaran Langsung Sembang Santai Belia Paling Lama Tanpa Henti Secara BergantiGanti disampaikan wakil Malaysia Book Of Records, Siti Nurhanim Mohd Noh dan Mohamad Nazrul Hafizi Ahmad Fauzi kepada Timbalan Menteri Belia dan Sukan, Datuk Seri Ti Lian Ker, baru-baru ini.

Program yang dijayakan dengan kolaborasi bersama Persatuan Kelab-kelab Belia Malaysia (MAYC) itu diadakan bagi berkongsi maklumat berkaitan i-LEAD serta isu-isu berkaitan belia pada masa ini.

Selain itu juga, ia adalah sebagai satu platform untuk belia dan pemegang taruh bertukar-tukar idea dan pendapat mengenai hala tuju serta peranan generasi masa kini yang akan menerajui negara pada masa akan datang.

Program ini berjaya menyasarkan 5,000 tontonan secara kumulatif bagi lima hari bersiaran langsung dan lebih 150 orang peserta turut hadir secara bersemuka yang terdiri daripada pelajar-pelajar institut pengajian tinggi awam.

Konsep program ini berbentuk sembang santai yang dilaksanakan secara dalam talian menerusiaplikasi You Tube i-LEAD Channel, KBS dan Aplikasi Zoom dan bersiaran secara langsung di studio khas di Akademi Kenegaraan.

Pada masa sama, i-LEAD dalam kenyataan media memaklumkan pihaknya begitu teruja dan amat bangga dengan pencapaian yang julung kalinya dilakukan agensi kerajaan.

"Kejayaan ini menunjukkan bahawa agensi kerajaan juga mampu, peka dan bersedia memberikan perkhidmatan yang terbaik kepada rakyat melalui medium teknologi masa kini.

"i-LEAD juga berharap supaya belia yang mengikuti program ini mendapat banyak faedah dan manfaat untuk kemajuan diri mereka.

"Terima kasih diucapkan kepada semua yang terbabit serang langsung mahupun tidak langsung dalam menjayakan cabaran Malaysia Book Of Records: Siaran Langsung Sembang Santai Belia Paling Lama Tanpa Henti Secara Berganti-Ganti," menurut kenyataan media yang dikeluarkan baru-baru ini.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 29 Ogos 2022 @ 1:21 PM