FOTO HIASAN
FOTO HIASAN
Essa Abu Yamin

Putrajaya: Kapal terbang ringan yang akan ditenggelamkan di Pulau Lang Tengah, Terengganu pada minggu hadapan untuk dijadikan tukun bakal mencatat rekod baru Malaysia Book of Records (MBR).

Presiden Persatuan Perkhidmatan Tadbir dan Diplomatik (PPTD) Malaysia Datuk Seri Sallehhuddin Hassan berkata, pihak PPTD Divers akan mencatat rekod MBR dengan menurunkan sebuah kapal terbang ringan jenis Piper PA-31 Navajo atau Chieftain ke dasar laut di pulau berkenaan sebagai tukun rekreasi.

"Usaha untuk menenggelamkan kapal terbang berkenaan bakal dilaksanakan bermula 19 hingga 22 Mei hadapan dan merupakan cubaan kali pertama yang bakal dilakukan di Malaysia.

"Ia diharapkan dapat membantu pemeliharaan dan pemuliharaan hidupan marin dengan menggalakkan pertumbuhan terumbu karang disamping menjadi salah satu tarikan di Pulau Lang Tengah," katanya dalam satu kenyataan.

Sallehhuddin berkata, ketika perancangan projek berkenaan, pihak PPTD sudah mendapat pengesahan daripada pihak Bahagian Taman Laut, Jabatan Perikanan Malaysia, Kementerian Pertanian dan Industri Asas Tani (MAFI) termasuk MBR.

"Usaha mencatat rekod MBR ini turut membabitkan pemilik rangka kapal terbang berkenaan, Dorken Reef Resources (DRR) yang juga berkepakaran dalam pengendalian pemasangan dan pembinaan tukun.

"Usaha berkenaan turut mendapat kerjasama daripada kerajaan negeri, Jabatan Perikanan Malaysia, Kementerian Kewangan Malaysia, Universiti Malaysia Terengganu (UMT) dan Lembaga Kemajuan Ikan Malaysia (LKIM) serta sokongan strategik daripada Summerbay Resort Lang Tengah Island, Evenesis dan Gaya Travel Magazine," katanya.

Menurutnya, bagi majlis pra-pelancaran 'Program PPTD – Malaysia Book of Records: First Aircraft Reef in Malaysia' itu telah disempurnakan oleh Ketua Setiausaha Negara Tan Sri Datuk Seri Mohd Zuki Ali di Pejabat Ketua Setiausaha Negara, Putrajaya kelmarin.

Turut hadir ketika majlis berkenaan adalah Setiausaha PPTD Nazli Md Taib, Exco Sukan & Rekreasi PPTD Norhasmat Abdul Aziz dan Penasihat Teknikal Program Noriqram Mohd Nor.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 13 Mei 2022 @ 11:35 AM