Omar Ahmad


Johor Bahru: Kementerian Belia dan Sukan berharap peruntukan Belanjawan 2023 yang dijadualkan dibentang Oktober depan memberi tumpuan kepada pembangunan belia selain memperkasakan sukan.

Menterinya, Datuk Seri Ahmad Faizal Azumu berkata, program seperti Malaysia Future Leader School (MFLS) perlu diberi keutamaan bagi memberi pendedahan dan tanggungjawab kepada golongan itu.

"Selain program pembangunan belia, usaha kerajaan untuk memastikan masa depan negara terjamin perlu diperkasa.

"Menerusi program MFLS ini ia mampu menyemarakkan lagi potensi belia sebagai pemimpin, memberi pendedahan kepada para belia tentang tanggungjawab mereka melalui undi 18 dan sebagainya.

"Ini adalah usaha-usaha yang jauh lebih penting daripada sukan sebenarnya yang perlu kita laksanakan. Tentunya saya percaya Kementerian Kewangan akan memberi kita peruntukan secukupnya bagi memastikan program-program sebegini kita dapat laksanakan," katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang media selepas merasmikan Stadium Mini Arena di Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Bandar Baru Uda di sini, hari ini.

Program MFLS di bawah Institut Pembangunan dan Kecermerlangan Kepimpinan (i-LEAD) yang memasuki tahun ketiga sudah melatih seramai 65,931 peserta di Tier 2 dan 545 (Tier 3).

Objektif utama program MFLS berdasarkan tujuh elemen iaitu kepimpinan, kenegaraan, pembentukan watak dan jati diri, keusahawanan, sukarelawan, komunikasi dan pengantarabangsaan.

Menerusi program MFKS juga, acara seperti bicara tokoh, pengenalan sukarelawan, lawatan institusi dan parlimen belia dijalankan sebagai pendedahan secara langsung kepada peserta

Jelas Ahmad Faizal, dari segi memperkasakan sukan pula, KBS mahu usaha menghidupkan industri sukan diteruskan.

Katanya apabila sukan dapat dibudayakan melalui 'Malaysia Sport League (MSL)', 'Malaysia Little League (MLL)', e-sport dan pelbagai program lain sedia ada.

"Apabila ini semua dibudayakan limpahan ekonomi kepada negara itu akan menjadi lebih besar, pertamanya rakyat cerdas dan sihat maka dalam jangka masa panjang kita tidak perlu menggunakan peruntukan besar melalui Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM).

"Kedua, berlaku limpahan ekonomi apabila semua pemain perlu peralatan sukan dan perkakasan sukan dan ini akan mendatangkan pulangan kembali kepada kerajaan.

"Ia juga memberi peluang pekerjaan kepada kepada bekas atlet, jadi lebih besar sebenarnya limpahan pada rakyat," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 13 September 2022 @ 3:09 PM
Ahmad Faizal ketika menyampaikan ucapan pada Majlis Perasmian Mini Stadium Arena SMK Bandar Baru Uda, Johor Bahru. FOTO NUR AISYAH MAZALAN
Ahmad Faizal ketika menyampaikan ucapan pada Majlis Perasmian Mini Stadium Arena SMK Bandar Baru Uda, Johor Bahru. FOTO NUR AISYAH MAZALAN