ADAM Adli (tengah) bersama peserta pada Majlis Pelancaran Program Sekolah Rukun Negara di UKMBangi.
ADAM Adli (tengah) bersama peserta pada Majlis Pelancaran Program Sekolah Rukun Negara di UKMBangi.
Oleh Amir Abd Hamid


Bangi: Kementerian Belia dan Sukan (KBS) melancarkan Sekolah Rukun Negara iaitu inisiatif terkini kementerian itu menerusi Rakan Muda (Rakan Demokrasi) bertujuan menyemarakkan kefahaman dan pengetahuan demokrasi politik dalam kalangan belia.

Timbalan Menteri Belia dan Sukan, Adam Adli Abd Halim berkata, 16,759 peserta percubaan daripada pelbagai latar belakang menyertai program bermula 6 Mei hingga Jun bagi percubaan modul yang diselaraskan Institut Pembangunan dan Kecemerlangan Kepimpinan (i-LEAD).

Menurutnya, tahun ini kementerian menyasarkan 60,000 peserta program secara bersemuka dan dalam masa sama sasaran secara pendigitalan menerusi media sosial ialah sembilan juta belia seluruh negara menerusi pelbagai platform kendalian i-LEAD KBS seperti TikTok, Facebook (FB) dan Youtube.

Katanya, setakat ini sasaran secara pendigitalan menerima 2.1 juta capaian di media sosial.

"Program Sekolah Rukun Negara ini percuma, terbuka kepada semua. Ia terbahagi kepada tiga tahap, iaitu asas setengah hari, pertengahan tiga hari dua malam manakala bagi program tahap lanjutan adalah empat hari tiga malam.

"Program secara bersemuka dilaksana di 18 Kem Wawasan Negara di seluruh Malaysia. Sasaran penyertaan belia berumur 15 hingga 30 tahun khususnya bagi mereka yang mencapai umur 18 berikutan pindaan had umur mengundi pada 2019.

Sebanyak 12 perkara ditekankan ialah falsafah kenegaraan, pilihan raya, media dan akses maklumat, seni dan budaya, pentadbiran am, kerajaan tempatan, kesaksamaan gender, parti politik, institusi kehakiman, masyarakat sivil dan institusi parlimen.

Tahap asas hanya lebih kepada meningkatkan pengetahuan tentang 12 perkara, tahap pertengahan peserta didedahkan secara mendalam tentang 12 perkara dan tahap lanjutan peserta tidak hanya berada di dalam kelas, tetapi terlibat secara fizikal seperti hadir ke dewan parlimen serta menyumbang kepada masyarakat berdasarkan 12 perkara tersebut.

Beliau berkata demikianselepas merasmikan pelancaran Sekolah Rukun Negara, di Dewan Panggung Seni,Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) di sini yang turut mendapat kerjasama daripada mahasiswa Persatuan Sejarah, Sains Politik dan Strategik (PESEPSI).

Hadir sama, Timbalan Naib Canselor (Hal Ehwal Pelajar dan Alumni) UKM Prof Madya Dr Mohd Suzeren Md Jamil dan Ketua Pengarah i-LEAD Mohd Haswandi Ahmad.

Adam Adli berkata, Program Sekolah Rukun Negara dibangunkan seawal Januari lalu dan mendapat pandangan pihak berkepentingan termasuk sesi libat urus semua parti politik dan beberapa pertubuhan bukan kerajaan (NGO).

"Sesi libat urus yang sangat banyak dan pembangunan modul pada waktu itu kita harapkan dapat diteliti dengan baik.

"Kini akhirnya Program Sekolah Rukun Negara dilancar ke seluruh negara secara program tetap. Ertinya akan jadi satu daripada program flagship di bawah program Rakan Muda Rakan Demokrasi.

"Ia menjadi program nasional untuk menjawab terutama persoalan mengenai bagaimana kita nak lakukan perihal literasi politik dalam kalangan belia negara. Kita harap banyak pihak lain beri kerjasama daripada semasa ke semasa," katanya.

Beliau berkata, program itu tidak membabitkan elemen doktrinisasi oleh mana-mana parti politik.

Sebaliknya, Adam Adli berkata, pelaksanaan Program Sekolah Rukun Negara dapat merealisasikan hasrat kerajaan untuk meningkatkan keutuhan dalam aspek kenegaraan dan perpaduan.

"Ini berteraskan penghayatan kepada prinsip Rukun Negara dan Perlembagaan Persekutuan bagi meningkatkan pengetahuan serta kefahaman kepada golongan belia mengenai sistem demokrasi di Malaysia.

"Matlamatnya memastikan kita memberi pendidikan politik dan demokrasi sesuai keperluan sekarang iaitu pelajar usia 18 tahun yang sudah pun dipertanggungjawab untuk mengundi dalam pilihan raya.

"Kita beri mereka satu ruang untuk bincang mengenai politik secara sihat. Ia berkenaan program literasi politik," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 17 Julai 2023 @ 11:40 AM