MELANCARKAN program Rukun Negara @Belia.
MELANCARKAN program Rukun Negara @Belia.
AHMAD Faizal dan tetamu berikrar.
AHMAD Faizal dan tetamu berikrar.
AHMAD Faizal menerima cenderahati.
AHMAD Faizal menerima cenderahati.
AHMAD Faizal (duduk tiga dari kiri) bersama belia pada majlis pelancaran RNB di AEON Mall Klebang, Ipoh, Perak.
AHMAD Faizal (duduk tiga dari kiri) bersama belia pada majlis pelancaran RNB di AEON Mall Klebang, Ipoh, Perak.

Program Rukun Negara @Belia (RNB) dapat menyuntik dan memperkasakan semangat patriotik dalam kalangan anak muda.

Menteri Belia dan Sukan Datuk Seri Ahmad Faizal Azumu berkata, selain berpaksikan kepada Perlembagaan Negara dan Rukun Negara, RNB juga berperanan menjana serta mengukuhkan perpaduan dalam kalangan masyarakat berbilang kaum di Malaysia.

"Menerusi RNB, terdapat 10 lagi program yang dirangka di bawahnya termasuk RNB Keluarga Malaysia, RNB IPGM, RNB TVET, RNB Remaja, RNB Eksekutif, RNB Inspirasi 18, RNB Semarak Merdeka, RNB Online, RNB Undi 18 Cafe dan RNB NGO.

"Semua program di bawah RNB ini mempunyai fungsi, fokus dan tugas tersendiri, contohnya RNB IPGM direka khusus untuk belia yang berada di Institut Pendidikan Guru Malaysia," katanya ketika berucap pada majlis pelancaran RNB di AEON Mall Klebang, Ipoh di Perak, baru-baru ini.

Mengulas lanjut, Ahmad Faizal berkata, program RNB T-VET dirangka bagi belia yang berada di institusi pengajian berasaskan kemahiran.

"RNB Inspirasi 18 pula adalah bagi memberi penerangan serta pencerahan kepada anak muda berhubung penurunan had umur pengundi kepada 18 tahun.

"Terdapat tujuh lagi program yang tidak sempat saya huraikan di sini. Tetapi, maklumat lanjut boleh diperoleh daripada pegawai Institut Pembangunan dan Kecemerlangan Kepimpinan (i-LEAD) yang sentiasa sedia membantu.

Ahmad Faizal berkata, terdapat lebih 104 program RNB dilaksanakan oleh Kluster Kenegaraan pada tahun lalu dengan penyertaan lebih 62,552 orang.

"Sehingga 10 Ogos tahun ini, melalui empat kluster di i-LEAD, sebanyak 562 program sudah dilaksanakan yang turut memasukkan pengisian berkaitan pendidikan kenegaraan dan Undi 18 membabitkan penyertaan seramai 92, 760 orang. Syabas dan tahniah saya ucapkan.

"Tahniah juga saya ucapkan kepada i-LEAD di atas penganjuran program sebegini bagi meningkatkan semangat cintakan tanah air dalam kalangan belia," katanya.

Ahmad Faizal turut menzahirkan rasa teruja dan gembira di atas penyertaan daripada persatuan yang hadir sebagai tanda sokongan, sekali gus menyemarakkan lagi program yang dianjurkan itu.

Program yang berlangsung dua hari itu menyediakan pelbagai aktiviti yang boleh disertai belia antaranya Townhall RNB, Sesi Interaktif RNB, Live Buskers, Paluan Gendang, Persembahan Seni Pertahanan Diri Tradisional dan Semarak Budaya Merdeka.

"Justeru, saya menyeru masyarakat untuk turut sama memeriahkan program ini dengan terbabit dengan aktiviti yang disediakan.

"Program ini bukan sahaja dapat mengisi masa yang terluang, tetapi apa yang lebih penting memberi nilai tambah kepada belia," katanya.

Ahmad Faizal berharap program RNB itu menjadi faktor serta jambatan kepada belia untuk memberikan sumbangan kepada negara khasnya dalam melahirkan pemimpin berkualiti, bermaruah dan berintegriti.

"Saya juga berharap program seperti ini dapat dikekalkan dan diteruskan di masa hadapan demi hasrat melahirkan belia yang berdaya saing dan berketerampilan demi negara Malaysia tercinta," katanya.

Pada majlis itu, turut diperkenalkan kepada umum logo RNB yang berteraskan warna kuning, biru dan merah yang bermaksud kedaulatan, perpaduan dan keberanian.

Sementara itu, Ketua Pengarah i-LEAD Mohd Haswandi Haji Ahmad berkata, i-LEAD berperanan sebagai sebuah institusi latihan awam yang bertanggungjawab menawarkan program latihan kepada belia.

"Program latihan ini bagi memastikan golongan ini terus signifikan dalam menjadi rakan strategik pembangunan negara pada masa akan datang," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 27 Ogos 2022 @ 8:22 PM