PENDAFTARAN pelajar UPM dibahagikan kepada 3 Fasa bagi memastikan SOP dipatuhi sebaiknya.
PENDAFTARAN pelajar UPM dibahagikan kepada 3 Fasa bagi memastikan SOP dipatuhi sebaiknya.
Suliati Asri


UNIVERSITI Putra Malaysia (UPM) melaksanakan tindakan pematuhan Prosedur Operasi Standard (SOP) ketat bagi kemasukan semula pelajar ke kampus bagi sesi 2021/2022 bagi mengelakkan jangkitan dan penyebaran Covid-19 di kampus.

Naib Canselor UPM, Profesor Dr Mohd Roslan Sulaiman berkata, universiti itu sudah menggerakkan persediaan bagi menerima kemasukan pelajar ke kampus antaranya penyelarasan data pelajar yang dibenarkan kembali ke kampus selepas melengkapkan dua dos vaksin, pergerakan pelajar dan persediaan kolej kediaman.

"Oleh kerana pelajar UPM kembali ke kampus secara berperingkat, sesi pembelajaran akan dilaksanakan mengikut fasa yang ditetapkan bagi memudahkan pihak kami menyelaras pergerakan pelajar ketika di kampus," katanya.

Bagi kemasukan semula pelajar ke Kampus, UPM membahagikannya kepada tiga fasa iaitu fasa pertama dengan anggaran seramai 4,000 pelajar.

Fasa pertama membabitkan kemasukan kumpulan pelajar yang berkeperluan iaitu latihan klinikal, latihan mengajar, latihan industri yang memerlukan penginapan dalam kampus, pelajar yang perlu menjalankan penyelidikan di makmal, pelajar B40 dan yang memerlukan kemudahan internet serta persekitaran kondusif bermula 15 hingga 17 Oktober lalu.

Bagi fasa kedua pula membabitkan kemasukan bagi kumpulan pelajar yang perlu menjalani pengajaran dan pembelajaran (PdP) di makmal di mana kuliah akan dijalankan secara dalam talian - PdP secara hibrid bermula 3 hingga 7 November ini.

Manakala fasa tiga pula adalah kemasukan sepenuhnya pelajar ke kampus kecuali yang belum lengkap dua dos vaksin. PdP juga akan dilaksanakan secara bersemuka dan hibrid tertakluk kepada pematuhan SOP yang ketat bermula 10 hingga 12 Disember ini.

Sementara itu, seramai 3,309 pelajar baharu program Bacelor mendaftar di UPM bagi sesi akademik 2021/2022 terdiri daripada 1, 059 pelajar lelaki dan 2, 250 pelajar wanita. Pendaftaran Kemasukan bagi sesi ini dibuat secara dalam talian .

UPM juga melaksanakan Minggu Perkasa Putra Sesi 2021/2022 baru-baru ini secara dalam talian.

Program Minggu Perkasa Putra adalah aktiviti tahunan khusus di bawah kelolaan entiti di bawah naungan Pejabat Timbalan Naib Canselor Hal Ehwal Pelajar dan Alumni (TNCHEPA) UPM bagi meraikan pelajar baharu setiap tahun.

UPM melaksanakan pematuhan SOP  ketat bagi kemasukan semula pelajar ke kampus sesi 2021/2022.
UPM melaksanakan pematuhan SOP ketat bagi kemasukan semula pelajar ke kampus sesi 2021/2022.

TNC (HEPA) UPM Profesor Dr Arifin Abdu berkata, UPM antara universiti yang melaksana pelbagai usaha mewujudkan kampus inklusif OKU sebagai tanda kesamaan hak dan inklusiviti di universiti itu sebagai Menara Ilmu.

"UPM sentiasa menambah baik perkhidmatan dengan mewujudkan Unit Perkhidmatan dan Sokongan OKU (UPSO), Dasar Inklusif OKU, pelan tindakan, Jawatankuasa Kampus Inklusif OKU,

program kesedaran secara berkala dan lain-lain," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 25 Oktober 2021 @ 6:13 PM