GAMBAR hiasan.
GAMBAR hiasan.
Hafidzul Hilmi Mohd Noor


Kuala Lumpur: Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI) bersedia menerima kemasukan penuntut tempatan dan antarabangsa ke kampus bermula 15 Oktober ini.

Naib Canselor UPSI Prof Datuk Dr Md Amin Md Taff berkata, pihaknya akan memastikan kemasukan penuntut berjalan lancar seperti ditetapkan Kementerian Pengajian Tinggi (KPT).

"Pihak universiti sudah membuat persiapan untuk menerima penuntut ke kampus, terutama Kampus Sultan Azlan Shah yang menempatkan kolej kediaman iaitu Kolej Za'ba, Kolej Harun Aminurrashid, Kolej Aminuddin Baki, kolej Ungku Omar dan Kolej Awang Had Salleh.

"Alhamdulillah, warga kampus mengalu-alukan kepulangan penuntut walaupun tidak semua, suasana kampus pasti sedikit berubah dengan pematuhan Prosedur Operasi Standard( SOP) yang ketat seperti ditetapkan KPT," katanya dalam satu kenyataan, hari ini.

Beliau berkata, pihaknya akan memantau pelaksanaan SOP yang menyaksikan keberadaan warga IPT lengkap divaksin bagi membentuk komuniti sosial selamat serta mewujudkan persekitaran Fasa 4 Pelan Pemulihan Negara (PPN) di dalam kampus.

"UPSI memiliki dua kampus iaitu Kampus Sultan Abdul Jalil Shah yang terletak di Tanjong Malim, manakala Kampus Sultan Azlan Shah (KSAS) di Proton City yang menempatkan semua kolej kediaman.

"Ibu bapa tidak perlu risau dengan keadaan anak mereka di kampus kerana Jabatan Hal Ehwal Pelajar dan Alumni (JHEPA), Bahagian Pengurusan Risiko dan Keselamatan dan Kesihatan Pekerjaan (ROSH) serta Bahagian Keselamatan UPSI akan memantau pergerakan dan keselamatan mahasiswa," katanya.

Menurutnya, proses Pengajaran dan Pembelajaran (PdP) akan dilaksanakan secara hibrid dengan pematuhan SOP seperti yang diluluskan oleh Majlis Keselamatan Negara (MKN).

"Manakala kursus atau program yang dijalankan secara dalam talian, pelajar boleh memilih untuk meneruskan PdP dari lokaliti masing-masing.

"Bagaimanapun pertemuan bersemuka antara mahasiswa dengan pensyarah atau sesama mahasiswa pastinya tidak seperti dahulu kerana dibatasi oleh SOP yang ketat bagi mengelakkan sebarang jangkitan," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 14 September 2021 @ 7:03 PM