UTHM bersedia menerima kemasukan pelajar secara fizikal ke kampus bermula 15 Oktober ini. FOTO Arkib NSTP
UTHM bersedia menerima kemasukan pelajar secara fizikal ke kampus bermula 15 Oktober ini. FOTO Arkib NSTP
Essa Abu Yamin

Batu Pahat: Universiti Tun Hussein Onn Malaysia (UTHM) bersedia menerima kemasukan pelajar secara fizikal ke kampus bermula 15 Oktober ini.

Naib Canselor UTHM Prof Datuk Dr Wahid Razzaly berkata, kemasukan pelajar ke kampus akan dilaksanakan secara berperingkat seperti yang diumumkan oleh Kementerian Pengajian Tinggi (KPT) semalam.

"UTHM akan mengutamakan kumpulan pelajar yang berkeperluan untuk pulang ke kampus, namun hanya membabitkan mereka yang sudah lengkap vaksinasi.

"Keutamaan akan diberikan kepada pelajar baharu yang memerlukan pengalaman menjalani kehidupan di kampus dan juga pelajar tahun akhir yang perlu menghabiskan pengajian mereka mengikut masa yang ditetapkan," katanya dalam kenyataan.

Beliau berkata, pihak universiti akan mematuhi prosedur operasi standard (SOP) Sektor Pendidikan Tinggi, Pengoperasian IPT yang sudah ditetapkan bagi memastikan keselamatan dan kebajikan pelajar terjamin dan tiada penularan di kampus.

"Pihak universiti menyokong langkah pengurangan yuran sebanyak 20 peratus bagi semester satu sesi akademik 2021/2022 kepada semua pelajar.

"70 peratus pelajar di UTHM datangnya daripada keluarga golongan B40 dan mereka berkenaan kebanyakannya terkesan daripada segi ekonomi akibat pandemik Covid-19," katanya.

Menurut Wahid, UTHM menyediakan peruntukan sebanyak RM4 juta untuk membantu golongan berkenaan bagi memastikan pelajar dapat meneruskan pembelajaran seperti biasa pada semester akan datang.

"Bagi aspek kadar vaksinasi dalam kalangan warga UTHM pula, sehingga kini sebanyak 97 peratus kakitangan dan 83 peratus pelajar sudah lengkap divaksinasi," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 15 September 2021 @ 9:49 AM