MENUNGGU di dalam dewan sebelum berangkat pulang ke destinasi masing-masing.
MENUNGGU di dalam dewan sebelum berangkat pulang ke destinasi masing-masing.
Fazurawati Che Lah

KEMENTERIAN Pengajian Tinggi (KPT) dalam satu kenyataan Rabu lalu menyatakan aktiviti pengajaran dan pembelajaran (PdP) di semua kampus institut Pengajian Tinggi (IPT) perlu dilaksanakan secara dalam talian sehingga 31 Disember ini.

Persoalannya, sejauh manakah penuntut yang memilih kembali ke rumah selepas dibenarkan pulang sebulan lalu bersedia menghadapi cabaran baharu untuk belajar di rumah?

Mengulas lanjut, Timbalan Naib Canselor (Hal Ehwal Pelajar & Alumni) Universiti Tun Hussein Onn Malaysia (UTHM), Profesor Madya Dr Afandi Ahmad, berkata beberapa perhatian perlu diberi pertimbangan oleh mahasiswa supaya proses pembelajaran berjalan dengan baik.

Katanya, apabila memilih pulang ke rumah, penuntut harus bersedia dari pelbagai sudut sesi pembelajaran serta berusaha supaya mempunyai ruang rasmi sebagai tempat belajar.

"Ini bagi memastikan tumpuan ketika proses pembelajaran dan pengajaran (PdP) secara dalam talian sama ada secara segerak atau tidak segerak dapat berlangsung dengan fokus yang tinggi tanpa sebarang gangguan.

"PdP secara dalam talian semestinya bergantung kepada capaian dan akses Internet selain kesediaan perkakasan. Orientasi utamanya adalah berasaskan video dan capaian masa nyata, penggunaan data yang maksimum adalah diperlukan, lebih-lebih lagi apabila sesi PdP dilaksanakan sepenuhnya menerusi kaedah PdP dalam talian segerak dengan pelbagai platform misalnya Zoom dan Google Meet.

"Jika sekali pun PdP menggunakan kaedah tidak segerak, untuk menonton atau memuat turun video kuliah juga memerlukan kapasiti data selesa. Di sinilah cabaran besar bagi penuntut yang lokasi rumahnya memang di luar kawasan liputan," katanya ketika dihubungi.

SUHU badan penuntut diperiksa pegawai bertugas ketika tiba di lapangan terbang.
SUHU badan penuntut diperiksa pegawai bertugas ketika tiba di lapangan terbang.

Apabila berada di rumah, pelbagai kerja juga harus dilaksanakan penuntut seperti membantu memasak, membersihkan rumah dan menjaga adik-adik.

Kata Dr Afandi, ini antara cabaran tidak mudah yang harus dihadapi penuntut untuk menyusun masa sebaiknya bersesuaian dengan jadual perkuliahan.

"Bergelar penuntut tidak lari dengan projek berkumpulan, sesi diskusi bersama rakan secara dalam talian juga perlu diadakan terutama apabila hampir dengan ujian dan peperiksaan kerana fokus perlu digandakan dengan seboleh mungkin tanpa sebarang gangguan.

"Justeru, ahli keluarga harus memahami kerana penuntut bukan sedang bercuti semester tetapi sedang melalui kebiasaan baharu iaitu belajar dan dinilai di rumah. Kerjasama ahli keluarga akan menentukan keberkesanan dan kejayaan PdP dengan kebiasaan baharu ini," katanya.

Katanya, apabila di rumah, tiada lagi ruang bertemu pensyarah secara bersemuka, begitu juga perbincangan kumpulan bersama rakan-rakan kerana semuanya terpisah di sebalik skrin telefon dan komputer.

"Bagi mendepani kebiasaan baharu pembelajaran berteknologi di rumah ini, penuntut mesti menginjakkan transformasi minda dan kelakuan iaitu meyakini bahawa pembelajaran kini adalah pembelajaran berpusatkan penuntut.

"Maksudnya, pemberat pembelajaran adalah didasari oleh tindakan penuntut menerusi prinsip heutagogy dan cybergogy.

"Penuntut perlu menyesuaikan gaya pembelajaran yang ditentukan sendiri (heutagogy) dan pergantungan adalah kepada dunia maya (cybergogy).

"Sebenarnya, cybergogy bukanlah perkara asing sebelum berlakunya penularan Covid-19 kerana ramai yang sudah pun belajar sebelum ini menerusi video yang ada di YouTube.

Misalnya, belajar memperbaiki peralatan elektrik, belajar perisian baharu dan tidak lupa juga belajar memasak. Bezanya, sebelum ini disifatkan sebagai pembelajaran tidak formal berbanding kini," katanya.

Jelas beliau lagi, peranan Penasihat Akademik dan Kerjaya (PAK) IPT juga amat penting dalam situasi sekarang dalam mengambil kisah kekangan dihadapi penuntut terutama berkaitan capaian Internet atau kesulitan pembelajaran dan kebajikan bagi mengelakkan tiada seorang pun yang tercicir.

Sementara itu katanya, rata-rata yang memilih untuk kekal di kampus kerana mengambil kira faktor keselamatan dan tahap capaian Internet di rumah juga harus mengurus emosi dengan baik supaya penuntut tidak dibebani dengan rasa sunyi dan keseorangan.

PENJARAKAN sosial di dalam bas diamalkan.
PENJARAKAN sosial di dalam bas diamalkan.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 1 Jun 2020 @ 7:00 AM