PENSYARAH memantau bacaan pelajar secara dalam  talian.
PENSYARAH memantau bacaan pelajar secara dalam talian.
Ahmad Rabiul Zulkifli


UNIVERSITI Sultan Zainal Abidin (UniSZA) sememangnya terkenal antara institusi pengajian tinggi (IPT) yang melahirkan penuntut cemerlang dalam bidang keagamaan.

Justeru, bagi memperkasa pembelajaran dan pengajaran (PdP) khususnya dalam aspek pembacaan al-Quran dan hafazan, UniSZA menyediakan studio al-Quran sendiri yang diberi nama Studio Al Quran Ibn Al Jazari sempena nama Tokoh al Quran dan Qiraat yang terkemuka iaitu Sheikh Muhammad Ibn Muhammad Ibn Muhammad Ibn Ali Ibn Yusuf atau lebih dikenali sebagai Ibn al Jazari.

Pembinaan studio itu juga turut mencatat sejarah sendiri buat UniSZA kerana menjadi universiti pertama di negeri itu yang menyediakan kemudahan seumpamanya kepada penuntutnya.

BACAAN pelajar didengar dengan teliti.
BACAAN pelajar didengar dengan teliti.

Naib Canselor UniSZA, Profesor Datuk Dr Hassan Basri Awang Mat Dahan berkata, selain memperkasa PdP, studio al-Quran yang mula digunakan pada Februari lalu itu juga ditubuhkan bagi memenuhi keperluan dan syarat yang ditetapkan Agensi Kelayakan Malaysia (MQA).

Menurutnya, perkara itu dinyatakan panel MQA ketika lawatan mereka ke UniSZA.

"Dalam lawatan panel MQA ke UniSZA, mereka menyatakan keperluan studio itu bagi mendapatkan akreditasi penuh untuk program Ijazah Sarjana Muda al-Quran dan As-Sunnah (Qiraat).

"Studio al-Quran ini juga ditubuhkan untuk memberi manfaat dan kemudahan kepada peserta Sijil Tahfiz al-Quran yang terdiri daripada pelbagai fakulti di UniSZA," katanya.

BELAJAR dan menghafal al-Quran menjadi lebih mudah melalui pembelajaran dalam talian
BELAJAR dan menghafal al-Quran menjadi lebih mudah melalui pembelajaran dalam talian

Dr Hassan Basri berkata, kekangan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) sepanjang musim Covid-19 juga menjadikan studio al Quran itu lebih banyak digunakan dan sangat membantu penuntut.

"Antaranya sesi temu duga pengambilan penuntut Sarjana Muda Qiraat dan penuntut Sijil Tahfiz al Quran secara dalam talian.

"Selain penggunaannya untuk pembelajaran al Quran, subjek-subjek lain yang turut melibatkan makmal seperti subjek bahasa juga boleh menggunakan studio berkenaan," katanya.

Berkongsi mengenai peruntukan kata Dr Hassan Basri, sebanyak RM360,601 diperuntukan untuk pembinaan Studio Al Quran Ibn Al Jazari itu.

"Daripada jumlah peruntukan itu, sebanyak RM120,713 digunakan untuk pembinaan fizikal studio melalui dana zakat UniSZA di bawah asnaf fisabilillah, manakala sebanyak RM239,888 untuk pembelian peralatan komputer dengan menggunakan peruntukan UniSZA.

DR Hassan
DR Hassan

"Justeru, kami berharap studio yang disediakan itu†dapat memberi manfaat sesuai dengan matlamat utama peruntukan zakat dikeluarkan bagi pembinaannya," katanya.

Studio Al Quran Ibn Al Jazari itu mula dibina sejak awal tahun 2017 sebelum disiap sepenuhnya pada penghujung 2019 dan mula digunakan pada bulan Februari lalu oleh penuntut Qiraat dan Sijil Tahfiz al Quran.

Kini, kata Dr Hassan Basri, studio itu diselia Fakulti Pengajian Kontemporari Islam (FKI) dan ia turut digunakan fakulti lain bagi tujuan PdP, mesyuarat dan temuduga dalam talian.

"Harapan kami supaya studio itu dapat memberi manfaat sebaik mungkin kepada seluruh penuntut UniSZA terutamanya penuntut Ijazah Sarjana Muda al Quran dan al Sunnah (Qiraat)," katanya.

Penuntut Ijazah Sarjana Muda Bahasa Arab Syarifah Marsya Fariha Syed Kamaruddin, 21, berkata, dia bersyukur dan berterima kasih kepada UniSZA kerana menyediakan kemudahan itu.

Katanya, kemudahan yang disediakan menerusi Studio Al Quran itu sangat bersistematik, tersusun dan mesra pengguna.

"Dengan adanya studio itu, ia memberi kemudahan kepada kami sebagai penuntut tahfiz untuk belajar dan menghafal al-Quran dengan lebih mudah melalui pembelajaran dalam talian.

"Sebelum ini, saya perlu pergi ke bilik pensyarah untuk belajar al-Quran tetapi selepas wujudnya studio ini, proses penghafazan lebih mudah.

"Studio ini juga membudahkan saya memperbetulkan bacaan al-Quran hanya melalui atas talian," katanya.

Sementara itu, penuntut Ijazah Sarjana Muda Dakwah UniSZA, Muhammad Muwardi Aziz,21, berkata, studio itu secara tidak langsung menyuntik semangat dan minat penuntut untuk belajar al-Quran.

"Ia sangat mudah jadi memberi dorongan kepada penuntut untuk meminati bidang ilmu al-Quran seterusnya melahir penuntut tahfiz dan mahir dalam ilmu berkaitan al-Quran," katanya.

"Jadi, saya berharap semua penuntut menggunakan kemudahan yang disediakan di studio ini sebaik mungkin sesuai dengan objektif penyediaannya.

"Bukan semua universiti menyediakan kemudahan seperti itu oleh itu kita sebagai penuntut perlu memanfaatkannya sebaik mungkin," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 28 Disember 2020 @ 7:00 AM