GAMBAR hiasan.
GAMBAR hiasan.
Dr Julia Wirza Mohd Zawawi


Kuala Lumpur: Pengumuman Menteri Pengajian Tinggi, Datuk Seri Dr Noraini Ahmad baru-baru ini mengenai pengoperasian semula institusi pengajian tinggi (IPT) secara bersemuka bermula pada 15 Oktober 2021 memberikan satu penanda aras baharu perjalanan pengajaran dan pembelajaran kepada semua pelajar IPT.

Revolusi pengajaran dan pembelajaran (PdP) secara bersemuka kepada e-pembelajaran selama tiga semester berturut-turut meninggalkan persoalan adakah e-pembelajaran masih lagi relevan digunakan sekembalinya pelajar ke kampus Oktober nanti?

Pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) bermula Mac 2020 lalu adalah norma baharu kepada rakyat Malaysia. Serba serbi berubah. Ketika itu, ibu bapa menghadapi kesukaran untuk mengatur corak Bekerja Dari Rumah (BDR).

Manakala anak-anak cuba menyesuaikan diri dengan pembaharuan dalam proses PdP secara e-pembelajaran.

Lantas, apabila kerajaan mengumumkan lanjutan pelaksanaan PKP dan fasa Pelan Pemulihan Negara (PPN) bermula Jun lalu ekoran peningkatan pandemik Covid-19, memberikan isyarat bahawa e-pembelajaran akan diteruskan untuk satu tempoh lebih panjang.

Suka atau tidak masyarakat harus menerima perubahan ini kerana proses PdP tidak boleh terhenti di tengah jalan kerana akan memberi kesan terhadap sistem pendidikan negara.

Apakah e-pembelajaran? E-pembelajaran adalah proses pendidikan secara dalam talian menggunakan Internet sama ada tidak segerak (asynchronous) atau secara segerak (synchronous).

E-pembelajaran tidak segerak membabitkan penggunaan e-mel dan ruang perbincangan antara pelajar dan pensyarah dengan mementingkan komponen fleksibiliti yang mana mereka tidak perlu berada dalam platform perbincangan pada masa yang sama.

Manakala e-pembelajaran segerak memerlukan sokongan media seperti video persidangan dan ruang sembang (chat) yang berpotensi menyokong perkembangan dan pembangunan pembelajaran pelajar.

Sehubungan dengan itu, IPT seperti Universiti Putra Malaysia (UPM), Universiti Teknologi Mara (UiTM) dan Universiti Utara Malaysia (UUM) memperkenalkan satu platform dengan menghimpunkan semua sistem e-Pembelajaran di kampus.

Antara sistem yang digunakan oleh pelajar dan pensyarah melalui sistem ini ialah PutraBlast (Putra Blended Learning Assistive System & Technology) dan juga PutraMOOC (Putra Massive Open Online Course) bagi UPM, UFUTURE bagi UiTM dan UUM Online Learning (UUM OL) bagi UUM.

DR Julia Wirza Mohd Zawawi
DR Julia Wirza Mohd Zawawi

Platform e-pembelajaran ini bukan saja berfungsi sebagai medium untuk pensyarah memuat naik isi kandungan kuliah, tetapi pelajar boleh menilai pengajaran pensyarah malah pihak pengurusan boleh memantau proses e-pembelajaran di setiap fakulti.

Jika sebelum ini, platform seumpama ini dilihat sebagai pilihan kedua tetapi apabila bermulanya e-pembelajaran sepenuhnya menjadikan medium ini pilihan utama pensyarah dan pelajar.

Malah lebih menarik, konsep ini sejajar dengan perkembangan teknologi dalam pembelajaran iaitu Moodle atau Modular Object-Oriented Dynamic Learning Environment yang membantu pendidik menghasilkan PdP berkualiti.

Antara elemen penting yang diterapkan oleh Moodle adalah interaktiviti, keberkesanan sesuatu sistem adalah bergantung kepada tahap interaksi di antara pelajar dan pensyarah. Malah penyelidik Barat turut membuktikan bahawa semakin tinggi tahap interaktif semakin berkesan sistem itu.

Justeru, platform e-pembelajaran yang berkonsepkan Moodle ini antara contoh sistem e- pembelajaran yang konduksif dan interaktif kerana gabungan elemen kuiz, ruang forum, kedatangan (attendance) dan ruang sembang (chat) membantu meningkatkan interaktiviti antara pelajar dan pensyarah.

Sebagai penambahbaikan, konsep H5P dalam platform e-pembelajaran yang merujuk kepada HTML Package diperkenalkan.

H5P dalam platform e-pembelajaran menekankan konsep hypermedia yang membolehkan kandungan pengajaran seperti video menjadi lebih interaktif dengan penambahan hypercontent yang menjadikan pengajaran relative non-linear.

Penambahan ini menggabungkan elemen kuiz, permainan (game) dan teks dalam bentuk virtual sekali gus menarik minat dan perhatian pelajar membabitkan diri dalam e-pembelajaran sewaktu pelaksanaan PKP.

Pelbagai kemudahan juga disediakan oleh Kementerian Pengajian Tinggi (KPT) untuk membantu meningkatkan mutu e-pembelajaran pelajar IPT antaranya Pakej Pelan Data dan Peranti kepada pelajar yang memanfaatkan seramai 320,396 orang di bawah kategori B40.

Sebanyak 225,784 unit sim kad diagihkan kepada pelajar dengan kerjasama beberapa syarikat telekomunikasi khususnya Yayasan YTL dan Lembaga Tabung Haji untuk membantu meningkatkan keupayaan e-pembelajaran pelajar IPT.

Selain itu, bantuan secara one-off sebanyak RM50 kepada 76,153 pelajar baharu Universiti Awam (UA) bagi sesi akademik 2020/2021 juga turut disalurkan bagi mengurangkan beban mereka.

Insentif sebanyak RM50 memberi peluang kepada pelajar untuk melanggan awal pembelian data mengikut tawaran telekomunikasi masing-masing. Bantuan ini secara tidak langsung sebagai motivasi kepada pelajar baharu yang terkesan dengan pengumuman penangguhan pendaftaran dan pembelajaran secara fizikal Oktober lalu.

Bagi pelajar daripada golongan B40 juga, pihak kementerian kerjasama dengan UA turut memperkenalkan pemberian komputer riba percuma secara bersasar.

Seramai 5,965 pelajar akan menerima komputer riba dan selebihnya akan menerima pemberian tunai dan bantuan pinjaman kewangan bagi memiliki komputer riba.

Usaha ini adalah antara inisiatif daripada pihak KPT untuk meringankan beban yang dihadapi oleh pelajar IPT dan memastikan e-pembelajaran berjalan dengan lancar dan efektif.

Sekembali pelajar ke kampus masing-masing bermula Oktober nanti bukanlah dianggap pengakhiran kepada e-pembelajaran malahan di anggap sebagai satu loncatan baharu untuk meneruskan pengajaran dan pembelajaran yang lebih sistematik dan teratur di masa hadapan.

Pelaksanaan e-pembelajaran memberi peluang kepada pelajar dan pensyarah untuk mengguna dan menggunapakai platform e-pembelajaran secara maksimum.

Ciri lebih interaktif dan mesra pengguna menjadikannya platform e-pembelajaran yang terkini dan menarik dalam kalangan pelajar IPT.

Penulis adalah Pensyarah Kanan

Jabatan Komunikasi, Fakulti Bahasa Moden dan Komunikasi

Universiti Putra Malaysia

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 21 September 2021 @ 11:53 AM