Suliati Asri
suliati@hmetro.com.my

SUASANA di kampus tidak lagi seperti dulu selepas Pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) disusuli Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB) dan kini Perintah Kawalan Pergerakan Pemulihan (PKPP) bagi membendung penularan pandemik Covid-19.

Tiada lagi pembelajaran sepenuhnya dalam dewan kuliah, ulang kaji di perpustakaan, perbincangan dalam kumpulan atau melakukan aktiviti kokurikulum di kampus bersama rakan.

Pematuhan prosedur operasi standard (SOP) dan penyesuaian terhadap normal baharu juga menjadikan persekitaran serta kehidupan di kampus berubah 360 darjah.

Penuntut Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI), Basyirah Husna Badrol Isham berkata, sebagai rakyat Malaysia yang mematuhi arahan pihak berwajib, dia akur bagi membendung penularan wabak Covid-19 selain memastikan kesejahteraan negara ini kembali seperti dahulu.

Menurutnya, normal baharu ini mungkin sukar diadaptasikan, tetapi segala usaha yang boleh membawa ke arah kebaikan perlu dipatuhi sebaik mungkin.

PENUNTUT dapat meneruskan pembelajaran selepas pembukaan kembali IPT.
PENUNTUT dapat meneruskan pembelajaran selepas pembukaan kembali IPT.

"Jujur saya katakan, semua penuntut dan warga kampus merindui suasana pembelajaran yang lama. Namun, semuanya perlu akur ketentuan Ilahi.

"Apabila diumumkan sudah boleh pulang ke kampus perasan gembira pasti hadir kerana sudah lama berada di rumah selain merindui persekitaran kampus dan pembelajaran secara bersemuka.

"Rasa takut dengan penularan Covid-19 pastinya ada, tetapi saya terus tetapkan dalam minda untuk mematuhi segala SOP dan menyesuaikan diri dengan normal baharu ini," katanya.

Basyirah Husna yang juga mantan Setiausaha Persatuan Bahasa Melayu (PERBAYU) Sidang 2019/2020 berkata, walaupun sudah pulang ke kampus, namun kelas masih diadakan secara dalam talian.

"Di kampus, pengajaran dan pembelajaran (PdP) masih dilaksanakan dalam talian menggunakan aplikasi Google Meet atau Zoom.

"Selain itu, pensyarah juga mengadakan kelas atas talian menggunakan aplikasi universiti sendiri iaitu 'MyGuru.'

PEMBENTANGAN yang dilaksanakan secara dalam talian.
PEMBENTANGAN yang dilaksanakan secara dalam talian.

"Bagi saya penggunaan aplikasi sebegini sangat bagus untuk digunakan sepanjang pandemik Covid-19 selain proses pengajaran dan pembelajaran bersemuka juga diperlukan," katanya.

Sementara itu, penuntut Universiti Antarabangsa Islam Malaysia (UIAM), Iyang Nurdamia Abdul Rahman melahirkan rasa syukur dengan pembukaan kembali institut pengajian tinggi (IPT) kerana dapat meneruskan pembelajaran.

Katanya, capaian Internet yang baik dan rujukan lebih mudah diperoleh dari perpustakaan antara kemudahan di universiti yang banyak memudahkan urusan pembelajarannya.

"Walaupun sudah berada di kampus, pembelajaran tetap dilakukan dalam talian, tetapi ia lebih lancar tanpa gangguan Internet yang menyebabkan penyampaian pensyarah tersekat-sekat.

"Tapi, jika ada kelas kokurikulum iaitu kelas praktikal, tenaga pengajar terpaksa membuat rakaman video dan ada juga yang menggantikan kelas praktikal kepada kajian secara bertulis," katanya.

IYANG Nurdamia berbincang bersama rakan secara dalam talian.
IYANG Nurdamia berbincang bersama rakan secara dalam talian.

Menurut penuntut tahun tiga jurusan Quran Sunnah ini, walaupun akur normal baharu yang dipraktikkan ini, dia kurang selesa dan lebih suka keadaan normal kerana kefahaman dan fokus dalam kelas berkurangan.

"Kini sebelum masuk universiti, kami perlu memuat turun aplikasi My Sejahtera dan diperiksa suhu. Selain itu, kami perlu mematuhi SOP serta peraturan keluar dan masuk universiti dikawal rapi.

"Rutin harian dan pembelajaran di kampus juga tidak seperti dulu. Kini segalanya secara dalam talian termasuk perbincangan bersama rakan atau pembentangan kerja kepada pensyarah," katanya.

Antara pembelajaran dulu dan kini dengan normal baharu, Iyang Nurdamia berharap pelajar menghargai suasana pembelajaran sebelum ini.

"Selain itu, bersyukur juga sekurang-kurangnya kita masih boleh belajar dan berkomunikasi dengan teknologi yang ada. Jangan jadikan Covid-19 sebagai penghalang untuk terus menuntut ilmu," katanya.

NORMAL baharu di kampus.
NORMAL baharu di kampus.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 3 Ogos 2020 @ 7:00 AM