PELAJAR sekolah melakukan latihan pembelajaran menerusi dalam talian yang disediakan oleh guru susulan PKP yang bermula pertengahan Mac lalu. FOTO Aswadi Alias
PELAJAR sekolah melakukan latihan pembelajaran menerusi dalam talian yang disediakan oleh guru susulan PKP yang bermula pertengahan Mac lalu. FOTO Aswadi Alias
Mahaizura Abd Malik
am@hmetro.com.my

TERPAKSA bergilir-gilir mengikuti pengajaran dan pembelajaran (PdP) maya serta kelewatan menghantar tugasan latihan diberi guru.

Itu antara kesulitan dialami segelintir murid dan pelajar yang memiliki adik beradik ramai manakala kelengkapan canggih belajar dalam talian tidak mencukupi.

Suri rumah Norhayati Abd Kahar, 46, berkata, tiga anaknya berusia antara lima hingga 19 tahun hanya bergantung sepenuhnya kepada penggunaan telefon pintar bagi mengikuti setiap PdP maya sejak Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) bermula pertengahan Mac lalu.

"Dua anak saya yang belajar di tadika dan tahun lima tidak dapat mengikuti kelas online secara serentak kerana perlu berkongsi satu telefon pintar disebabkan kami tidak memiliki komputer mahupun komputer riba.

"Untuk memastikan kedua-duanya tidak tercicir, saya membuat jadual sendiri supaya mereka mengikuti kelas dalam talian secara bergilir, contohnya untuk mengakses bahan YouTube dan video diberi guru.

"Namun, bagi anak sulung saya, dia mengalami sedikit kesukaran ketika membuat tugasan dan kelas maya menggunakan telefon pintar kerana belum berkesempatan membeli komputer riba," katanya ketika dihubungi, baru-baru ini.

Bagi pekerja swasta Kamal Abd Aziz, 38, tiga anaknya yang masing-masing bersekolah di tahun satu, tiga dan lima terpaksa berkongsi satu komputer riba untuk menyertai kelas dalam talian dan menyiapkan tugasan.

"Saya terpaksa susun jadual dan memberi keutamaan kepada anak sulung kerana dia bakal menduduki peperiksaan besar.

"Sambil bekerja dari rumah, saya turut memantau untuk pastikan dia menyiapkan latihan diberi gurunya pada waktu pagi dan selepas itu, giliran anak kedua pula belajar pada tengah hari.

"Anak ketiga yang menuntut di tahun satu biasanya hanya berpeluang apabila abang-abangnya tidak menggunakan komputer riba berkenaan menyebabkan dia banyak ketinggalan dan latihan tertangguh," katanya ketika dihubungi.

Menurutnya, Kementerian Pendidikan harus mempertimbangkan pembukaan sesi persekolahan khusus untuk murid tahun enam dan lima sebagai persediaan melangkah ke sekolah menengah.

"Kalau boleh saya harap kementerian beri kelonggaran murid tahap dua hadir ke sekolah dengan prosedur operasi standard (SOP) yang ketat dan singkatkan masa persekolahan sekurang-kurangnya tiga jam.

"Ini kerana subjek tahap dua agak berat dan mencabar ibu bapa sampaikan saya sendiri terpaksa rujuk buku untuk membantu anak menyelesaikan tugasannya," katanya.

Sementara itu, seorang lagi bapa, Mohd Najib Rahman, 39, berkata, kerajaan mungkin boleh memperluaskan silibus mata pelajaran menggunakan Google Forms berikutan konsep terbabit lebih mesra pengguna.

"Jika ibu bapa duduk di bandar dan pekan, mungkin tiada masalah untuk dapatkan capaian tetapi kita risau jika mereka yang berada di luar bandar mungkin boleh ketinggalan apatah lagi jika tiada gajet.

"Bagi saya, kerajaan mungkin boleh membangunkan satu silibus dalam talian misalnya untuk seminggu sekali supaya boleh dicapai lebih luas oleh pelajar termasuk mereka di luar bandar.

"Mungkin boleh menggunakan konsep macam Google Forms yang menyediakan soalan objektif dengan jawapan, tetapi bagi sekolah menengah perlu meluas kaedahnya kerana lebih kepada subjektif seperti buat karangan penulisan dan kerja kursus," katanya.

IBU BAPA terpaksa susun jadual anak supaya dapat  mengikuti kelas online  secara bergilir. FOTO BERNAMA
IBU BAPA terpaksa susun jadual anak supaya dapat mengikuti kelas online secara bergilir. FOTO BERNAMA

Menurutnya, idea itu tercetus selepas melihat sendiri situasi empat anaknya menjalani PdP mereka ketika di rumah.

"Anak saya yang bersekolah di tingkatan satu dan tiga berkongsi telefon pintar untuk berkomunikasi dan menerima arahan tugasan diberi guru mereka menerusi grup WhatsApp dan Telegram.

"Manakala isteri saya sambil bekerja dari rumah akan memantau anak yang belajar di pra sekolah dalam video WhatsApp dan tahun dua yang lebih banyak menjawab soalan objektif dalam Google Forms.

"Penggunaan komputer hanya sesekali apabila anak di sekolah menengah memerlukan rujukan dalam Internet," katanya.

Gesa kreatif dalam pembelajaran anak

Ibu bapa bukan saja perlu menyokong malah sentiasa berhubung dan berunding dengan guru bagi memastikan pengajaran dan pembelajaran (PdP) maya anak masing-masing berjalan lancar di rumah.

Presiden Kesatuan Perkhidmatan Perguruan Kebangsaan (NUTP) Amiruddin Awang berkata, ketika ini kebanyakan guru semakin kreatif mempelbagaikan kaedah PdP di samping mengamalkan PdP maya dipanggil 'segerak' iaitu kedua-dua pihak antara murid dan guru menjalani PdP secara langsung.

"Segerak ini secara langsung murid dan guru ada ketika PdP berlangsung. Ia kaedah terbaik pembelajaran maya, tetapi mungkin ada kekangan terutama kepada keluarga yang ramai anak sekolah dan kurang berkemampuan menyediakan komputer riba atau telefon pintar mengikut bilangan anak.

"Namun, kaedah PdP bukan hanya segerak saja ada kerana pilihan lain disediakan Kementerian Pendidikan seperti TV Pendidikan disiarkan RTM. Jadi ibu bapa harus memanfaatkan peluang itu.

"Pada masa sama, ada juga guru menghantar tugasan dan latihan melalui dalam talian, tetapi tidak semestinya perlu dihantar pada masa itu sebaliknya murid hanya perlu hantar kerja sekolah apabila ada kemudahan dan capaian Internet," katanya.

Ditanya mengenai cadangan penjadualan PdP mengikut setiap peringkat usia murid dan pelajar, Aminuddin berkata, kaedah itu tidak sesuai dan kurang efektif untuk dilaksanakan.

"Kita tidak boleh buat PdP berjadual kerana keperluan murid dan sekolah serta kesediaan guru berbeza.

"Untuk tempoh ini, kita serahkan saja kepada pihak sekolah kendalikannya kerana mereka lebih tahu apa yang terbaik untuk murid dan guru mereka," katanya.

  • Lagi berita berkaitan Covid-19

  • Lagi berita berkaitan Perintah Kawalan Pergerakan
  • Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 20 Mei 2020 @ 7:30 AM