SUHAFIS bersama ayam baka phakoi yang dibelanya sejak tiga tahun lalu.
SUHAFIS bersama ayam baka phakoi yang dibelanya sejak tiga tahun lalu.
Hadinata Yaacob


SEMUANYA bermula sekadar hobi, namun lama-kelamaan ia menjana pendapatan apabila hasil diternak mendapat permintaan.

Bagi Suhafis Abu Bakar, 36, hobi menternak ayam baka bermula sejak tiga tahun lalu apabila dia membeli sepasang anak ayam baka phakoi jantan pada RM400 daripada rakannya.

Sejak itu, bermula hanya beberapa ekor, ayam baka pemuda berasal dari Kampung Betong, Sik, Kedah itu membiak dan kini berjumlah lebih 100 ekor. Selain baka pakhoi, Suhafis juga membela baka pama.

Hampir 30 ekor daripada ayam baka itu terdiri daripada anak ayam malah ada antara peminat haiwan berkenaan turut membeli anak ayam berkenaan.

Harga yang dijual untuk seekor atau dua ekor anak ayam itu antara RM100 ke RM300 bergantung pada saiz dan umur.

Menurutnya, ayam baka itu bukan ayam kampung biasa sebaliknya daripada baka terpilih dan ada antaranya diimport dari Thailand.

Setiap bulan Suhafis membelanjakan kira-kira RM400 untuk makanan dan ubatan ayam berkenaan.

"Seperti ayam kampung, ayam ini diberi makan dedak dan jagung selain saya memberinya ubat bagi mengelak dijangkiti penyakit.

"Baru-baru ini puluhan ekor ayam saya mati terkena penyakit sampar atau hawar ayam," katanya yang terpaksa mencari baka baharu sebagai ganti.

ANTARA ayam phakoi jantan dewasa yang bersaiz tinggi dengan bulu warna-warni.
ANTARA ayam phakoi jantan dewasa yang bersaiz tinggi dengan bulu warna-warni.

SAIZ anak ayam baka phakoi yang berusia sebulan lebih besar dan tinggi.
SAIZ anak ayam baka phakoi yang berusia sebulan lebih besar dan tinggi.

Sejak membela ayam baka pama dan phakoi itu, peminat ayam itu dari sekitar negeri malah ada dari Pulau Pinang sanggup datang untuk melihat serta membeli ayam baka terbabit.

Katanya, ayam baka itu mempunyai tarikan tersendiri dan disebabkan itu peminatnya sanggup berbelanja besar untuk mendapatkan baka terbaik.

"Ayam ini bersaiz besar dan tinggi serta mempunyai bulu yang cantik.

"Selain pama dan phakoi, terdapat juga ayam baka jenis saigon. Ayam ini biasanya mempunyai saiz fizikal besar dan tinggi," katanya.

Menurutnya, ayam baka itu mempunyai harga yang tinggi di pasaran malah ada penternak lain pernah menjual antara RM3,000 ke RM5,000 seekor.

"Saya sendiri menjual anak ayam RM100 untuk seekor dan RM200 ke RM300 sepasang mengikut saiz dan jenis.

"Sehingga ke hari ini, lebih RM10,000 saya belanjakan untuk membuat reban, membeli dedak serta mendapatkan baka phakoi dan pama ini. Saya yakin ia akan diperoleh semula berdasarkan permintaan daripada pelanggan," katanya.

Suhafis kini memberi tumpuan kepada membela anak ayam melalui proses pengeraman dan penetasan.

"Baka jantan saya letakkan di dalam reban bersama baka betina dan selepas bertelur serta melalui proses pengeraman dan penetasan, saya asingkan tempat anak ayam ini.

"Saya buat proses yang sama di beberapa reban bagi memastikan populasi ayam baka ini terus membiak," katanya.

Mengenai perancangan masa depan, Suhafis mahu meluaskan lagi penternakan ayam baka itu dengan mempelbagaikan jenis baka kerana yakin industri penternakan itu mempunyai masa depan cerah.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 22 Mei 2022 @ 6:43 AM