SALAHUDDIN melihat buah rambutan klon baru.
SALAHUDDIN melihat buah rambutan klon baru.
Petah Wazzan Iskandar

Penghasilan dua klon baru rambutan mampu menjadikan industri buah tempatan terbabit di Malaysia lebih berdaya saing sekali gus muncul antara eksport utama pada masa hadapan.

Dua klon hasil inovasi Institut Penyelidikan dan Kemajuan Pertanian Malaysia (MARDI) yang dinamakan Mutiara Merah (klon AG28) dan Mutiara Wangi (klon GB44) itu diyakini mampu menandingi klon rambutan yang ada di pasaran.

Menteri Pertanian dan Industri Asas Tani Datuk Salahuddin Ayub berkata, penghasilan dua klon terbabit mempunyai keunikan rasa yang memikat semua pihak dijangka dapat memperkasakan lagi industri rambutan negara.

“Saya dimaklumkan bahawa dua klon terbabit mempunyai ciri pokok rendang, berbuah lebih awal, isi tebal, manis dan lebih lekang berbanding rambutan lain serta mempunyai aroma yang ketara.

“Lebih mengujakan, dua klon itu mempunyai tempoh matang untuk berbuah lebih pendek iaitu kira-kira dua tahun saja dan ini mampu memanjangkan musim rambutan,” katanya.

Beliau berkata demikian dalam ucapan perasmian Pusat Kecemerlangan Penyelidikan dan Inovasi (COE) Buah-Buahan Tropika dan pengisytiharan klon baru rambutan di Stesen MARDI Sintok, Bukit Tangga, Kedah, baru-baru ini.

Turut hadir, Ketua Setiausaha Kementerian Pertanian dan Industri Asas Tani, Datuk Mohd Salleh­huddin Hassan serta Ketua Pengarah MARDI, Datuk Dr Mohamad Roff Mohd Noor.

SALAHUDDIN, Mohamad Roff (kanan) dan Mohd Sallehhuddin (tiga dari kiri) menunjukkan buah rambutan klon baru Mutiara Merah (klon AG28) dan Mutiara Wangi (klon GB44).
SALAHUDDIN, Mohamad Roff (kanan) dan Mohd Sallehhuddin (tiga dari kiri) menunjukkan buah rambutan klon baru Mutiara Merah (klon AG28) dan Mutiara Wangi (klon GB44).

Salahuddin berkata, komitmen yang ditunjukkan MARDI dengan melahirkan dua klon terbabit mampu meningkatkan produktiviti industri rambutan dan membantu kerajaan dalam bidang pertanian.

“Penghasilan buah ini mampu memberi pula­ngan yang lumayan kepada petani dan pengusaha rambutan serta produk berasaskan rambutan. Ini membolehkan mereka mempelbagaikan penanaman dan perniagaan dengan adanya buah yang terbaik.

“Ia akan dapat merangsang pertumbuhan industri dan melonjakkan harga pasaran buah rambutan. Petani akan menanam rambutan secara besar-besaran.

“Dalam aspek pembangunan industri, penghasilan produk akhir seperti buah-buahan dalam tin dijangka akan terus meningkat,” katanya.

Sementara itu, Mohamad Roff berkata, penghasilan dua klon terbabit adalah bukti komitmen MARDI bagi sektor pertanian negara apabila memulakan penyelidikan dan penghasilan varieti rambutan baru sejak 1981.

Katanya, ia bukanlah satu tugasan yang mudah memandangkan rambutan adalah tumbuhan saka dan bermusim. Dalam penyelidikan ini, pendekatan program biak baka konvensional dan bioteknologi sudah digunakan.

ISI buah rambutan yang rangup dan kering.
ISI buah rambutan yang rangup dan kering.

“Teknik kacukan khusus iaitu teknik pendebungaan terbuka dilaksanakan diikuti dengan empat tahap cantasan berperingkat dan pembangunan Indeks Pemilihan Rambutan (IPR).

“Semua ini sebagai usaha untuk mendapatkan pemilihan rambutan yang benar-benar baik. Untuk mendapatkan varieti baru bukan mudah, ia bukan saja memerlukan masa puluhan tahun malah menelan peruntukan yang banyak, kadang kala melebihi RM1 juta.

“Untuk membangunkan klon ini, seba­nyak 10,000 biji rambutan generasi kedua disemai dan kemudian dinilai dan dipilih hingga mendapat 30 jenis yang berpotensi,” katanya.

Menurutnya, daripada 30 jenis berkenaan, kedua-dua klon ini dipilih berdasarkan ciri yang baik dan memenuhi permintaan industri.

WARGA media Kedah turut berpeluang memetik buah rambutan klon baru.
WARGA media Kedah turut berpeluang memetik buah rambutan klon baru.

KLON BARU BUAH RAMBUTAN AG-28 DAN GB-44

Ciri pokok:

• Berbuah awal daripada klon lain-lain

• Berbuah lebat setiap tahun

• Saiz pokok yang tidak terlalu besar

• Ketinggian pokok rendang

• Bilangan buah yang banyak

• Mudah dibiakkan

Ciri buah:

• Mempunyai isi yang tebal dan manis

• Lekang tanpa testa

• Penampilan buah yang menarik

• Buah bersaiz besar

• Peratus perolehan isi yang tinggi

• Tekstur isi rangup dan kering

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 17 Ogos 2018 @ 12:35 PM