GAMBAR hiasan.
GAMBAR hiasan.
Amir Mamat


Jasin: Institut Penyelidikan dan Kemajuan Pertanian Malaysia (Mardi) akan memfokus kepada penghasilan varieti baharu tanaman buah-buahan membabitkan durian, rambutan dan manggis.

Ketua Pengarahnya, Datuk Dr Mohamad Zabawi Abdul Ghani berkata, ketika ini pihaknya sedang melakukan kajian serta penyelidikan terhadap buah-buahan berkenaan sebelum mula ditanam menjelang akhir tahun depan.

Beliau berkata, sebagai permulaan, dua daerah di Negeri Sembilan dipilih sebagai lokasi perintis bagi projek penanaman benih pokok mesta, sejenis manggis yang sudah diinovasikan menggunakan teknologi moden.

"Jempol dan Jelebu akan menjadi lokasi perintis projek ini dan jika berhasil, kita akan perluaskan lagi penanaman benih mesta di seluruh negara," katanya.

Beliau berkata demikian selepas mengiringi Timbalan Menteri Pertanian dan Industri Makanan 1, Datuk Seri Ahmad Hamzah menyampaikan kit buah-buahan kepada petugas di Pusat Pemberian Vaksin (PPV) Dewan Seri Umbai, Serkam di sini hari ini.

Sumbangan itu disampaikan kepada Ketua PPV berkenaan, Dr Muhammad Hafiszi Omar.

Mengulas lanjut, Mohamad Zabawi berkata, ketika ini pihaknya sedang melakukan kajian terperinci terhadap penghasilan benih pokok durian hibrid jenis MDUR 88 yang ditambah baik dari segi kualitinya serta rambutan klon dinamakan Mutiara Merah (AG28) dan Mutiara Wangi (GB44).

Katanya, kajian serta penghasilan kedua-dua buah terbabit dijangka selesai tidak lama lagi sebelum mula dipasarkan menjelang akhir tahun depan.

Beliau berkata, durian MDUR 88 mempunyai warna isi yang keemasan dan rasanya yang manis berlemak dan isi tebal yang setanding Musang King.

"Sementara Rambutan Mutiara Merah dan Mutiara Wangi pula mempunyai isi yang tebal dan manis, lekang tanpa testa (berkulit berkayu), penampilan buah menarik, bersaiz besar dan tekstur isi yang rangup selain kering.

"Rambutan berkenaan bukan saja diyakini mampu menandingi klon rambutan yang ada di pasaran, malah mampu menjadikan industri buah tempatan berkenaan di negara ini lebih berdaya saing sekali gus muncul antara eksport utama pada masa hadapan.

"Menerusi penambahbaikan serta penghasilan buah-buahan hibrid terbabit, kami yakin dapat mengelakkan lambakan di pasaran selain membolehkan bekalan buah dapat dihasilkan secara berterusan atau di luar musim," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 30 Julai 2021 @ 4:55 PM