OTHMAN (kanan) dibantu tiga kakitangan (dari kiri) Nurul Wardah Zuhari, Nur Azriema Halizam dan Hasan Ibrahim.
OTHMAN (kanan) dibantu tiga kakitangan (dari kiri) Nurul Wardah Zuhari, Nur Azriema Halizam dan Hasan Ibrahim.
Mohd Amin Jalil

Permintaan terhadap produk berasaskan bahan semula jadi atau herba meningkat secara mendadak di pasaran negara ini berikutan kecenderungan pengguna menggunakannya untuk tujuan perubatan dan kesihatan.

Tidak hairanlah pasaran industri produk herba di negara ini terus meningkat dari setahun ke setahun apabila dianggarkan nilai pasarannya mampu mencecah lebih RM4.5 bilion setahun.

Terdapat pelbagai bahan semula jadi atau herba yang popular di pasaran seperti tongkat ali, kacip fatimah dan daun misai kucing.

Bagaimanapun, pokok halia hitam atau nama saintifiknya Kaempferia parviflora, kurang popular dalam kalangan generasi masa kini.

Tumbuhan herba ini terdiri daripada kumpulan halia yang didapati secara meluas ditanam di Thailand berbanding di negara ini.

Mungkin faktor itulah yang menyebabkan ramai dalam kalangan masyarakat kurang mengenali apatah lagi mengetahui khasiatnya.

Situasi itu turut diakui pembekal dan pengedar anak benih pokok buah-buahan dan herba, Othman Saidon, 58.

Katanya, dari segi fizikal tanaman itu hampir serupa dengan kunyit, namun bentuk ubinya berbeza dan berwarna ungu hitam walaupun saiz seakan-akan sama.

“Ketika ini sukar memperoleh benih halia hitam kerana ia tidak terdapat di pasaran atau nurseri. Biasanya saya mendapatkan benihnya dari Thailand pada RM200 sekilogram.

“Halia hitam mempunyai nilai komersial yang tinggi kerana rizom (akar berisi) dan daunnya digunakan sebagai bahan bagi tujuan pengeluaran produk kesihatan, kosmetik, makanan tambahan dan perubatan.

“Hasil kajian yang dilakukan Institut Penyelidikan dan Kemajuan Pertanian Malaysia (MARDI) mendapati tumbuhan ini mengandungi antioksida yang tinggi, meningkatkan tenaga manusia dan dikatakan sesuai untuk kosmetik serta bahan rawatan penyakit jantung,” katanya ketika ditemui di Pusat Operasi Rio Gemilang Nurseri Sdn Bhd miliknya, di Taman Senawang Jaya, Negeri Sembilan, baru-baru ini.

ANAK pokok halia hitam berusia empat bulan.
ANAK pokok halia hitam berusia empat bulan.

Othman berkata, berbanding di Thailand, penghasilan produk berasaskan halia hitam di pasaran tempatan sangat terbatas berikutan kekurangan bahan tanaman itu dan hanya segelintir pengusaha yang menanamnya secara berskala besar.

Katanya, tidak hairanlah di negara gajah putih itu terdapat produk berasaskan halia hitam yang diaplikasikan dalam pelbagai bentuk makanan kesihatan tambahan selain kosmetik.

“Kekurangan halia hitam di negara ini menyebabkan ia sangat sukar untuk diperoleh dan menjadi faktor utama ia tidak popular seperti pokok herba lain antaranya tongkat ali dan kacip fatimah,” katanya yang mengakui halia hitam mudah ditanam sama ada di atas tanah, dalam pasu atau menggunakan beg semaian.

Menariknya dia turut menjual lebih 150 jenis anak pokok klon buah-buahan termasuk pokok nadir seperti acai berry, asam, kandis, bidara, kerdas, mentega, redan, cermai dan gajus.

Dia yang turut dibantu tiga kakitangan bagaimanapun berkata, tanaman itu tidak sesuai ditanam menggunakan tanah liat dan memerlukan kawasan yang redup bagi mengelak terkena cahaya matahari berlebihan.

Menurutnya lagi, pokok berkenaan akan mencapai tahap matang antara 10 hingga 12 bulan dan memerlukan pemantauan rapi terutama dari segi baja serta air.

“Setakat ini, saya adalah pembekal utama benih halia hitam di negara ini dan bersedia membekalkannya sehingga 150 pokok dalam satu masa.

“Kami juga menawarkan individu atau pengusaha yang berminat untuk bekerjasama bagi menjalankan projek tanaman halia hitam berskala besar,” katanya yang sudah lebih 10 tahun berkecimpung dalam perniagaan itu.

Othman berkata, pihaknya difahamkan setakat ini terdapat dua syarikat tempatan di Pulau Pinang sedang mengkormersialkan halia hitam sebagai bahan kosmetik dan makanan tambahan untuk pasaran dalam negara.

“Saya yakin halia hitam ini jika ditanam secara komersial ia boleh membawa pulangan lumayan kepada pengusaha bukan saja untuk pasaran tempatan, malah luar negara,” katanya.

SEBAHAGIAN anak benih halia hitam yang ditanam di Rio Gemilang.
SEBAHAGIAN anak benih halia hitam yang ditanam di Rio Gemilang.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 8 Jun 2018 @ 2:45 PM