KEINDAHAN  tanaman herba dan ubat-ubatan di Taman Botani Negara Shah Alam.
KEINDAHAN tanaman herba dan ubat-ubatan di Taman Botani Negara Shah Alam.
Ruwaida Md Zain

Shah Alam: Inisiatif Taman Botani Negara Shah Alam (TBNSA) mewujudkan Laman Konservasi Herba dan Tanaman Ubatan memberi peluang kepada masyarakat umum mengenali tanaman herba yang digunakan sejak turun temurun termasuk beberapa koleksi herba yang hampir pupus.

Sehingga kini, lebih 500 koleksi tumbuhan herba tempatan ditanam di atas tanah berkeluasan 0.8 hektar itu yang dibangunkan pada 2011.

Laman yang diwujudkan terbahagi kepada tiga bahagian iaitu Koleksi Herba, Taman Rempah Ratus dan Laman Zingiberales malah dilengkapi dengan maklumat lengkap berkaitan tumbuhan herba secara lebih sistematik bagi tujuan penyelidikan, konservasi dan pendidikan.

Di bahagian Koleksi Herba, pengunjung boleh melihat sendiri pelbagai tanaman herba yang boleh dimakan atau dijadikan ubat-ubatan seperti sambung nyawa, ulam raja, pokok kadok, kacip fatimah, bunga bawang putih, ekor naga, kucing galak, belalai gajah, tenggek burung, selasih hitam, putarwali, haba neraka, gandarusa hitam, dan hempedu bumi.

Sementara itu, Taman Rempah Ratus pula ditanami dengan tanaman seperti kopi, lada hitam, kayu manis, teh, limau nipis, limau kasturi, gelugur dan mengkudu.

Di Laman Zingiberales, pengunjung dapat melihat 11 tanaman umbisi seperti halia, kunyit, lengkuas serta kesing pijat.

 Pokok jarum tujuh bilah.
Pokok jarum tujuh bilah.

Penolong Pegawai Pertanian TBNSA Syamsul Idris Saleh berkata, sebahagian besar tumbuhan herba berkenaan diperoleh melalui projek eksplorasi dianggotai sekumpulan 17 pegawai dan kakitangan TBNSA pelbagai seksyen diketuai Seksyen Agro Botani.

“Selain projek eksplorasi, TBNSA amat mengalu-alukan sumbangan orang awam yang berbesar hati untuk menyumbang tumbuhan herba bagi laman herba ini.

“Kami mengalu-alukan sekiranya ada yang boleh menyumbang herba yang hampir pupus dan bernilai tinggi seperti kunyit hitam, pokok dua daun, kecubung, pokok sarang semut dan serai kayu,” katanya.

Beliau berkata, laman herba dibangunkan oleh TBNSA sebagai usaha memberi pengetahuan mengenai kepelbagaian herba yang mungkin sebahagian besar tidak begitu dikenali umum.

“Kami tidak menanam semua herba ini secara komersial sebaliknya membuat persampelan kerana ada sesetengah tanaman herba hampir pupus seperti jelai dan agak kontroversi seperti Ketum.

“Tumbuhan herba di sini bukan untuk dibeli atau dibawa pulang tetapi hanya untuk tatapan pengunjung iaitu datang untuk lihat dan kenal saja," katanya.

Pokok mahkota dewa.
Pokok mahkota dewa.

Beliau berkata, TBNSA mewujudkan laman itu agar generasi muda dapat mengenali dan melihat sendiri dengan mata kasar tanpa perlu meredah hutan belantara.

“Pelajar sekolah, guru, mahasiswa, pensyarah serta penyelidik tidak perlu lagi pergi hutan kerana TBNSA sudah menyediakan satu taman untuk mereka mempelajari, mengenali dan membuat penyelidikan.

“Selain untuk penyelidikan, kami juga melaksanakan program pendidikan botani di mana kami berkolaborasi dengan sekolah dan institusi pengajian tinggi (IPT) untuk tujuan itu,” katanya.

Selain memperkenalkan tanaman herba ini kepada umum, ia juga bertujuan memberikan turun-temurun pendedahan kepada pengunjung mengenai herba yang boleh digunakan sebagai alternatif kepada rawatan moden.

Sementara itu, Syamsul Idris berkata, sebahagian tanaman herba di Laman Konservasi Herba dan Tanaman Ubatan mempunyai nama unik berdasarkan ciri-ciri, rupa bentuk, lokasi ditemui dan sebagainya.

Bagaimanapun, katanya terdapat sesetengah tumbuhan herba berkenaan mempunyai lebih dari satu nama dan dikenali dengan nama berbeza di tempat berbeza, contohnya pokok kucing galak atau ceka emas.

“Antara tanaman herba yang mempunyai nama yang dipengaruhi ciri-cirinya adalah pokok hanyir ikan atau houttuynia cordata.

“Daun pokok hanyir ikan berbentuk seperti hati dan berukuran antara empat sentimeter (sm) hingga sembilan sm panjangnya dan kelebaran daunnya antara tiga sm hingga lapan sm.

“Apabila daunnya dihancurkan akan menghasilkan bau hanyir ikan mentah yang memualkan,” katanya.

Selain pokok hanyir ikan, pokok jarum tujuh bilah atau pereskia sacharosa juga dipercayai diberi nama berdasarkan ciri-cirinya.

“Pada setiap ruas batang pokoknya terdapat tujuh batang duri tajam seperti jarum, tetapi tidak semua ruas mempunyai tujuh batang duri,” katanya.

 Pokok bunga bawang putih.
Pokok bunga bawang putih.

Sementara itu, pokok subang nenek atau sthenodesme temtanara pula mempunyai ciri-ciri seperti bunga kecil, berwarna kuning kejinggaan, tersusun dalam jambak bunga yang berbentuk bulat membusut di tengahnya seakan-akan subang wanita.

Shamsul Idris turut memperkenalkan pokok bunga bawang putih atau mansoa alliacea yang sangat unik kerana mempunyai bau bawang putih.

Di Laman Zingiberales pula terdapat pokok kesing pijat atau phaeomeria speciosa yang mempunyai bau seakan-akan pepijat namun rasa manis apabila dikunyah.

Bagi pokok yesterday, today, tomorrow atau brunfelsia pauciflora pula, bunganya berubah warna iaitu semasa mula berkembang berwarna ungu, keesokan hari berubah menjadi ungu muda dan hari berikutnya menjadi putih.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 31 Mac 2018 @ 6:00 AM