JARING diletakkan bagi mengelak  durian pecah atau rosak.
JARING diletakkan bagi mengelak durian pecah atau rosak.
KEENAKAN durian Jelebu memang diakui sedap.
KEENAKAN durian Jelebu memang diakui sedap.
GIMIK perasmian Program Moh Makan Durian.
GIMIK perasmian Program Moh Makan Durian.
PENGUNJUNG yang hadir ke Program Moh Makan Durian.
PENGUNJUNG yang hadir ke Program Moh Makan Durian.
Mohamad Hussin


Ekonomi durian mampu menguntungkan pihak mengusahakannya di sepanjang rantaian nilai termasuk pembekal benih dan baja, penanam serta semua individu yang terbabit.

Ia termasuk pengangkutan untuk pemasaran durian dan pemprosesan pelbagai produk berasaskan buah itu.

Memang tidak dapat disangkal keenakan durian yang menjadi fenomena ketika ini hingga harganya mencecah ratusan ringgit.

Peminat raja buah itu berpeluang merasai keenakan durian berkualiti antaranya durian kampung, duri hitam, musang king, kunyit, XO, D24, udang merah dan pelbagai varieti durian yang ada.

Daerah Jelebu bakal dikenali sebagai ‘Fruit Valley’ iaitu pengeluar buah-buahan tempatan khususnya durian di Negeri Sembilan apabila kawasan seluas 145 hektar mula ditanam dengan pelbagai jenis pokok buah termasuk rambutan, manggis dan nangka.

Pengerusi Lembaga Pertubuhan Peladang (LPP) Tan Sri Zainal Dahalan berkata, bagi industri durian, Kementerian Pertanian dan Industri Asas Tani (MOA) menyasarkan pengeluaran durian sebanyak 28,000 metrik tan menjelang 2020.

Beliau berkata, dusun durian milik Pertubuhan Peladang Kawasan (PPK) Jelebu yang berkeluasan 10.4 hektar turut memperkenalkan durian sebagai sumber kekayaan baru dan seterusnya meningkatkan pengeluaran makanan negara.

“Projek ini sudah dibangunkan sejak 1997. Ia mempunyai sejarahnya yang tersendiri apabila 850 pokok sudah ditanam mulai Julai hingga November 1997.

“Pada Disember 2014, pokok yang berusia 17 tahun ini hanya berbaki 650 sementara 200 pokok lagi mati akibat serangan seperti kanker batang, ulat pengorek batang dan anai-anai.

“Ketika itu, klon utama yang disyorkan adalah D24 dengan komposisi klon iaitu D24 (385 pokok), D10 (35 pokok), D28 (50 pokok), D88 (120 pokok), D99 (80 pokok), D144 (45 pokok), D160 (36 pokok), D168 atau IOI (40 pokok), D197 atau musang king (40 pokok).

“Namun pada musim kali ini, pokok berkenaan sudah mengeluarkan hasil yang banyak berbanding tahun sebelum ini,” katanya sempena Program Moh Makan Durian di Golden Valley Fruits Park milik PPK Jelebu di Sungai Muntoh, Negeri Sembilan, baru-baru ini.

Majlis perasmian disempurnakan Pengerusi Jawatankuasa Bertindak Pertanian dan Industri Asas Tani Negeri Sembilan Datuk Hasim Rusdi. Turut hadir, Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Klawang Datuk Yunus Rahmat.

Program Moh Makan Durian itu bertemakan Kono Durian Kepalang Garang, Rasa Sekali Terkonang-Konang itu berkonsepkan pelancongan agro.

Zainal berkata, seramai 80 ahli peladang mengusahakan tanaman durian di sekitar daerah Jelebu dengan jumlah 8,791 pokok durian yang ditanam.

“Keuntungan daripada projek ini memberikan manfaat kepada ahli Pertubuhan Peladang (PP) kawasan Jelebu membabitkan 3,140 orang.

“Program Moh Makan Durian di dusun ini dapat memperkenalkan durian keluaran dusun ini di samping melihat sendiri cara pengusaha menjalankan tugas di dusun.

“Kami yakin dusun ini boleh menjadi salah satu lokasi tumpuan pengunjung yang datang ke Jelebu. Keenakan durian ini tidak dapat disangkal lagi,” katanya.

Menurutnya, LPP melalui PP bersedia membantu ahli peladang dalam pembangunan industri durian merangkumi aspek pembangunan kawasan tanaman, input pertanian, pembinaan pusat pengumpulan dan pusat pemprosesan.

“Ia termasuk pemantapan kepakaran teknikal dan pemindahan teknologi melalui pembangunan model ladang di stesen serta pembangunan piawaian tanaman.

“Setakat ini, seluas 171 hektar keseluruhan tanaman durian diusahakan melalui PP di seluruh negara. Menyedari potensi durian sebagai sumber kekayaan baru, tanah berkeluasan 119 hektar dikenal pasti berpotensi untuk dibangunkan sebagai kawasan tanaman durian pada tahun ini.

“Ia suatu peluang kekayaan baru dan boleh memberi manfaat kepada ahli PP kerana potensinya yang besar pada masa akan datang,” katanya.

Sementara itu, Hasim berkata, Jelebu bakal dikenali sebagai Fruit Valley iaitu pengeluar buah-buahan tempatan khususnya durian di Negeri Sembilan dengan keluasan bertanam sebanyak 145 hektar.

Beliau berkata, kawasan Titi boleh dikatakan antara lokasi dusun durian terbaik di negara ini. Keadaan muka bumi di Jelebu yang kebanyakan berbukit bukau dan cuaca yang agak dingin menjadikan durian itu mempunyai rasa tersendiri.

“Sumber ekonomi utama di Jelebu adalah pertanian. Dengan mengusahakan kawasan tanah yang ditanam durian, dikatakan mampu menjana kekayaan,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 19 January 2018 @ 1:09 PM