Datuk Seri Ahmad Hamzah ( tiga dari kanan) menyerahkan kotak makanan MAFI Prihatin kepada penerima sambil diperhati Datuk Seri Jalaluddin Alias ( dua dari kanan ) pada program MAFI Prihatin dan Penyampaian Benih Buah - Buahan Tempatan di Stesen Mardi Jelebu. FOTO ABNOR HAMIZAM ABD MANAP.
Datuk Seri Ahmad Hamzah ( tiga dari kanan) menyerahkan kotak makanan MAFI Prihatin kepada penerima sambil diperhati Datuk Seri Jalaluddin Alias ( dua dari kanan ) pada program MAFI Prihatin dan Penyampaian Benih Buah - Buahan Tempatan di Stesen Mardi Jelebu. FOTO ABNOR HAMIZAM ABD MANAP.
Abnor Hamizam Abd Manap


Jelebu: Selepas ini orang ramai akan berpeluang menikmati limau bali Jelebu apabila Institut Penyelidikan dan Kemajuan Pertanian Malaysia (Mardi) menanam pelbagai jenis pokok buah-buahan ditanah seluas 250 hektar miliknya di Simpang durian, di sini.

Ketua Pengarah Mardi, Datuk Dr Zabawi Abd Ghani berkata pelbagai jenis pokok buah-buahan tempatan antaranya durian dan rambutan akan ditanam di situ.

"Kita akan cuba menanam limau bali di kawasan berkenaan. Limau bali yang dihasilkan Mardi mempunyai kualiti terbaik dan setanding dengan yang ditanam di Kuala Kangsar.

"Kita mahu limau bali menjadi simbol bagi Jelebu dan berharap usaha ini akan menjadi kenyataan berikutan kita akan menanam benih yang dihasilkan Mardi sendiri.

"Bagaimanapun kajian mendalam akan dilakukan terlebih dahulu berikutan tanah di sini tidak rata dan sedikit berbukit jadi perlu lihat mana kawasan yang sesuai," katanya ditemui pada program MAFI Prihatin dan Penyerahan Benih Buah - Buahan Tempatan di Stesen Mardi Jelebu.

Majlis dirasmikan Timbalan Menteri Pertanian Dan Industri Makanan 1, Datuk Seri Ahmah Hamzah.

Turut hadir Timbalan Menteri Wilayah Persekutuan, Datuk Seri Jalaluddin Alias; Ahli Dewan Undangan Negeri ( ADUN ) Pertang; ADUN Sungai Lui, Mohd Razi Mohd Ali dan Ketua Setiausaha MAFI,Datuk Haslina Abdul Hamid.

Dalam perkembangan lain, Zabawi berkata Mardi akan membekalkan benih buah-buahan antaranya rambutan, kelapa, durian serta kopi, keledek kepada petani seluruh negara yang mempunyai tanah untuk diusahakan.

Katanya petani yang mempunyai sekurang- kurang 0.4hektar tanah akan dikenal pasti sebelum diberi bimbangan oleh Mardi bagi mengusahakan tanaman yang menjadi pilihan mereka.

"Petani bagaimanapun perlu mengikut SOP ditetapkan Mardi seperti amalan membaja mengikut masa ditetapkan.

"Sasaran bagi projek berkenaan pada tahun ini adalah 200 hektar dan menjelang 2025, seluas 8,000 hektar tanah akan ditanam dengan pelbagai jenis tanaman oleh petani terbabit.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 24 September 2021 @ 3:36 PM