LAW (kanan) menunjukkan sayur-sayuran segar kepada pelanggan.
LAW (kanan) menunjukkan sayur-sayuran segar kepada pelanggan.
Syed Ismail Syed Abu Bakar


Kekurangan ruang untuk bercucuk tanam bukan lagi menjadi masalah terutama kepada yang ingin mencuba pertanian bercorak moden khususnya penghuni bangunan tinggi seperti apartmen atau flat di bandar.

Ia dibuktikan menerusi pelbagai teknik moden dengan teknologi didorong bantuan khidmat nasihat Jabatan Pertanian Pulau Pinang, sekali gus menjadikan kegiatan pertanian di atas bangunan bukanlah satu perkara mustahil dilaksanakan.

Walaupun tidak memiliki latar belakang dalam bidang pertanian, bekas penasihat kewangan, Gary Law, 36, tidak mahu ketinggalan untuk memulakan projek tanaman sayur-sayuran segar menggunakan teknik hidroponik di atas bumbung bangunan setinggi tujuh tingkat di Jelutong, Georgetown, Pulau Pinang.

Menurutnya, dia mahu mencuba perkara baru dengan membabitkan diri dalam industri pertanian yang mampu menjana pendapatan lumayan.

Pada masa sama memberikan peluang kepada orang ramai menikmati sayur-sayuran segar bebas daripada penggunaan bahan kimia.

LAW memeriksa sayur-sayuran segar yang ditanam menggunakan kaedah hidroponik.
LAW memeriksa sayur-sayuran segar yang ditanam menggunakan kaedah hidroponik.

“Projek ini bermula sejak awal tahun dengan modal permulaan RM10,000 bagi menyediakan peralatan hidroponik di atas sebuah bangunan seluas 112 meter persegi selepas mendapat ‘lampu hijau’ daripada pemiliknya untuk menggunakan ruang di situ untuk bercucuk tanam.

“Sebelum ini, saya cuba menanam sayur-sayuran dengan teknik sendiri untuk makanan harian dan apabila ia berjaya dilaksanakan, barulah saya meneruskan projek itu pada skala lebih besar,” katanya.

Law berkata, konsep penanaman sayur-sayuran menggunakan kaedah hidroponik hanya mengambil masa antara satu hingga dua minggu untuk mengeluarkan hasil.

Ia sekali gus mampu menjana pendapatan dan hasil lebih segar dan bebas penggunaan bahan kimia serta racun serangga.

Menurutnya, dia gembira dan berterima kasih kerana projek itu mendapat sokongan ayahnya, Law Weng Cheong, 63, dan ibunya Wong Peck Kee, 63, selain tidak henti-henti memberikan sokongan serta dorongan untuk meneruskan projek pertanian bandar itu.

“Aspek suhu sangat penting dan perlu dipantau serta diselaraskan kelembapan selain pencahayaan sekeliling supaya sayur-sayuran mampu tumbuh dengan subur tanpa sebarang masalah.

“Ketika ini, saya memberi tumpuan kepada tanaman sawi dan salad membabitkan lebih 20 tiang rak yang dibina secara menegak di atas bangunan terbabit.

“Apabila dituai, hasilnya kira-kira 100 kilogram yang jual secara terus kepada pelanggan termasuk rakan dan kenalan terdekat selain menggunakan media sosial dengan kadar RM7 untuk sepaket seberat 130 gram,” katanya.

BENIH sayur-sayuran segar sebelum dipindahkan menggunakan kaedah hidroponik.
BENIH sayur-sayuran segar sebelum dipindahkan menggunakan kaedah hidroponik.

Law berkata, sayur-sayuran dibekalkannya perlu dimasak dalam tempoh kurang tiga hari selepas dipetik bagi mengekalkan kesegarannya.

Ini kerana selepas tempoh berkenaan, ia akan mulai layu kerana tidak menggunakan racun atau bahan pengawet.

Menurutnya, walaupun pendapatannya tidak seberapa setakat ini, dia tetap yakin projek itu semakin menunjukkan peningkatan dari segi permintaan pelanggan pada masa akan datang.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 29 Disember 2017 @ 12:04 AM