KONG Meng (kiri), Mustafa Kamal dan Razali.
KONG Meng (kiri), Mustafa Kamal dan Razali.
Mohamad Hussin

Kecekalan tiga sahabat mengusahakan tanaman sayur-sayuran berdaun, sedikit sebanyak dapat membuka mata usahawan lain terutama generasi muda supaya lebih berminat menceburkan diri dalam bidang pertanian.

Ungkapan 'di mana ada kemahuan, di situ ada jalan' masih relevan kerana ia mengingatkan kita apabila sesuatu kerja itu dilakukan bersungguh-sungguh pastinya beroleh kejayaan.

Bagi Mustafa Kamal Jamel, 60, Razali Jantan, 59, dan Go Kong Meng, 52, ungkapan 'alah bisa tegal biasa' bagaikan sinonim dengan diri mereka apatah lagi sudah puluhan tahun menceburi bidang pertanian.

Antara sayur-sayuran yang diusahakan tiga sahabat itu adalah bayam, kangkung, sawi, kacang panjang, bendi, timun, peria katak, labu air, terung, petola, pisang, betik, sawi Hong Kong, peria Cina dan pelbagai jenis ulam-ulaman.

SELAMAT (kiri) memberi penerangan kepada (dari kiri) Kong Meng, Mustafa Kamal dan Razali.
SELAMAT (kiri) memberi penerangan kepada (dari kiri) Kong Meng, Mustafa Kamal dan Razali.

Mustafa Kamal berkata, dia mengusahakan kawasan tanaman seluas 16 hektar sejak 2001 selepas bersara daripada Angkatan Tentera Malaysia (ATM).

Katanya, sebelum bersara, dia sudah memikirkan cara bagi meneruskan kelangsungan hidup dan memilih bidang pertanian khususnya tanaman sayur-sayuran berdaun sebagai sumber pendapatan.

“Sebagai anak petani semestinya minat bercucuk tanam sudah lahir sejak kecil apatah lagi selalu mengikut ayah mengusahakan tanaman dan ternakan di kampung.

“Dari situ timbul minat untuk saya mengusahakan tanaman dalam skala besar. Buat permulaan, saya mengeluarkan modal pusingan RM5,000 dan mengusahakan secara kecil-kecil termasuk menanam dan menjual sendiri di pasar sekitar Lembah Klang.

“Apabila permohonan mendapatkan tanah untuk projek sayur-sayuran berjaya, saya mengembangkan lagi tanaman sayur-sayuran berdaun kerana mendapat permintaan,” katanya yang ditemui di ladang projek tanaman sayur-sayuran berkelompok Bukit Damar, Mukim Dengkil, Sepang, Selangor, baru-baru ini.

LADANG projek tanaman sayuran berkelompok.
LADANG projek tanaman sayuran berkelompok.

Menurutnya, selain tanaman berdaun, dia juga mengusahakan tanaman ulam-ulaman, serai, pandan dan pelbagai lagi kerana percaya apa saja tanaman yang dihasilkan pasti akan dibeli pengguna.

“Sebab itu, kita kena ada perancangan tanaman. Bukan semua ditanam serentak kerana ia mengikut pusingan dan jenis tanaman.

Setiap hari saya dapat mengeluarkan kira-kira satu tan pelbagai jenis tanaman untuk dipasarkan.

“Alhamdulillah, saya dapat membuka kedai di pasar berhampiran dan memasarkan hasil pertanian ini. Apa yang penting, kita kena serius berniaga selain jujur dan ikhlas,” kata anak kelahiran Ayer Hitam, Kedah itu.

Bagi Razali pula, dia mengusahakan tanaman seluas 10 hektar sejak 2013 selepas melihat pengalaman dan kejayaan rakannya. Dia yakin pertanian adalah satu perniagaan yang menguntungkan.

“Langkah pertama yang saya lakukan adalah bertemu Pegawai Pertanian di Kawasan Khidmat Dengkil, Selamat Sawoji bagi mendapatkan penjelasan dan cara terbaik untuk meneruskan bidang pertanian.

“Berbekalkan semangat, modal dan pengalaman rakan serta tunjuk ajar dari Jabatan Pertanian (DOA), saya terus memohon mendapatkan kawasan untuk bercucuk tanam di Bukit Damar Dengkil.

“Musim pertama saya menjalankan tanaman cili kulai dan cili bara seluas satu hektar, timun serta kacang panjang masing-masing dua hektar. Saya mendapatkan khidmat nasihat daripada pegawai pertanian terbabit apabila mereka menyarankan supaya saya melakukan tanaman secara giliran,” katanya.

PERIA katak antara yang mendapat banyak permintaan.
PERIA katak antara yang mendapat banyak permintaan.

Katanya, kejayaan awal tanaman memberi semangat kepadanya untuk menambahkan kawasan bercucuk tanam dan mengusahakan pula sayur sayuran berdaun sama seperti dilakukan rakannya.

“Jangan ada sifat iri hati walaupun rakan kita mengusahakan tanaman yang sama kerana permintaan sentiasa ada di pasaran. Saya bercadang memperluaskan skop tanaman seperti pisang dan fertigasi tembikai wangi atau rock melon.

“Ini kerana saya sudah ada permintaan pasaran dan ladang kontrak termasuk mengadakan kerjasama dengan Lembaga Pemasaran Pertanian Persekutuan (FAMA). Di samping itu, penanaman timun, kacang panjang dan cili tetap saya jalankan bagi tujuan pusingan tanaman supaya dapat mengekalkan pengeluaran jualan hasil sayur-sayuran.

“Melalui cara ini, saya dapat melancarkan hasil pengeluaran yang teratur dan konsisten tanpa berhenti membekalkan sayur-sayuran kepada pembeli,” katanya.

Razali berkata, pihaknya kini dalam proses mendapatkan Sijil Amalan Pertanian Baik (MyGAP) dan ke arah ladang organik bagi melestarikan alam selain bebas kimia.

PEKERJA memetik kacang panjang.
PEKERJA memetik kacang panjang.

Kong Meng pula berkata, dia mengusahakan tanaman sayur-sayuran berdaun di kawasan seluas 10 hektar selain pisang dan betik yang dijual di pasar borong serta awam.

“Kami sentiasa mendapatkan khidmat nasihat daripada Pejabat Pertanian Daerah terutama bagi melaksanakan sistem tanaman berjadual bagi mengelak lambakan pengeluaran,” katanya.

Sementara itu, Selamat pula berkata, pengeluaran hasil tanaman sayur-sayuran tiga usahawan itu sebanyak RM160,000 membabitkan 112,400 kilogram (kg) sejak Januari hingga Julai lalu.

“Hasil pengeluaran itu meningkat berikutan pertambahan kawasan yang diusahakan terutama untuk tanaman sayur. Di Sepang ada lebih 2,700 petani yang mengusahakan pelbagai jenis sayuran,” katanya.

PEKERJA membersihkan sayuran kangkung selepas dituai.
PEKERJA membersihkan sayuran kangkung selepas dituai.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 12 Oktober 2018 @ 3:11 PM