GEMARKAN rona hijau.
GEMARKAN rona hijau.
Siti Nadirah Hafidzin

Sehijau warna daun. Ramai mengakui rona hijau bukan saja mendamaikan malah ia mampu mewujudkan ketenangan emosi yang sukar digambarkan tatkala menatap warna itu.

Apabila menyentuh mengenai warna hijau, antara yang paling sinonim adalah tumbuhan dan sayur-sayuran hijau.

Ramai menyedari, menikmati sayur-sayuran segar yang ditanam sendiri sememangnya berbeza kerana ia mendatangkan satu kepuasan yang sukar digambarkan dengan kata-kata.

Selain segar dan menjimatkan kos, aktiviti berkebun dengan menggunakan sebaik mungkin ruang yang ada di rumah mampu mewujudkan suasana mendamaikan terutama ketika memandang suasana hijau di sekeliling rumah.

Rashidah Ahmad berkata, dia amat meminati aktiviti bercucuk tanam yang dianggap antara hobi paling menyeronokkan.

HASIL sayuran ditanam sendiri.
HASIL sayuran ditanam sendiri.

“Setiap kali bercucuk tanam di kawasan tanah kecil di belakang rumah membuatkan saya berpeluh dan ia dijadikan pengganti senaman harian memandangkan saya bukanlah individu yang bersenam secara konsisten.

“Selain menyihatkan, aktiviti ini juga antara terapi terbaik buat saya dan seluruh ahli keluarga setiap kali memandang semua tumbuhan yang ditanam hidup subur,” katanya.

Rashidah berkata, antara yang ditanamnya adalah serai, halia, pandan, kemangi, limau kasturi, limau purut, belalai gajah dan sambung nyawa.

“Perkara paling menyeronokkan setiap kali melihat tanaman ini berbuah dan saya seisi keluarga bersama-sama menuai hasilnya sebelum dijadikan hidangan.

“Disebabkan ditanam sendiri, saya tidak perlu bimbang dengan faktor keselamatan dan kebersihan kerana semuanya dijaga sendiri bermula daripada proses menanam sehinggalah menuai. Malah, saya juga tidak menggunakan racun serangga perosak,” katanya.

ANTARA sayur-sayuran ditanam.
ANTARA sayur-sayuran ditanam.

Menurutnya, walaupun hanya berbekalkan tanah kecil, dia berusaha memanfaatkan ruang itu sebaik mungkin bagi mempelbagaikan jenis tanaman.

“Sukar digambarkan namun saya yakin hanya individu yang meminati hobi ini dapat memahami dan merasai nikmat sebenar hasil daripada bercucuk tanam.

“Selain diri sendiri, aktiviti kebun dapur ini juga antara hobi seisi keluarga yang dapat merapatkan hubungan kami terutama ketika menuai hasil,” ujarnya.

Tambah Rashidah, dia juga berhasrat memastikan jumlah tanamannya bertambah setiap bulan.

“Aktiviti ini juga membuatkan saya perlu rajin. Rajin untuk menanam, menjaga dengan baik sehinggalah menuai hasilnya.

“Ia juga secara tidak langsung menjadikan saya seorang individu yang sentiasa bersyukur setiap kali melihat hasil tanaman yang segar,” katanya.

SEGAR dan lazat dimakan.
SEGAR dan lazat dimakan.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 1 Oktober 2018 @ 3:29 PM