SAWI hidup subur yang ditanam secara hidroponik.
SAWI hidup subur yang ditanam secara hidroponik.
Hidayatidayu Razali


PERCUBAAN seorang suri rumah untuk mengisi masa ketika pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) lebih dua tahun lalu membuahkan hasil apabila kini mampu menjana pendapatan lumayan setiap bulan.

Bermula dengan mengusahakan tanaman bersendiran dan secara kecil-kecilan di halaman rumahnya di Tawang dekat Bachok, Kelantan, ia kemudian dikembangkan apabila mula ditanam secara berkumpulan membabitkan lima orang.

Suri rumah, Davina Henry Ungas, 42, berkata, pada awalnya dia hanya menanam sayur-sayuran termasuk salad, sawi hijau, kangkung, pak choy dan 'wet grass' di belakang rumahnya secara hidroponik.

Katanya, dia hanya menggunakan modal permulaan sebanyak RM200 sahaja untuk mencuba menanam sayur-sayuran di dalam 10 bekas bagi memenuhi keperluan keluarga.

"Dengan hanya menggunakan 10 bekas itu, saya mengembangkan lagi kepada 80 bekas yang diletakkan di belakang rumah.

"Pada masa itu, saya tanam sayur-sayuran untuk mengisi masa lapang kerana banyak berkurung di rumah disebabkan PKP yang dilaksanakan kerajaan.

"Untuk mengusahakan tanaman hidroponik ini, saya mengambil langkah dengan mempelajari cara penanaman dan penjagaan pokok menerusi Internet termasuk YouTube.

ANTARA tanaman sayur-sayuran yang diusahakan.
ANTARA tanaman sayur-sayuran yang diusahakan.

"Setiap hari saya akan belajar kerana tidak mempunyai ilmu dan pengetahuan untuk tanam sayur-sayuran secara hidroponik. Lebih menggembirakan apabila tanaman permulaan yang saya usahakan itu berjaya," katanya ketika ditemui di Rumah Tamu Bachok di Lembaga Kemajuan Pertanian Kemubu (Kada) di Beris Kubor Besar, baru-baru ini.

Ibu kepada tiga cahaya mata itu berkata, dia mula mengembangkan aktiviti itu apabila menanam lebih banyak anak benih sayur-sayuran yang dibeli secara dalam talian.

Katanya, kejayaan tanamannya itu hasil sokongan suami tercinta, Mohd Zulkifli Zakaria, 62, yang turut sama-sama menjaga tanaman yang diusahakan.

"Selepas melihat kejayaan tanaman itu, saya mula mengajak empat rakan yang terdiri daripada suri rumah dan ibu tunggal untuk sama-sama mengusahakan tanaman sayur-sayuran secara hidroponik.

"Kami memulakan tanaman secara hidroponik di Rumah Tamu Bachok sejak empat bulan lalu. Alhamdulillah, hasil usaha ini kami mampu menjana pendapatan dan dapat jual sayur-sayuran yang ditanam ini setiap bulan serta memperoleh sekitar RM2,000 sebulan.

DAVINA (kiri) bersama Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat, Datuk Seri Rina Harun yang melihat pokok sayur-sayuran ketika melawat Rumah Tamu Bachok, baru-baru ini.
DAVINA (kiri) bersama Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat, Datuk Seri Rina Harun yang melihat pokok sayur-sayuran ketika melawat Rumah Tamu Bachok, baru-baru ini.

"Pendapatan ini sekurang-kurangnya dapat membantu perbelanjaan barangan dapur kami dan mengubah nasib keluarga," katanya.

Jelasnya, penanaman sayur-sayuran secara hidroponik mudah kerana tidak membabitkan tanah, cuma memerlukan kawasan sesuai dan modal pula hanya dikeluarkan sekali sahaja.

Akuinya, projek itu bukan saja dapat menambah pendapatan, malah membantu mengurangkan beban yang ditanggung keluarga peserta.

"Tanaman ini mudah dijaga dan lebih terkawal daripada serangan serangga atau makhluk perosak. Pada awalnya kos baja sangat tinggi, namun selepas itu saya memikirkan alternatif lain untuk mengurangkan kos baja dengan menggunakan kaedah akuaponik iaitu memelihara ikan tilapia dan puyu.

"Hasil najis ikan ini dijadikan baja untuk sayur-sayuran yang ditanam, malah ia tumbuh segar dan saiz tanaman pula besar daripada biasa.

"Satu pokok sayur pak choy umpamanya seberat 400 gram dan memberi keuntungan kepada kami," katanya.

Davina yang berasal dari Sabah dan menetap di Kelantan itu berkata, kini mereka menuai hasil sebanyak lima kali dengan hasil tuaian hampir 1,000 pokok setiap tuaian.

Katanya, hasil berkenaan kemudian dijual kepada penduduk kampung dengan harga serendah RM1 untuk seikat bagi membantu penduduk kampung untuk mendapatkan sayur-sayuran segar dan organik pada harga yang murah.

"Selain itu, dari sayur-sayuran ini kami hasilkan pula produk hiliran termasuk teh bagi tanaman wet grass dan mi untuk sayur bayam. Hasil produk hiliran ini juga mampu menambah pendapatan kumpulan kami.

"Untuk perancangan masa hadapan, kami mahu mengembangkan lagi tanaman hidroponik ini sekali gus dapat menampung keperluan sayur-sayuran di sekitar daerah ini," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 4 September 2022 @ 6:35 AM