FOTO HIASAN
FOTO HIASAN
Oleh Prof Madya Dr Mohd Shukri Hanapi

Dalam kerancakan berusaha untuk membangunkan ekonomi, kadangkala manusia tidak menyedari mereka sudah melampaui batas fungsi selaku makhluk Allah SWT. Akibatnya, segala tindakan mereka mempamerkan perwatakan sebagai haiwan ekonomi seperti sanggup memberi rasuah, pecah amanah dan salah laku lain demi memperoleh keuntungan berlipat kali ganda.    

 Sebenarnya, manusia selaku makhluk Allah SWT mempunyai fungsi lebih khusus berbanding fungsi manusia dalam pembangunan lazim. Menurut Profesor Emeritus Dr Muhammad Syukri Salleh dalam bukunya  7 Prinsip Pembangunan Berteraskan Islam, dalam pembangunan lazim aktiviti pengeluaran dan penggunaan hanyalah sebahagian daripada alat untuk manusia menjalankan atau mempertahankan fungsi khusus yang dipertanggungjawabkan ke atas mereka iaitu sebagai hamba dan khalifah Allah SWT di bumi.

Menurut Sayyid Qutb dalam Tafsir  Fi Zilal al-Qur'an, hamba ini merupakan fungsi yang menghubungkan manusia dengan Allah SWT (habl min Allah), manakala khalifah pula merupakan fungsi yang menghubungkan manusia sesama manusia (habl min al-nas).

Fungsi pertama manusia sebagai hamba Allah dijelaskan menerusi firman Allah SWT yang bermaksud: "Dan (ingatlah) Aku tidak menciptakan jin dan manusia melainkan untuk menyembah dan beribadah kepada-Ku." (Surah al-Zariyat ayat 56)

Menurut Sayyid Qutb, ayat ini menerangkan salah satu daripada fungsi utama penciptaan manusia iaitu untuk mengabdikan diri kepada Allah SWT. Ia tugas yang menentukan ada hamba yang menyembah dan ada Tuhan yang disembah. Perkara ini digambarkan dalam ungkapan  illa liya'budun  (melainkan untuk mereka menyembah dan beribadah kepada Allah SWT).

Perkara ini dijelaskan juga dalam hadis yang diriwayatkan daripada Mu'az bin Jabal RA bahawa Rasulullah SAW bertanya: "Wahai Mu'az! Adakah engkau tahu apakah hak Allah ke atas hamba? Lalu jawab Mu'az: Allah dan Rasul-Nya yang lebih mengetahui. Setelah itu Baginda SAW bersabda: Hak Allah ke atas hamba-Nya adalah supaya mereka beribadah kepada-Nya dengan sebenar-benarnya dan tidak menyekutukan-Nya dengan sesuatu perkara pun. Kemudian Rasulullah SAW bertanya lagi: Adakah engkau tahu apakah pula hak hamba ke atas Allah? Jawab Mu'az: Allah dan Rasul-Nya yang lebih mengetahui. Setelah itu Baginda SAW bersabda: Supaya Allah tidak mengazab mereka." (Riwayat al-Bukhariy, No. Hadis 7373)

Dalam hadis ini diterangkan manusia adalah hamba yang ditugaskan beribadah kepada Allah SWT. Dalam beribadah pula, manusia dilarang mensyirikkan Allah SWT. Jelas di sini dalam penugasan manusia sebagai hamba, akidah tauhid diletakkan sebagai acuan atau tunjang.

Berhubung tafsiran ayat 56 daripada Surah al-Zariyat ini juga, Ibn Kathir dalam Tafsir al-Qur'an al-'Azim memetik pandangan Ibn 'Abbas RA yang mengatakan manusia diciptakan agar mengakui ketuhanan Allah SWT dengan beribadah kepada-Nya, baik secara sukarela (taw'an) mahupun terpaksa (karhan). Hal ini berbeza dengan padangan Mujahid RA yang dipetik oleh al-Syawkaniy dalam  Fath al-Qadir al-Jami' Bayn al-Fannay al-Riwayah wa al-Dirayah min 'Ilm al-Tafsir  bahawa manusia diciptakan untuk benar-benar mengenali Allah SWT iaitu tentang kewujudan dan kebesaran-Nya. Hasilnya, mereka mengabdikan diri kepada Allah SWT dengan beribadah kepada-Nya.  

Meskipun wujud sedikit perbezaan antara kedua-dua tafsiran ini, ia tidak bertentangan. Pendapat Ibn 'Abbas RA yang dipetik oleh Ibn Kathir menekankan aspek  taqwim  (penciptaan) manusia sebagai hamba Allah SWT, sedangkan pendapat Mujahid r.a. yang dipetik oleh al-Syawkaniy pula lebih menekankan aspek  taklif  (pembebanan tanggungjawab). Oleh itu, jelaslah bahawa manusia diciptakan sebagai hamba atau makhluk yang tunduk kepada kehendak Allah SWT sekali gus dibebani dengan tanggungjawab untuk memanifestasikan ketundukannya iaitu beribadah kepada Allah SWT.

Apabila dalam tasawur al-Qur'an itu manusia berfungsi sebagai hamba Allah SWT, maka ia membawa maksud segala usaha pembangunan yang dilakukan adalah semata-mata untuk mendapatkan keredaan Allah SWT. Ia meletakkan setiap usaha pembangunan sebagai ibadah yang akan memperoleh ganjaran pahala di akhirat.

Selain fungsi manusia sebagai hamba Allah SWT, manusia juga berfungsi sebagai khalifah Allah SWT. Fungsi kedua manusia ini dijelaskan dalam firman Allah SWT yang bermaksud:  "Dan (ingatlah) ketika Tuhanmu berfirman kepada malaikat: Sesungguhnya Aku hendak menjadikan seorang khalifah di bumi. Mereka  bertanya (tentang hikmah ketetapan Tuhan itu dengan berkata): Adakah Engkau (Ya Tuhan kami) hendak menjadikan di bumi itu orang yang akan membuat bencana dan menumpahkan darah (berbunuh-bunuhan), pada hal kami sentiasa bertasbih dengan memuji-Mu dan mensucikan-Mu? Allah berfirman: Sesungguhnya Aku mengetahui akan perkara yang kamu tidak mengetahuinya."  (Surah al-Baqarah ayat 30)

Ayat ini menjelaskan fungsi manusia sebagai khalifah di bumi. Menurut al-Tabariy dalam Tafsir Jami' al-Bayan fi Ta'wil al-Qur'an, perkataan  ja'il  dalam ayat tersebut bermakna  khaliq  (Pencipta). Pentafsiran mereka ini berdasarkan pandangan Abu Rawq yang mengatakan semua perkataan  ja'ala  dalam al-Qur'an sama makna dengan perkataan  khalaqa  (cipta).

Meskipun demikian, Abdul Muin Salim dalam bukunya  Fiqih Siyasah: Konsep Kekuasaan Politik Dalam Al-Qur'an menyatakan terdapat perbezaan makna antara perkataan  khalaqa  dengan  ja'ala  sebelum ini. Perkataan  khalaqa  bermakna menciptakan sesuatu daripada tiada kepada ada. Ia mengandungi makna dasar pemberian yang berbentuk fizikal dan psikologi. Manakala perkataan  ja'ala  pula bermakna menetapkan suatu kedudukan bagi sesuatu yang lain. Maksudnya manusia dijadikan atau ditetapkan oleh Allah SWT berfungsi sebagai khalifah di bumi setelah diciptakan. Ia lebih kepada aspek fungsi penciptaan manusia.

Sebenarnya kekhalifahan itu merupakan keutamaan yang diberikan oleh Allah SWT kepada manusia berbanding semua makhluk-Nya yang lain. Menurut al-Raziy dalam  al-Tafsir al-Kabir aw Mafatih al-Ghayb, Allah SWT menyerahkan tugas khalifah kepada manusia sebagai satu nikmat umum ke atas Nabi Adam AS dan semua anak cucunya. Selain itu, penyerahan tugas khalifah ini juga sebagai satu ujian dan penghormatan kepada manusia. Oleh itu, jelaslah bahawa penugasan manusia sebagai khalifah merujuk kepada tanggungjawab atau beban tugas dalam mengurus, mentadbir dan membangunkan bumi ini mengikut prinsip-prinsip Islam.

Manusia yang berfungsi sebagai khalifah di bumi ini mempunyai tugas dan tanggungjawab tertentu. Selain memperhambakan diri kepada Allah SWT (ayat 56 daripada Surah al-Zariyat) mereka juga mempunyai tugas lain. Antara tugas tersebut ialah menegakkan hukum Allah SWT di atas muka bumi ini dengan adil dan saksama (maksud ayat 26 daripada Surah Sad) dan ditugaskan memakmurkan bumi ini yang merangkumi manusia itu sendiri, haiwan, tumbuh-tumbuhan dan seluruh makhluk ciptaan Allah SWT yang lain. (maksud ayat 61 daripada Surah Hud)

Hal ini berdasarkan hadis yang diriwayatkan daripada Abu Hurairah RA bahawa Rasulullah SAW bersabda yang bermaksud:  Ista'marakum  bermaksud menjadikan kamu sebagai pemakmur (khalifah)." (Riwayat al-Bukhariy, No. Hadis 4684)

Apabila manusia berfungsi sebagai khalifah Allah SWT, mereka berinteraksi sesama manusia dan sumber alam dengan penuh tanggungjawab, amanah, berakhlak dan beretika, sesuai peranan sebagai khalifah Allah di muka bumi. Dalam hal ini, mereka sentiasa menghubungkan diri sesama manusia dan sumber-sumber alam (habl min al-nas).

Kesimpulannya, setiap pelaku pembangunan (human actors) berteraskan Islam wajib mengetahui, memahami dan berpegang kuat dengan fungsi penciptaan manusia yang hakiki ini. Dari perspektif falsafah Islam, perkara ini dapat dilihat daripada empat elemen. Pertama, aspek ontologi yang menjadikan akidah tauhid sebagai acuan. Kedua, aspek epistemologi yang bersumberkan al-Qur'an dan hadis. Ketiga, aspek aksiologi yang menerapkan nilai-nilai seperti jujur, amanah, adil dan ihsan. Keempat, aspek teleologi yang menjadikan reda Allah SWT sebagai matlamat akhir kehidupan. Penekanan keempat-empat elemen ini dalam pengurusan pembangunan manusia adalah perlu bagi mengatasi isu-isu keruntuhan akhlak dan sahsiah yang kian membarah.

Penulis Pensyarah di Pusat Kajian Pengurusan Pembangunan Islam (ISDEV), Universiti Sains Malaysia (USM)

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 6 Februari 2024 @ 6:00 AM