KEINDAHAN pepohon yang menghijau apabila menziarahi padang Arafah. FOTO Arkib Reuters
KEINDAHAN pepohon yang menghijau apabila menziarahi padang Arafah. FOTO Arkib Reuters
Dr Khairul Asyraf Mohd Nathir

Visi 2030 jelas kelihatan di Makkah dan Madinah apabila umat Islam melangkah kaki untuk mengerjakan ibadah Umrah dan Ziarah di sana. Mungkin tercetus di benak fikiran, apakah visi 2030 Arab Saudi sebenarnya?

Mungkin bagi mereka yang telah beberapa kali mengunjungi bumi Haramain ini akan dapat melihat perbezaan demi perbezaan yang berlaku kepada persekitaran di sana. Dahulunya perjalanan dari Madinah ke Makkah hanya sekadar melihat pemandangan padang pasir yang gersang dan kosong. Namun ketika ini, situasi telah berubah apabila perjalanan tersebut telah dihiasi dengan panorama kehijauan yang pasti membuka mata setiap yang melihatnya.

Tidak kurang keindahan pepohon yang menghijau apabila menziarahi padang Arafah. Pokok-pokok tumbuh subur dan suasana yang pasti berbeza dengan sebelum ini. Walau dalam keadaan panas dan gersang, pepohon di sana dapat hidup subur dan dilihat sesuai dengan iklim panas kering di sana. Persoalannya, adakah kita melihat sesuatu ini tidak merasai kekuasaan Allah SWT?

Allah SWT berfirman maksudnya: "Masihkah mereka ingkar dan tidak mahu memikir serta mengetahui bahawa sesungguhnya Allah yang telah menciptakan langit dan bumi dengan tidak mengalami kesukaran dalam menciptakannya – berkuasa menghidupkan makhluk yang telah mati? Sudah tentu berkuasa! Sesungguhnya Ia Maha Kuasa atas tiap-tiap sesuatu." (Al-Ahqaaf  ayat 33)

Tetapi malangnyna ramai manusia yang tidak mengetahui, tidak mahu berfikir dan bertadabbur, mengkaji serta mencari kebenaran.  Sehinggakan mereka mengingkari dan tidak mempercayainya apa yang berlaku.

Pernahkan terfikir, bagaimana padang pasir dan gurun yang gersang, tiba-tiba boleh bertukar kehijauan dalam tempoh yang tertentu? Pasti kekuasaan Allah SWT boleh melakukan apa sahaja kepada bentuk muka bumi di dunia ini.

Nabi SAW bersabda bermaksud: "Tiada berlakunya kiamat sehingga harta melimpah-ruah, sehingga seseorang keluar dengan membawa zakat hartanya namun tidak menjumpai orang yang layak menerimanya. Tidak berlakunya kiamat sehingga Tanah Arab kembali hijau dipenuhi sungai."  (Hadis  Riwayat Muslim,  no 157)

Apabila menelusuri sabda Baginda Nabi SAW ini, pasti jawapan kepada pelbagai persoalan tadi terjawab. Maknanya, dunia ini berada pada fasa-fasa akhir sebelum kedatangan kiamat berdasarkan tanda-tanda yang digambarkan oleh Baginda Nabi SAW. Daripada banyak tanda-tanda yang dikhabarkan, salah satunya berkaitan kedudukan tanah Arab yang dahulunya berpadang pasir serta gurun berbatu akhirnya sedikit demi sedikit bertukar menjadi padang rumput yang mengalir bersama sungai.

Kekuasaan Allah SWT mengubah sesuatu permukaan bumi dalam tempoh tertentu secara semula jadi dan menerusi tangan-tangan manusia hasil daripada akal yang dikurniakan Allah SWT. Apabila curahan hujan membasahi bumi, maka kawasan yang satu ketika dahulu gersang kembali menghijau.

Dalam hadis yang diriwayatkan oleh Muslim, Baginda Nabi SAW bersabda maksudnya: "Hari kiamat tidak akan terjadi sehingga bumi Arab kembali menghijau dan mengalirkan sungai-sungai." (Hadis Riwayat Muslim)

Apabila merujuk kepada perkataan 'kembali' dalam hadis ini, pasti menunjukkan sesuatu yang pernah berlaku dan akan berlaku kembali. Di tanah Arab kaya dengan hasil gas dan minyak. Fakta yang dihasilkan daripada kajian saintis  menjelaskan bahawa untuk sesuatu tempat menghasilkan petroleum, gas dan lain-lain perlu melalui proses pereputan organisma seperti plankton, zooplankton dan juga spesies tumbuh-tumbuhan yang sudah lama mati dan mengalami tekanan suhu yang tinggi dan mengambil masa yang lama. Oleh itu, ternyata kawasan gurun berpadang pasir yang terdapat padanya hasil petroleum dan gas merupakan tempat yang wujud satu ketika dahulu tumbuh-tumbuhan dan spesies kehidupan.

Maka kedudukan tanah Arab menghijau adalah sesuatu yang akan berlaku, sedang berlaku dan akan terus berlaku menerusi keadaan semula jadi. Namun, di sebalik keadaan tersebut, kerajaan Arab Saudi secara jelas membuat perancangan yang terperinci dengan projek menghijaukan bentuk muka buminya. Adakah projek ini merujuk kepada sebab tanda kiamat? atau disebabkan sesuatu yang lain?

Apabila merujuk kepada satu projek besar yang sedang dijalankan iaitu Saudi and Middle East Green Initiative, salah satu permasalahan utama yang dicanang adalah rantaian makanan di Arab Saudi. Ini kerana kedudukan bentuk muka bumi yang tandus menyebabkan negara tersebut terpaksa mengimport kira-kira 80% keperluan rantaian makanan. Maka, keperluan untuk menghasilkan tanaman dan penghasilan makanan sendiri menjadikan proses penghijauan ini satu kaedah yang diutamakan oleh kerajaan Arab Saudi.

Dalam laman web greeninitiative.gov.sa, kerajaan Arab Saudi telah menanam 43.9 juta pokok sejak projek green initiative dilancarkan. Sasaran yang ditetapkan adalah 10 bilion pokok selain proses membuat saliran air yang membolehkan kawasan lain juga turut menghijau.

Di sebalik keghairahan mereka melaksanakan projek mega, pada hari ini lembah gersang dan kering kontang mula menghijau dan ditumbuhi dengan tumbuh-tumbuhan yang subur serta aliran sungai yang menjadikan kehidupan di kawasan tersebut bertukar menjadi segar dan damai. Zahir daripada hadis tersebut bahawa di negara-negara Arab ini akan banyak air sehingga munculnya banyak sungai  yang menumbuhkan tumbuhan-tumbuhan sehingga menjadi padang rumput, kebun dan hutan.

Situasi ini adalah kemukjizatan yang hebat mengenai perkhabaran masa lampau yang tidak pernah diketahui oleh orang Arab sebelum ini. Kedudukan tanah Arab akan mula bertukar daripada kering kepada menghijau dengan tumbuhan dan sungai yang mengalir di samping penemuan kuantiti simpanan air yang cukup banyak yang dimanfaatkan untuk tujuan pembangunan kawasan pertanian yang luas. 

Justeru itu, perkhabaran Baginda Nabi SAW tentang situasi yang berlaku di tanah Arab ini adalah tanda yang perlu dilihat dan dihayati oleh semua. Apabila jemaah umrah atau haji, perlu penekanan dari mutawif berkaitan hal ini agar perkhabaran yang disampaikan oleh Baginda Nabi SAW dapat difahami.

Walaupun teknologi dan kecerdikan manusia merancang sesuatu di bumi ini, pasti kekuasaan untuk menjadikannya adalah dari Allah SWT. Dan setiap yang berlaku ini ada hikmah yang perlu dihayati oleh semua manusia akhir zaman.

Penulis Pensyarah Kanan Universiti Sains Islam Malaysia (Usim)

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 26 January 2024 @ 7:00 AM