UMAT Islam   melakukan amal dan ibadah seperti yang   dinyatakan dalam al-Quran dan hadis.
UMAT Islam melakukan amal dan ibadah seperti yang dinyatakan dalam al-Quran dan hadis.
Ustaz Musytaq Al Ash’ari

Kemunculan Dajal pada akhir zaman adalah di antara tanda-tanda kiamat besar, yang ketika itu umat Islam memiliki kekuatan hebat.

Keluarnya Dajal untuk mengalah dan meruntuhkan kekuasaan itu. Pada waktu itu, umat Islam mengalami masalah kemarau yang berpanjangan, kelaparan serta tanam-tanaman rosak dan musnah selama tiga tahun berturut-turut sehingga binatang ternakan mereka turut mati.

Malah, tentang kemunculan Dajal ini sudah diisyaratkan oleh Nabi Muhammad SAW di dalam beberapa hadis.

Mungkin ada yang bertanya tentang Musa Samiri atau nama sebenarnya adalah Musa bin Zafar. Adakah dia itu Dajal ataupun tidak? Kisah Samiri ini telah dirakam di dalam al-Quran Surah at-Taha yang dia telah menyesatkan Bani Israel dengan mencipta patung sapi untuk dijadikan sebagai sembahan.

Kalau kita lihat nas al-Quran atau hadis Nabi Muhammad SAW, tidak ada mengatakan bahawa Samiri itu adalah Dajal. Kalau kita lihat dalam sebuah hadis riwayat Muslim berkenaan dengan Tamim ad-Dari bertemu satu binatang yang bernama al-Jassasah dan seorang lelaki yang diikat di dalam sebuah tempat, tidak disebutkan bahawa nama lelaki tersebut adalah Musa Samiri. Wallahu'alam.

Sementara itu, menyatakan tentang perihal keluarnya Dajal ada beberapa hadis. Antaranya adalah hadis daripada Huzaifah Ibn Asid al Ghifari: "Sesungguhnya tidak akan berlaku kiamat sehinggalah kamu akan melihat 10 tandanya.

Nabi Muhammad SAW menyebut: "ad Dukhan, ad Dajjal, ad Daabah, terbitnya matahari di sebelah barat, turunnya Nabi Isa anak Maryam, Ya'juj dan Ma'juj dan tiga gerhana iaitu satu gerhana di Timur, satu gerhana di Barat dan satu lagi gerhana di rantau atau jazirah Arab. Seterusnya, yang terakhir adalah keluarnya api dari Yaman yang menghalau manusia ke Mahsyar mereka." (Riwayat Muslim)

Peristiwa kemarau yang berlaku sebelum keluarnya Dajal itu juga disebutkan oleh Nabi Muhammad SAW iaitu hadis yang panjang daripada Abu Umamah: "Sesungguhnya sebelum keluar Dajal, terdapat tiga tahun yang susah. Manusia akan ditimpa dengan kelaparan yang hebat." (Riwayat Ibn Majah)

Berkata Imam Nawawi di dalam kitabnya iaitu Syarah Sahih Muslim, bahawa Dajal itu adalah seorang yang Allah SWT jadikan ia sebagai fitnah dan ujian kepada hamba-Nya dan Allah SWT memberi kepadanya kemampuan dan kekuasaan seperti menghidupkan orang yang telah mati, pada dirinya itu ada gambaran syurga dan neraka. Mampu untuk menurunkan hujan dan menyuburkan tanam-tanaman di muka bumi.

Di dalam kitab Asyrath al Sa'ah karangan Tuan Guru Wan Ali al Jambui, pengarang ada menyebutkan tanda-tanda munculnya Dajal, di antaranya ialah berlakunya ribut seperti angin yang berlaku kepada kaum 'ad. Akan terdengar sekalian manusia suara tempikan yang kuat.

Apabila munculnya Dajal itu, tidak ada manfaat iman seseorang pada ketika itu melainkan mereka sudah beriman pada sebelumnya.

Allah SWT berfirman di dalam Surah al An'am ayat 158: "Pada hari datangnya sebahagian ayat daripada Tuhanmu, tidaklah bermanfaat lagi iman seseorang kepada dirinya yang belum beriman sebelum itu."

Maka al Imam Tirmizi menafsirkan perkataan 'sebahagian' dalam ayat itu dengan keluarnya Dajal kerana berdasarkan sebuah hadis daripada Saidina Abu Hurairah RA: "Tiga perkara apabila keluar semuanya, nescaya tidak memberi manfaat iman seseorang yang tidak beriman sebelum ini iaitu Dajal, ad Dabah dan terbitnya matahari dari barat." (Riwayat Muslim)

Di manakah Dajal itu akan keluar?

Terdapat sebuah hadis yang menunjukkan bahawa tempat keluarnya Dajal adalah di Khurasan, iaitu hadis daripada Saidina Abu Bakar as Siddiq RA: "Bermula Dajal itu akan keluar di bumi sebelah Timur yang dipanggil sebagai Khurasan." (Riwayat Tirmizi)

Berkenaan dengan tempoh atau waktu keluarnya Dajal itu adalah tidak diketahui kerana ia termasuk di dalam perkara ghaib, yang mengetahuinya hanyalah Allah SWT. Allah SWT berfirman di dalam Surah al A'raf ayat 186: "Mereka bertanya kepadamu (wahai Muhammad) tentang hari kiamat: "Bilakah masa datangnya?" Katakanlah: "Sesungguhnya pengetahuan mengenainya hanyalah ada di sisi Tuhanku, tidak ada sesiapa pun yang dapat menerangkan akan kedatangannya pada waktunya melainkan Dia (Allah SWT)."

Nabi terdahulu juga telah memberi peringatan dan penjelasan berkenaan dengan Dajal yang akan muncul pada akhir zaman. Nabi Muhammad SAW pernah bersabda: "Tidaklah Allah mengutuskan seorang Nabi melainkan telah memberi peringatan kepada umatnya berkenaan dengan Dajal dan Nabi Nuh telah memperingatkan hal itu kepada umatnya, juga para nabi yang datang sesudahnya." (Riwayat Ahmad)

Peringatan nabi terdahulu tentang Dajal ini kepada umat mereka supaya mereka selamat daripada fitnah Dajal al Masih ini.

Minggu Depan: Soalan Yang Ditanyakan Dajal kepada Tamim Ad-Dari


Penulis pendakwah bebas

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 8 Disember 2023 @ 6:02 AM