DALAM kitab dan buku berkaitan tanda kiamat turut dinyatakan pembelahan bulan merupakan tanda kiamat. FOTO AFP
DALAM kitab dan buku berkaitan tanda kiamat turut dinyatakan pembelahan bulan merupakan tanda kiamat. FOTO AFP
 Dr Khairul Asyraf Mohd Nathir

Pemahaman bulan adalah dekat dengan umat Islam khususnya apabila menghampiri Ramadan bagi melihat anak bulan. Selain itu, apakah yang perlu diperhatikan daripada penciptaan bulan ini?

Bulan adalah satelit semula jadi yang mengelilingi sesebuah planet yang bersaiz lebih besar. Bumi mempunyai sebuah bulan yang mengelilingi mengikut peredaran yang ditentukan oleh Allah SWT. Penciptaan bulan ini merupakan salah satu daripada tanda kebesaran Allah SWT yang memberi banyak manfaat kepada kehidupan sama ada manusia, haiwan, tumbuhan dan makhluk yang lain.

Secara umumnya, bulan juga simbolik kepada situasi malam hari sebagaimana firman Allah SWT yang bermaksud:  "Dan Dialah (Tuhan) yang menjadikan malam dan siang, serta matahari dan bulan tiap-tiap satunya beredar terapung-apung di tempat peredarannya masing-masing." (Surah Al-Anbiyya ayat 33)

Selain itu, bulan juga merujuk kesan kepada bumi melalui pasang surut air dan gerhana bulan yang turut melibatkan sunna ketika berlakunya peristiwa tersebut.

   Berdasarkan sirah Baginda Nabi SAW, bulan terbelah merupakan mukjizat Baginda Nabi SAW. Bagaimanakah peristiwa tersebut berlaku?

Peristiwa pembelahan bulan adalah salah satu mukjizat baginda Nabi SAW sebagai bukti kerasulan Baginda kepada kaum kafir Quraisy. Peristiwa yang berlaku lima tahun sebelum hijrah Nabi SAW ke Madinah ini digambarkan oleh Allah SWT dalam al-Quran: "Telah hampir saat (kedatangan Hari Kiamat) dan terbelahlah bulan." (Surah al-Qamar ayat 1)

Sebab penurunan ayat ini adalah ketika kaum kafir Makkah meminta kepada Rasulullah SAW memperlihatkan tanda-tanda kebesaran Allah SWT serta menguji kebenaran risalah Baginda dengan meminta Baginda membelah bulan.

Orang-orang Makkah meminta Nabi SAW untuk mendatangkan sebuah mukjizat. Bulan pun terbelah dua di Makkah. Turunlah firman Allah: "Telah dekat datangnya saat itu dan telah terbelah bulan." Sampai firman-Nya (Ini adalah) sihir yang terus-menerus." (Al-Qamar: 1-2, Hadis Riwayat at-Tirmidzi)

Maka Allah SWT mengabulkan doa Baginda hingga pada malam tersebut jelas bulan terbelah menjadi dua bahagian. Satu bahagian Gunung Abu Qubais dan satu bahagian di as-Suwaida.

Daripada Abdullah bin Mas'ud RA, ia berkata: "Aku melihat bulan terbelah menjadi dua bahagian sebanyak dua kali. Peristiwa ini terjadi di Makkah sebelum hijrahnya Nabi SAW. Satu potongan di atas Gunung Abu Qubais dan potongan lainnya di atas as-Suwaida. Mereka berkata: "Bulan telah disihir." Turunlah firman-Nya: "Telah dekat datangnya saat itu dan telah terbelah bulan." (Hadis Riwayat al-Hakim)

Ketika musafir tiba, mereka turut menyaksikan hal yang serupa. Tetapi kaum kafir Makkah tetap mengingkari mukjizat tersebut dan berkata: "…(Ini adalah) sihir yang terus menerus." 

Maulana Muhammad Ali mengatakan dalam tafsirnya bahawa peristiwa terbelahnya bulan yang terjadi pada zaman Nabi Muhammad SAW itu tergolong dalam hadis yang masyhur dan disahihkan oleh Imam Bukhari dan Muslim. Ibnu Athir sendiri mengatakan: "Peristiwa terbelahnya bulan itu diriwayatkan dalam hadis mutawatir."

Dalam kitab dan buku berkaitan tanda kiamat turut dinyatakan pembelahan bulan merupakan tanda kiamat. Adalah pembelahan bulan tersebut sama dengan pembelahan bulan mukjizat Baginda Nabi SAW?

Sebahagian ahli tafsir menafsirkan ayat ini menjelaskan peristiwa terbelahnya bulan bukan sahaja merujuk kepada mukjizat pada zaman Nabi Muhammad SAW, tetapi isyarat kepada Hari Kiamat semakin dekat. Terdapat ahli tafsir mengatakan kata insyaqqal-qamar bermaksud sesuatu yang menjadi terang. Fakta ini merujuk kepada bangsa Arab yang mengibaratkan perkara yang sudah jelas sebagai bulan iaitu seperti waktu pagi yang diibaratkan falaq, yang membawa maksud merekah atau membelah.

Imam ar-Rāghib al-Isfahāniy dalam kitabnya Al-Mufradāt li alfāẓ al-Quran menjelaskan kalimat insyaqqal-qamar mempunyai tiga pengertian: (1) Bulan terbelah pada zaman Nabi SAW. (2) Terbelahnya bulan petanda Hari Kiamat semakin dekat. (3) Sesuatu perkara menjadi terang.

Daripada Ibn Mas'ud RA berkata: "Terbelah bulan pada zaman Nabi SAW kepada dua bahagian. Maka sabda Nabi SAW: "Lihatlah kamu semua." (Hadis Riwayat al-Bukhari)

Ayat dan hadis tersebut menjelaskan mengenai isyarat kemunculan Hari Kiamat yang semakin dekat melalui pembelahan bulan pada zaman Nabi SAW. Ibn Kathir menjelaskan, Huzaifah RA telah menyampaikan khutbah di hadapan ramai orang:  "Ingatlah, Hari Kiamat benar-benar sudah dekat. Bukankah bulan telah terbelah? Dan bukankah dunia ini akan hancur lebur? Ingatlah hari ini merupakan saat terakhir daripada perbuatan buruk, sedangkan esok adalah saat pecutan dalam hal kebajikan."

Adakah terdapat mereka yang mengingkari peristiwa terbelahnya bulan ini?

Imam an-Nawawi menjelaskan fakta yang dikemukakan oleh Imam az-Zujaj: "Sebahagian tukang bid'ah mengingkari perkara ini disebabkan hati mereka buta dalam memahami peristiwa ini. Bahkan fakta secara logik juga tidak dapat menolaknya kerana bulan juga makhluk Allah SWT dan kemampuan Allah untuk melakukan apa sahaja untuk makhluknya sama ada menghancurkan atau menghilangkannya."

Penjelasan di atas menunjukkan satu bentuk pemahaman iaitu akal tidak mampu untuk mengingkari peristiwa ini. Pembuktian melalui ilmu pengetahuan semasa turut memperkukuhkan fakta tersebut. Oleh itu, perlu bagi kita untuk meneliti dan mendalami sesuatu peristiwa melalui pembacaan berterusan atau bertanya kepada yang pakar terlebih dahulu sebelum membuat rumusan.

Adakah terdapat fakta atau mukjizat ilmiah tentang pembelahan bulan ini?

Dari sudut perbahasan dalam ilmu Sains khususnya menerusi pandangan ahli kaji bintang, terdapat pembuktian yang menunjukkan bulan pernah terbelah berdasarkan kewujudan garisan pada permukaan bulan. Walaupun terdapat beberapa fakta yang kuat dikemukakan oleh beberapa ahli aeroangkasa, namun tiada kenyataan rasmi yang dibuat oleh Nasa secara langsung berkaitan peristiwa ini.

Zaghlul Al-Najjar menerusi tafsir ayat al-kauniyyah menjelaskan pembelahan bulan yang berlaku pada zaman Nabi SAW meninggalkan kesan yang dapat dilihat pada hari ini. Kesan tersebut merujuk kepada garisan bulan yang dicantumkan semula selepas proses mukjizat Nabi SAW itu berlaku. Namun, Nasa yang merakamkan gambar bentuk bulan sekitar 1969 terus menafikan garisan rekahan tersebut adalah satu bentuk mukjizat Nabi SAW dan bulan tidak pernah terbelah atau terpecah seperti yang diceritakan.

Brad Bailey menerusi artikel yang bertajuk Evidence of the moon having been split in two pada 2010 menjelaskan: "Cadangan saya adalah untuk tidak mempercayai semua yang anda baca di internet. Artikel yang disemak adalah satu-satunya sumber maklumat yang sah secara saintifik di luar sana. Tiada bukti saintifik semasa melaporkan bulan dipisahkan kepada dua (atau lebih) bahagian dan kemudian dipasang semula pada bila-bila masa dahulu."

Bagaimanakah pemahaman umat Islam berkaitan peristiwa ini dapat diperkukuhkan?

Umat Islam perlu berpegang teguh dengan Kitab Allah (al-Quran) dan Sunah Nabi akhir zaman supaya benteng keimanan kita dapat diperkukuhkan. Apabila sesuatu peristiwa telah jelas terdapat dalam al-Quran dan hadis, maka jangan timbulkan keraguan yang boleh menyentap kepercayaan kita kepada perkara ghaib.

Dalam rukun Iman, kepercayaan kepada Allah akan memperkukuhkan keyakinan terhadap penciptaan bulan. Kepercayaan kepada Rasul akan memperkukuhkan keyakinan bahawa bulan pernah terbelah dan merupakan mukjizat Baginda Nabi SAW. Kepercayaan kepada Kitab (al-Quran) akan memperkukuhkan keyakinan apabila setiap peristiwa telah dirakam secara jelas dalam al-Quran. Kepercayaan kepada hari kiamat, akan memperkukuhkan keyakinan bahawa bulan terbelah merupakan salah satu daripada tanda kiamat yang telah berlaku.

Justeru, perkukuhkan keimanan dalam menghadapi saat akhir zaman kerana fitnah akhir zaman akan terus menerus datang dan menjadi ujian besar buat manusia akhir zaman.

Penulis Pensyarah Kanan  Fakulti Pengajian Bahasa Utama  Universiti Sains Islam Malaysia (Usim)

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 21 January 2022 @ 7:00 AM