UMAT Islam di Malaysia memegang kukuh manhaj ASWJ Asyairah Maturidiyah.
UMAT Islam di Malaysia memegang kukuh manhaj ASWJ Asyairah Maturidiyah.
Dr Zamihan Mat Al-Ghari

Tahniah Johor Darul Ta'zim dan Jabatan Agama Islam Negeri Johor (JAINJ) kerana mengambil langkah tuntas dan pantas untuk mengharamkan beberapa judul buku daripada penulis persendirian yang jelas mempromosikan akidah Wahabi, sekali gus bertentangan dengan Ahli Sunah Waljamaah (ASWJ).

Johor bukan saja cemerlang dalam menjuarai arena bolasepak negara malah negeri itu juga sangat prihatin dalam membanteras sebarang doktrin yang bercanggah dengan manhaj ASWJ Asyairah Maturidiyah.

Baru-baru ini, tular di media sosial berhubung tindakan tegas JAINJ berhubung pengharaman beberapa judul buku yang tidak menyokong aspirasi serta doktrin manhaj Ahli Sunah Waljamaah yang dirintis oleh ulama Asyairah serta Maturidiyah.

Saya berpandangan pengharaman buku ini dibuat secara wajar oleh JAINJ memandangkan kandungannya bertentangan dengan ajaran ASWJ daripada aspek akidah, fiqah dan ilmu tasawuf serta beberapa fatwa semasa yang diputuskan oleh pihak berkuasa agama Islam Johor.

Contohnya, wujud beberapa elemen di dalam buku berkenaan yang bertentangan dengan ASWJ arus perdana yang memegang kukuh Asyairah serta Maturidiyah malah penulis buku berkenaan juga menggunakan nama 'Ahli Sunah Waljamaah' sedangkan kandungannya adalah sangat tidak bertepatan dengan manhaj majoriti umat Islam berkenaan.

Memetik dalam Mesyuarat Panel Pakar Akidah Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim) bertarikh 28 Disember 2010 di Institut Latihan Islam Malaysia (ILIM) Bangi diputuskan perincian definisi Ahli Sunah Waljamaah ialah:

1. Mereka adalah golongan yang memahami dan berpegang kepada al-Quran dan sunah Nabi SAW mengikut manhaj dan kaedah salaf dan khalaf (Asyairah dan Maturidiyah)

2. Mereka adalah golongan berfahaman sederhana (wasatiyyah), tidak melampau dan tidak terlalu longgar, ini mengeluarkan Khawarij, Syiah Rafidhah, Qadariyyah, Jabariyyah, Muktazilah, anti-hadis, Islam liberal, pluralisme agama dan seumpamanya

3. Mereka ialah golongan yang mengutamakan perpaduan dan persaudaraan Islam bukan permusuhan, perdamaian bukan peperangan, berpegang kepada prinsip tidak memuja pemimpin, tidak taasub sehingga mengkafir atau menyesatkan sesama Islam.

Di Johor, Jawatankuasa Fatwa Negeri Johor yang bersidang pada 22 April 2015 mengambil maklum antaranya:

1. Umat Islam di Malaysia secara umumnya berpegang kepada mazhab Ahli Sunah Waljamaah, akidah berasaskan mazhab Asya'riah dan al-Maturidiah dan fiqah berdasarkan mazhab Syafii.

2. Ajaran agama berasaskan pegangan Ahli Sunah Waljamaah adalah ajaran yang sederhana atau (wasatiyyah. Ajaran yang diamalkan oleh umat Islam di Malaysia sejak sekian lama ini ternyata menjamin keamanan, kesejahteraan dan keharmonian dalam menjalani kehidupan bermasyarakat

Ia jelas bahawa tindakan JAINJ dalam pengharaman beberapa judul buku berkenaan adalah sangat bertepatan menerusi bidang kuasa mereka sekali gus pujian patut diberikan malah tindakan tuntas serta tegas itu wajar dicontohi oleh Jabatan Agama Islam Negeri lain dalam mengekang fahaman Wahabi.

Saya mengambil contoh lain dalam satu daripada buku itu apabila penulis menolak definisi teologi ASWJ yang dibawa oleh Asyairah Maturidiyah sebaliknya mempromosikan ideologi ASWJ yang dibawa oleh beberapa nama termasuk Muhammad Abdul Wahab.

Buku berkenaan sangat jelas tidak mengikut laras pendapat mazhab yang muktabar sebaliknya banyak menggunakan doktrin Wahabi dan mengaburi mata pembaca dengan penggunaan nama 'ASWJ' yang palsu.

Muzakarah Jawatankuasa Fatwa Negeri Sembilan yang bersidang pada 25 Februari 2016 pula bersetuju menerima cadangan takrifan berkaitan Ahli Sunah Waljamaah iaitu merujuk kepada kelompok majoriti umat Islam mereka yang berpegang dengan ajaran Islam yang sebenar berdasarkan al-Quran dan panduan Nabi Muhammad SAW, sahabat serta ulama Islam muktabar dan berpegang dalam hal berkaitan dengan;

Akidah dan tauhid berdasarkan pegangan Imam Abu Hasan al-Ash'ari dan Imam Abu Mansur al-Maturidi.

Fiqh dan Syariah, berdasarkan mazhab Syafii di samping meraikan mazhab Hanafi, Maliki dan Hanbali.

Tasawuf, berdasarkan manhaj ulama sufi berwibawa seperti Imam Junaid al-Baghdadi dan Imam al-Ghazali.

Saya juga ingin memetik kata-kata daripada Dr Nuh Ali Salman al-Qudah yang jugan Qadi al-Qudah (Ketua Hakim) dan Mufti Jordan menyebut dalam kitab al-Mukhtasar al-Mufid fi Jauharah al-Tauhid: "Dan di antara perkara yang patut disebut ialah jaguh-jaguh ulama Muslimin daripada ulama hadis, ulama tafsir, ulama fiqh, ulama usul fiqh dan ulama akidah - mereka adalah daripada al-Asyairah dan al-Maturidiyah. Ulama mazhab Maliki, ulama mazhab Shafii dan ramai daripada ulama mazhab Hanbali seperti Ibn al-Jawzi adalah Asha'irah dan ulama mazhab Hanafi adalah Maturidiah."

Oleh itu, sewajarnya Kementerian Dalam Negeri (KDN) perlu mengambil tindakan terhadap buku serta penerbit berkenaan kerana ia sudah melanggari satu keputusan yang dibuat di Johor berkaitan pengajaran agama Islam yang wajib mengikuti aspirasi sebenar ASWJ mengikut Asyairah serta Maturidiyah.

Tindakan tegas yang diambil oleh JAINJ dan keprihatinan Tuanku Sultan Johor, Sultan Ibrahim Sultan Iskandar menjadi penguat kepada benteng akidah umat Islam daripada diceroboh oleh doktrin yang bercanggah dengan prinsip ASWJ.

Penulis Penolong Pengarah Kanan Bahagian Penerbitan, Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim) dan Presiden Pertubuhan Ahli Sunnah Wal Jamaah Malaysia (Aswaja)

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 18 September 2021 @ 5:59 AM