Mohd Rizal Azman Rifin

KITA dalam suasana menyambut Aidilfitri dengan kunjung-mengunjungi dan bermaaf-maafan. Dalam keasyikan dan penuh rasa ceria meraikan hari raya seharusnya kita tidak lupa kepada amalan baik, amal murni yang sudah dilakukan sepanjang bulan puasa yang lalu.

Dengan kata lain, amalan mulia Ramadan wajar terus kita kekalkan dalam menjalani kehidupan seharian meskipun bukan bulan puasa lagi. Usah ditunggu kedatangan Ramadan tahun hadapan, baharu kita mahu rancakkan kembali amalan mulia itu.

Amal ibadah berpuasa di sepanjang sebulan pada Ramadan merupakan 'didikan' yang seharusnya menjadikan diri kita terbiasa dengan amalan mulia. Beberapa amalan mulia di bulan Ramadan yang dikra amat perlu kita tetap kekalkannya seperti berikut:

1. Bersedekah

Sesungguhnya, Ramadan benar-benar membuatkan hati umat Islam untuk menjadi Mukmin yang pemurah. Hal tersebut kerana ingin memperoleh ganjaran pahala besar yang dijanjikan Allah bagi mereka yang bersedekah khususnya semasa bulan Ramadan.

Selain itu, keinginan untuk menjadi umat Islam yang menjejaki sunah Nabi Muhammad SAW yang semasa hayatnya dahulu adalah insan yang paling dermawan semasa berpuasa di bulan Ramadan. Hal itu dijelaskan menerusi beberapa hadis. Misalnya, sebuah hadis yang dilaporkan oleh Ibnu Abbas yang mengatakan Rasulullah SAW orang yang paling dermawan dan Baginda lebih dermawan pada bulan Ramadan ketika Jibril berjumpa dengan Baginda. "Dia (Jibril) berjumpa dengan Baginda pada setiap malam bulan Ramadan, lalu dia (Jibril) bertadarus al-Quran dengan Baginda. Rasulullah SAW lebih dermawan dengan kebaikan lebih daripada angin yang berhembus." (Hadis Riwayat Imam Bukhari, Muslim, Imam Ahmad, an-Nasai dan beberapa periwayat yang lain lagi)

Jadi, sikap dermawan dan suka bersedekah semasa bulan Ramadan adalah suatu tabiat yang terdidik dalam masa kita sedang berpuasa di bulan Ramadan. Selain itu, pemberitahuan daripada Rasulullah SAW sendiri bahawa amalan bersedekah dalam bulan Ramadan adalah sedekah paling baik menjadi satu lonjakan semangat buat umat Islam sejak dahulu hingga masa kini untuk menjadi seorang Mukmin yang juga termasuk dalam kalangan hamba Allah yang mendapat ganjaran pahala besar di sisi Allah.

Dalam satu rekod yang dicatat oleh Imam at-Tirmizi yang nyatakan bahawa Rasulullah SAW pernah ditanya oleh seseorang: "Puasa apakah yang paling afdal selepas Ramadan?" Lalu jawab Baginda: "Puasa bulan Syaaban untuk membesarkan Ramadan". Kemudian orang itu bertanya lagi, "Sedekah apakah yang paling afdal?" Baginda menjawab: "Bersedekah pada Ramadan."

Jadi, sepanjang Ramadan lalu, jiwa kita begitu terpanggil untuk menghulurkan wang ringgit mengikut kemampuan demi mengharapkan pahala daripada Allah. Boleh dikatakan bulan Ramadan seolah-olah satu 'kuasa ajaib' yang menjadikan diri orang Mukmin bertindak sebagai hamba Allah yang pemurah dan menjauhi daripada sifat bakhil.

Jadi, didikan Ramadan itu sewajarnya terus kita kekalkan selepas berlalunya Ramadan dan menjadi sikap suka bersedekah itu amalan peribadi yang kekal sepanjang tahun. Usah kerana berakhirnya Ramadan maka sifat bakhil mula bersarang kembali dalam diri dan hanya mahu menunggu datangnya Ramadan lagi baru menjadi seorang yang dermawan.

2.Sentiasa menjaga dan memelihara tutur kata

Ibadah puasa di bulan Ramadan adalah bulan yang mulut begitu 'aman dan tenteram' daripada mengeluarkan kata-kata yang kesat dan yang tidak bermanfaat. Sedayanya seseorang itu tidak mahu ibadah puasa di bulan Ramadan menjadi sia-sia lantaran melanggar etika berpuasa yang digariskan oleh Allah.

Peringatan daripada Rasulullah SAW yang menegaskan: "Puasa itu perisai. Sekiranya seseorang berpuasa pada suatu hari, janganlah dia berkata perkataan yang kotor dan meninggikan suara. Sekiranya seseorang mencelanya atau mengajaknya bergaduh, katakanlah, "Sesungguhnya aku berpuasa." (Hadis riwayat Imam Bukhari dan Muslim)

Begitu juga dengan satu lagi sabda Baginda yang dilaporkan oleh Abu Hurairah yang mengatakan bahawa Baginda SAW memberi amaran keras dengan menyebut: "Sesiapa yang tidak meninggalkan perkataan dan perbuatan yang keji, maka Allah tidak perlu kepada pengorbanannya utuk meninggalkan makan dan minumnya." (Hadis diriwayat oleh Imam Bukhari)

Peringatan tegas Rasulullah SAW sangat difahami oleh umatnya. Justeru, semasa menjalani ibadah berpuasa khususnya di bulan Ramadan, lisan berbicara dijaga dengan sebaiknya agar ibadah puasa tidak terencat kualitinya.

Jadi, sikap sebegini sebenarnya mendidik kita agar sentiasa memelihara adab berkomunikasi dalam kehidupan seharian. Sikap baik lagi mulia seperti itu sewajarnya menjadi satu sikap peribadi baik semasa berada dalam bulan Ramadan mahupun di bulan-bulan yang lain.

Jadikan sikap memelihara adab bertutur kata yang baik sebagai watak peribadi yang tidak terhad kepada bulan Ramadan sahaja. Usah dibataskan adab komunikasi sosial yang murni sekadar 'bersempadankan Ramadan.' Sebaliknya, adab berkomunikasi yang mulia dan penuh susila seharusnya menjadi karakter peribadi sepanjang masa selagi hayat dikandung badan.

3. Solat malam

Sepanjang bulan Ramadan yang lalu, kita ternyata begitu aktif penuh bersemangat untuk menunaikan solat sunat Tarawih atau solat malam. Masjid dan surau, rata-rata riuh dan ceria dengan jemaah tanpa mengira batas usia. Tambah memeriahkan suasana, budaya 'moreh' menjadi satu lagi daya tarikan yang membuatkan masjid dan surau dipenuhi jemaah.

Meskipun, di bulan-bulan lain solat sunat Tarawih tidak diadakan, namun kita masih mampu untuk mendirikan solat malam di rumah masing-masing. Jadikan sikap aktif beramal ibadah sunat yang baik penuh pahala itu sebagai amalan berterusan sepanjang tahun. Apa yang lagi penting ialah Ramadan mendidik kita cintakan masjid dan surau. Justeru, kecintaan kita itu tidak sewajarnya hanya di bulan Ramadan sahaja, sedangkan di bulan-bulan yang seterusnya, sikap 'cinta' itu menjadi hambar.

Sebenarnya, apa sahaja amal ibadah dan amalan hidup mulia semasa bulan Ramadan perlu kita kekal beristiqamah melakukannya. Usah dihadkan komitmen tinggi kita untuk beribadah dan berbuat amalan baik sekadar di bulan Ramadan semata-mata.

Semoga kita bersemangat menjalani kehidupan mulia yang diredai Allah sepanjang masa.

Penulis Pensyarah Kanan Jabatan Kejuruteraan Mekanikal Politeknik Muadzam Shah

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 5 Mei 2023 @ 5:59 AM